“Sasaran saya nak buka rangkaian kuih frozen di setiap negeri. Macam BubbleBee Shuib dan beli mesin pau dalam masa terdekat,” demikian impian Hazita Binti See Ramdze, 42 tahun. Menggenggam Ijazah Bachelor of Management with Honours (BIM) kini Hazita berjaya mengembangkan kerjaya beliau sebagai seorang pelabur dan peniaga.
Wanita ini pernah menjawat guru sandaran di Sekolah Menengah Senai, Johor dan bekerja di sektor kerajaan selama 19 tahun sebagai penjawat awam. Perjalanan Hazita dalam dunia perniagaan diteruskan dengan membuka kedai pakaian bayi, menerima tempahan pemasangan wallpaper, menjual makanan frozen iaitu pau segera dan karipap pelbagai perisa serta membuka restoran.
Hazita berkongsi kisah kerjayanya, “Setelah tamat SPM, saya mendapat pelbagai tawaran ke IPT tetapi disebabkan masalah kewangan saya tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat ijazah, termasuk panggilan ke Akademi TV3.
Minat yang sangat mendalam dalam bidang pengacaraan ketika itu, menyeru saya untuk menyertai pertandingan Pengacara Jemputan Nona pada tahun 1996, namun sayangnya tidak berjaya. Tetapi alhamdulilah, saya dapat juga merasai bagaimana nak jadi pengacara dan berhadapan di depan kamera dan orang ramai.
Pada masa yang sama saya telah menerima tawaran menjadi guru sandaran selama setahun lebih. Kemudian saya memegang jawatan Pembantu Tadbir di sektor kerajaan. Saya terpaksa akur dengan kata orang tua, ‘Kerja kerajaan adalah terbaik dan menjamin masa depan’. Walaupun dalam lubuk hati tidak mempunyai jiwa dalam bidang tersebut.
Saya bertekad untuk sambung pengajian setelah berkahwin, bagi meneruskan cita-cita dan impian saya untuk mendapatkan ijazah. Dalam masa yang sama saya juga memulakan perniagaan pau frozen dan jualan ke kilang. Alhamdulilah, Allah beri saya kekuatan dan semangat untuk bekerja, belajar dan berniaga.
Ketika itu saya hanya berehat 4 jam sehari. Saya tidur dan bangkit pagi untuk bekerja. Masa saya ibarat emas, tiada masa untuk buang masa. Perniagaan saya hanya bertahan ketika itu selama 6 tahun memandangkan masalah pekerja dan jadual waktu yang sangat padat,” ujar Hazita yang melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan untuk berjaya.
Syukur dengan berkat kerajinan dan usaha keras, pada usia 24 tahun Hazita sudah dapat membeli rumah hasil jualan pau frozen. “Setelah berjaya mengumpul sedikit simpanan untuk modal, saya mulakan jualan kain pasang dan tudung secara sambilan, memasang wallpaper dan reka hias dalaman. Cuma mengisi hobi saya ketika itu.
Kemudian saya beralih arah ke pakaian kanak kanak secara online dan offline. Alhamdulillah, rezeki melimpah yang Allah berikan saya berjaya memiliki sebuah kedai dan dapat mengerjakan ibadah umrah bersama ibu dan keluarga tercinta. Saya juga telah menyerahkan perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak ini kepada anak sulung saya untuk diuruskan.
Bagi meneruskan minat saya dalam bidang perniagaan, saya terpaksa menghantar notis berhenti kerja. Saya memulakan perniagaan nasi lemak dan pelbagai masakan. MasyaAllah kedai setiap hari dipenuhi ratusan manusia dan tidak cukup meja kerusi untuk duduk.
Namun, saya diuji dengan pelbagai dugaan. ‘Langkit tidak selalu cerah, mendung bukan selamanya.’ Pengalaman dalam bidang masakan masih mentah, perniagaan terpaksa ditutup dengan masalah disiplin pekerja. Tetapi saya berpegang kepada prinsip jangan pernah putus asa, saya terus membuat jualan dari rumah. Saya mula mengikuti kelas-kelas masakan yang dikendalikan oleh Chef chef berpengalaman.
Perniagaan asam pedas ikan saya sangat laris dan mendapat tempahan setiap hari. Untuk mendapat bekalan ikan fresh ketika zaman COVID sangat sukar, tetapi saya terpaksa bertukar menu. Dengan berbekalkan ilmu dan jangan berhenti belajar mencari llmu untuk meningkatkan taraf hidup sangat penting.
Kini saya mencari peluang untuk belajar dalam bidang pelaburan saham bersama DDNK. Alhamdulilah syukur tak terduga rezeki dalam pelaburan saham sangat membuahkan hasil,” jelas Hazita sambil tersenyum.
KENANGAN
Antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan, “Ketika baru mula berjinak-jinak jual kuih pau 15 tahun lepas, khemah saya pernah terbang ditiup angin. Bila terkenang peristiwa itu, mesti saya tersenyum sendiri.
Waktu itu saya tak pandai buat kuih, sehari semalam saya tidak tidur untuk buat pau. Esok saya cuba jual hanya dapat RM8 sahaja. Namun, berkat kesabaran saya akhirnya saya buktikan pau gebu gebas dan menjadi idaman sesiapa yang mencubanya.
Saya mula berniaga dengan modal RM20 sahaja dan jualan semakin hari meningkat, sehingga boleh mencecah 400 biji sehari. Kadang dalam tempoh satu jam sahaja sudah licin 200 biji Pau. Ini jalan cerita yang dilalui dalam perjanan hidup saya, semuanya menjadi kenangan manis selama saya bernafas di dunia ini. Saya dan anda mungkin berbeza ceritanya tetapi saya percaya dengan kesabaran dan usaha pasti di hujungnya membawa sebuah kejayaan terbaik untuk kita,” bicara Hazita.
“Jangan pernah putus asa, saya pernah gagal dalam subjek ekonomi dan matematik tetapi di setiap kegagalan itu saya bangkit dan belajar, akhirnya saya kini menggenggam segulung ijazah. Walaupun ketika itu saya hanya ada masa 4 jam sahaja untuk diri saya untuk tidur, belajar dan berehat.
Kadang-kadang sehari semalam saya tidak tidur kerana ingin siapkan assignment. Esoknya kena bangkit bekerja dan petang sambung pula untuk membuat jualan. Usaha dan fokus, jangan patah semangat sentiasa cari peluang diri sendiri. Jangan sabotaj diri. Ignore what people say about you. Cari redha Allah dan banyakkan bersedekah,” demikianlah pengorbanan Hazita demi mengejar impian dan cita-citanya untuk berjaya.
This website uses cookies.