Industri fesyen global semakin ligat berputar, fesyen baru bertukar ganti dan acara pertunjukan fesyen juga kian rancak dianjurkan. Antara yang sedang hangat di Eropah sekarang adalah Minggu Fesyen Paris, Milan, New York dan London seiring pertukaran musim Autumn/Winter di sana.
Namun di sebalik kemegahan acara fesyen yang menghimpunkan ramai pemain industri termasuk pereka dan supermodel terkemuka itu, ternyata banyak fakta-fakta luar biasa yang jarang diketahui umum.
#1: Baju-baju tidak boleh dibawa balik
Setiap model catwalk yang melenggang di atas pentas tidak boleh membawa pulang baju-baju yang diperagakan. Ini kerana, persembahan fesyen hanyalah peringkat awal untuk memperkenalkan koleksi terbaharu dan belum rasmi dipasarkan.
Potongan busana yang diperagakan juga belum sempurna atau belum menepati spesifikasi jualan, promosi media dan sebagainya.
#2: Turutan supermodel
Pernah terfikir tentang turutan model-model catwalk di atas pentas? Dalam setiap persembahan, pereka fesyen atau Pengarah Kreatif bebas untuk mengatur turutan supermodel yang akan ditampilkan. Fakta yang beredar adalah turutan paling awal hingga akhir sangat penting dalam barisan.
Sebenarnya beberapa supermodel terkemuka tidak akan tampil jika mereka tidak ditempatkan dalam turutan tertentu. Biasanya supermodel yang diberi kesempatan membuka atau menutup sesuatu persembahan fesyen memiliki pengaruh atau terkenal di kalangan penonton.
#3: Tiket Minggu Fesyen
Tiket untuk menonton persembahan fesyen atau menghadiri Minggu Fesyen tidak dijual secara bebas. Biasanya penonton yang hadir adalah jemputan khas penganjur.
#4: Kehadiran pereka di pentas finale
Kehadiran pereka hanyalah pilihan namun ada pereka fesyen tertentu yang gemar membuat pertunjukan besar-besaran demi menonjolkan diri sendiri di depan tetamu. Tetapi ada juga pereka yang enggan menonjol kerana mahu karyanya saja yang menjadi fokus.
#5: Model tidak semestinya ‘satu acuan’
Trend supermodel pada zaman dahulu sememangnya menuntut mereka agar bersaiz sempurna (saiz 0), tinggi lampai dan kurus. Tetapi hal ini sudah berubah kerana kesedaran terhadap bentuk badan manusia yang lebih realistik, termasuk keunikan fizikal seseorang, ciri etnik dan warna kulit.
#6: Tidak wajar ulang tayang
Meskipun tiada halangan untuk hal ini, namun penggiat seni fesyen tidak sewajarnya mementaskan koleksi yang sama berkali-kali. Pada dasarnya trend fesyen selalu berkembang maka jika busana yang sama terlalu kerap diperagakan boleh mengundang bosan di kalangan tetamu.
#7: Bayaran tidak jamin lumayan!
Bayaran untuk setiap supermodel catwalk berbeza mengikut jam penerbangan atau jenama yang mereka wakili. Model terkemuka seperti Karlie Kloss dan Gisele Bundchen mampu meraih keuntungan lumayan dengan berjalan mewakili jenama besar seperti Dior, Chanel dan sebagainya.
Namun tidak semua supermodel mendapat bayaran kelas pertama. Ramai lagi supermodel junior yang hanya menerima bayaran minimum kerana bajet pereka yang terhad. Malah ada juga yang dibayar mengikut komisen dari hasil jualan busana yang diperagakan!
This website uses cookies.