Model Muslimah Jadi Model Kempen Pakaian Renang. Salah Seorangnya Dari Malaysia!

Susulan kejayaan Nike mengeluarkan Nike Pro Hijab, Nike melangkah setapak lagi dalam memenuhi permintaan Muslimah dengan memperkenalkan koleksi renang pertama iaitu The Nike Victory Swim Collection khusus untuk wanita Muslimah yang ingin tampil menutup aurat dengan sempurna tatkala berenang.

Lebih istimewa, untuk kempen koleksi renang Nike ini, ia turut menampilkan empat model wanita Muslim dari serata dunia. Satu penghargaan buat wanita Muslim dari jenama antarabangsa yang telah lama bertapak dalam dunia sukan.

Salah seorang darinya termasuklah dari Malaysia iaitu Arinna Erin Wira. Arinna merupakan seorang graduan di Brunei University London dalam jurusan Masters of Science in Business Intelligence and Social Media.

 

 

foto : Ig Arinna Erin Wira

Selain itu, penyelam pertama  Arab Saudi, Nouf Alosaimi turut terpilih menyertai kempen koleksi renang tersebut memandangkan tugas dan kerjaya sehariannya memerlukan dia sentiasa mengenakan pakaian renang. Nouf Alosaimi berkata sebahagian besar wanita  enggan berenang atau menyelam kerana mereka sukar mendapatkan pakaian renang yang mesra Muslimah dan mengekalkan ciri-ciri kesopanan. “Saya percaya pakaian ini akan menjadi pilihan kebanyakan wanita yang ingin melakukan sukan air tanpa syarat kerana ia  mematuhi tujuan kesopanan dengan longgar,” kata Nouf Alosaimi.

 

Foto: ig Nouf Alosaimi

Manakala seorang lagi atlet sukan luncur ais, Emirati Zahra Lari juga terpilih menjayakan kempen kali ini. Emirati Zahra Lari merupakan gadis berhijab pertama yang bersaing dalam acara luncur ais di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 yang lalu.  Zahra menjadi buah mulut dunia sukan di Negara Teluk selepas bertekad menjadi atlet pertama mengambil bahagian dalam sukan luncur ais mengenakan pakaian hijab yang menepati tuntutan negara Islam.

 

Penulis sendiri diberi kesempatan untuk mencuba sendiri pakaian renang mesra muslimah Nike Victory Swim ini dan amat tertarik dengan ciri-ciri yang ditampilkan melalui koleksi yang boleh didapati pada harga RM2500 untuk set penuh, manakala setiap satu dijual pada harga berasingan iaitu RM330 untuk Tunic, RM165 untuk hijab dan RM280 untuk legging. Jika dilihat dari segi inovasi, sebenarnya ia bukan sahaja sesuai untuk aktiviti di dalam air, malah kaum wanita boleh menggunakan ia untuk aktiviti sukan lain seperti yoga, zumba dan berjogging dengan koleksi Nike Victory Swimsuit yang mudah digayakan mengikut aktiviti sukan yang menjadi pilihan wanita moden masa kini.

Selain itu, penulis tertarik dengan  penampilan fabrik yang digunakan kerana ia bersifat ringan, mampu ‘bernafas’ dan cepat kering. Antara aspek penting yang menjadi tarikan utama selepas puas melakukan aktiviti air. Memiliki kadar UPF40+ sekaligus melindungi pemakainya daripada sinaran matahari. Satu inovasi yang sangat menarik!

Jika dilihat, koleksi ini sememangnya patuh Syariah kerana ia menampilkan ciri-ciri sut renang penuh atau Nike Victory Full-Coverage Swimsuit serta pilihan berasingan seperti Nike Victory Swim Hijab, Nike Victory Swim Tunic Top dan Nike Victory Swim Leggings yang direka khusus untuk aktiviti berakitan sukan air. Lebih istimewa, ia membawakan inovasi dua dalam satu di mana para atlet boleh meningkatkan prestasi dalam masa yang sama mengenakan pakaian yang sopan dan selasa ketika berada di dalam air!

Nike Victory Full-Coverage Swimsuit dan Nike Victory Swim Tunic Top turut menampilkan bra sukan dalaman dengan sports bra yang mempunyai liang-liang kecil untuk tahap keselesaan yang maksima. Manakala Nike Leggings Swim Leggings pula menampilkan gaya yang sederhana tetapi selesa untuk pergerakan dan yang pasti ia tidak melekap di kulit ketika basah.

Dalam menghasilkan pakaian renang Muslimah yang patuh Syariah, The Swim Hijab ini turut mempunyai mesh pocket bersepadu yang dapat mengekalkan kedudukan rambut ketika berada di dalam air sekaligus menolak rasa kegusaran si pemakai tentang masalah rambut akan terkeluar dari tudung ketika sedang berenang. The Nike Victory Swim sudah berada di pasaran dan bagi penggemar sukan air di kalangan Muslimah, mungkin selepas tamat Tempoh Pergerakan Terhad ini boleh mendapatkannya di rangkaian Nike.com di seluruh negara!

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu