Tetap mesra dan menyenangkan, pertemuan Nona dengan penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta – Misha Omar ternyata meleraikan rindu yang tersimpan sejak pandemik melanda. Berdebar juga bila Misha berkongsi bakal menjalani rawatan di hospital tak lama lagi. Tak sihat ke?
Tanpa berselindung, rupa-rupanya Misha bakal menyambung semula rawatan kesuburan yang tertunda sejak pertengahan tahun lepas.
Ibu kepada Muhammad Idris Ezzwa, 5 tahun, dan Muhammad Adam Emir, 15 tahun (anak angkat) itu kini sedang berikhtiar menambah zuriat hasil perkongsian hidupnya dengan suami, Firros Ezzwan Rosly.
Berhajat untuk mendapatkan seorang anak perempuan, Misha yang bakal melangkah ke usia 40 tahun turut memberi semangat kepada wanita yang sedang berusaha mendapatkan anak supaya jangan mengalah walaupun mendapat reaksi negatif daripada orang sekeliling.
Apa kata Misha Omar tentang rawatan kesuburan? Jom tonton video ni…
Suka dengar jawapan Misha yang positif! Sempat juga beliau menitipkan pesan supaya masyarakat tidak memandang rendah terhadap wanita yang sedang berikhtiar mendapatkan zuriat seperti dirinya.
Misha sebelum ini pernah berkongsi tentang rawatan kesuburan termasuk ujian hormon Anti-Mullerian (AMH) bagi mengetahui tahap kesuburannya. Beliau turut mendapatkan khidmat nasihat pakar sakit puan di UKM Specialist Centre iaitu Dr Azrai Abu bagi membantu ikhtiar tersebut.
Dengan hashtag #MenjejakKhadeja, Misha turut menjelaskan bahawa itu adalah pembakar semangatnya agar lebih cekal menjalani rawatan mendapatkan anak perempuan.
“Hashtag tu diwujudkan sebagai satu semangat buat diri saya jalani proses kehamilan. Kenapa Khadeja? Sebab saya berharap dan berdoa mudah-mudahan cahaya mata yang akan Allah anugerahkan nanti adalah baby girl.
Itu adalah doa saya sekarang… tapi kalau nanti dapat bayi lelaki pun tak apa. Orang kata permulaan ini yang akan menyempurnakan perjalanan itu. Jadi saya doa dari sekarang mudah-mudahan Khadeja.
Kalau ada rezeki, tak tahu lagi nak beri nama apa dan Khadeja itu saja yang terlintas di kepala.” Misha Omar
RAWATAN KESUBURAN
Pada zaman teknologi perubatan yang semakin maju, pelbagai alternatif rawatan kesuburan dapat dicuba untuk membantu proses kehamilan.
1. Ubat Hormon
Ubat ini popular dengan nama komersialnya, Clomid. Ubat ini membantu wanita membebaskan telur pada peringkat ovulasi secara berkesan dengan peningkatan pada rembesan hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan LH (luteinizing hormone).
Dalam kaedah ini, doktor akan mengesyorkan agar mengambil ubat pada hari ketiga haid untuk lima hari. Ovulasi akan berlaku selepas 7 hingga 8 hari rawatan Clomid. Doktor kemudiannya akan mengesahkan waktu ovulasi serta waktu terbaik untuk melakukan hubungan seksual.Waktu ovulasi dapat disahkan dengan beberapa ujian seperti ujian darah, ujian suhu badan basal serta ultrasound.
2. Suntikan Hormon
Suntikan ini adalah dos Human Chorionic Gonadotropin (HCG) yang membantu pembentukan telur yang sihat dalam rahim wanita serta membantu pembebasan telur semasa peringkat ovulasi. Kaedah ini adalah alternatif perubatan lain sekiranya ubat clomiphene tidak berkesan bagi tubuh.
Selain pada wanita, ubat ini juga berkesan meningkatkan jumlah sperma pada lelaki. Suntikan ini juga meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat kembar dua atau tiga. Kaedah ini terbukti membantu peningkatan kebarangkalian untuk mengandung sebanyak 15% dalam satu kitaran ovari.
3. Kaedah IUI
Teknik IUI atau Intra Uterine Insemination ini dilakukan dengan memindahkan sperma lelaki yang bergerak pantas terus ke dalam rahim wanita melalui satu tiub halus sewaktu ovulasi hampir berlaku. Doktor akan mengesyorkan kaedah ini sekiranya wanita itu mempunyai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan dan ovulasi yang normal. Prosedur ini juga dilakukan sekiranya lelaki mempunyai masalah mati pucuk atau ejakulasi pra-matang atau sperma yang tidak terlalu bermasalah.
Dalam kaedah ini, si isteri diberi preskrispsi ubat kesuburan untuk beberapa hari sebelum prosedur dilakukan. Suami pula perlu menyediakan sampel sperma semasa hari prosedur. Sperma yang sihat akan dipilih dan dipindahkan terus ke dalam rahim melalui tiub kecil. Kaedah ini dilihat mempunyai peratusan keberkesanan yang lebih tinggi pada pasangan yang lebih muda.
4. IVF
Persenyawaan in-vitro (IVF) dilakukan dengan cara mensenyawakan sampel sperma dan telur di dalam makmal. Kemudian embrio yang terhasil akan dipindahkan dalam rahim wanita.doktor akan mencadangkan kaedah ini sekiranya:
- Isteri mempunyai masalah pada tiub fallopian atau kitaran ovulasi.
- Suami mempunyai masalah kekurangan sperma atau sperma yang tidak subur.
Isteri akan diminta doktor supaya mengambil ubat kesuburan untuk mendapatkan beberapa telur. Kemudian, doktor akan memilih telur yang sihat untuk menjadi sampel melalui teknik ultrasound dan pembedahan kecil.
Si suami pula perlu menyediakan sampel sperma. Dalam peringkat ‘insemination’, telur dan sperma pasangan akan digabungkan dan disimpan di makmal untuk pemerhatian. Jika berjaya, gabungan tersebut akan bertukar menjadi embrio dan akan dipindahkan di dalam rahim isteri.
5. Pembedahan
Selain kadar rembesan hormon dan waktu ovulasi yang tidak tetap, tiub fallopian yang tersumbat atau ketumbuhan tidak normal dalam rahim turut menjadi punca ketidaksuburan pada wanita. Rawatan kesuburan kaedah pembedahan major iaitu laparotomi atau pembedahan kecil seperti endoskopi boleh mengatasi masalah ini.