Alhamdulillah, Ella dan Datuk Amy Search serta pasangan masing-masing selamat tunai ibadah haji tahun ini. Berangkat ke Tanah Suci beberapa hari sebelum menjelang 10 Zulhijjah, kedua-dua lagenda rock terkenal tanah air ini tidak mendedahkan pemergian mereka sebagai dhuyufurrahman tahun ini kepada umum.
Sebaliknya Ella dan Datuk Amy Search hanya berkongsi foto mereka dan pasangan di Instagram selepas selesai berwukuf.
Datuk Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama isteri tercinta, Norhasniza Hassan.
Manakala Ella atau pemilik nama Norzila Aminuddin mengerjakan ibadah haji bersama suaminya iaitu Azhar Ghazali.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ella memanjat kesyukuran menjadi salah seorang daripada jutaan jemaah haji bagi 1445 Hijrah.
“Alhamdulillah hari ini 10 Zulhijjah Ella dan Azhar telah selesai sempurnakan sebahagian dari Rukun Haji.
Ella juga sempat abadikan momen sewaktu wukuf di Arafah dengan curahan doa yang baik buat anda semua agar jadi sebahagian dari kenangan manis buat memori kita bersama.
Terbanglah ke sini mencari abadi, Terbanglah ke mari, mencari hakiki. Jagalah diri mu selalu. Selamat hari raya Aidiladha.”
Sementara itu, Datuk Amy turut tidak ketinggalan berkongsi perkembangan selepas selesai berwukuf di Arafah dan lebih bermakna hari istimewa tersebut jatuh pada ulang tahun kelahiran suri hati kesayangan.
“Demi cintaku padamu, ke mana pun akan kau ku bawa, ke hujung dunia ke Bintang Kejora. Wukuf hari teristimewa buat bidadariku. Ini hadiah terindah dari Allah SWT buatmu Hajah Nor, hari panggilan yang dinantikan, lebih istimewa kerna hari wukuf jatuh di hari lahir mu. “Barakallah fii Umrik.”
Begitulah aturan Allah SWT, begitulah kehendaknya. Kita wukuf bersama di hari terindah ini 9 Dzulhijjah 1445 bersamaan 15 Jun 2024. Semoga kite mendapat haji mabrur. Selamat Hari Lahir Hajah Nor Hasniza Hassan. Cinta ku padamu hingga ke Jannah.”
Moga Ella dan pasangan serta Datuk Amy dan isteri dikurniakan haji mabrur.
This website uses cookies.