Romantisnya tengok foto-foto Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor yang dikongsikan di laman rasmi Selangor Royal Office. Tampil berbusana masyarakat India sempena perayaan Deepavali yang bakal tiba, kemesraan baginda berdua nyata menarik perhatian ramai.
Menerusi posting terbaharu, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu yang meraikannya.
Baginda berdua berharap agar pesta cahaya kali ini terus disambut dalam suasana yang harmoni, hormat-menghormati, penuh toleransi dengan semangat perpaduan yang utuh.
Baginda juga mahu supaya sambutan perayaan sebegini diraikan dengan dengan meriah, sambil tetap berwaspada serta mematuhi SOP yang ditetapkan memandangkan wabak Covid-19 masih menular di dalam komuniti.
Semoga limpahan cahaya yang menjadi simbol perayaan Deepavali mampu terus menyinari semangat perpaduan antara kaum di Malaysia dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang.
Dalam pada itu, foto-foto eksklusif yang dikongsikan ini juga dirakam di kediaman peribadi Baginda di Shah Alam. Baginda turut berkenan mengabadikan gambar bersama koleksi lukisan Baginda yang dilukis oleh Allahyarham Dato’ Ibrahim Hussien.
Percaya Jodoh Ketentuan Ilahi, SAIDA TARUDIN Pilih Pengurus Kanan Sebagai Suami Ke-3
Siapa kita untuk melawan takdir yang telah ditetapkan olehNya. Kakak kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza turut percaya jodoh ketentuan Ilahi.
Siti Norsaida Tarudin tanpa berahsia, berkongsi berita gembira apabila mengesahkan telah berkahwin buat kali ketiga pada 12 Disember yang lalu.
Siti Norsaida Tarudin atau mesra disapa Saida juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam ini telah melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Mohd Nooraizal Rasip.
Tidak menunggu masa yang lama, pasangan sama cantik sama padan ini mengambil keputusan untuk bernikah selepas lima bulan menjalinkan hubungan serius.
Saida turut memaklumkan bahawa dirinya sudah berpisah secara baik dengan bekas suami sejak Mac lalu. Perkahwinan kedua yang dibina pada 2016 itu hanya bertahan sekitar empat tahun.
“Saya memang sudah berpisah dengan bekas suami cuma memilih untuk tidak menggembar-gemburkannya. Saya anggap jodoh tak panjang antara kami.
Dalam tempoh kembali solo, saya tidak menduga insan yang sudah lama dikenali atas kawan itu kini bergelar suami.
Saya percaya jodoh ketentuan Ilahi, dan jodoh baru ini juga ketentuan dan takdir yang tertulis. Di saat sedikit demi sedikit tertutup hati, saya membukanya semula tanpa diduga,” kata wanita yang berusia 45 tahun ini.
Saida baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 pada 13 Disember lalu memaklumkan suami yang baharu dikahwininya bertugas sebagai pengurus kanan bahagian operasi di sebuah syarikat kewangan juga sebaya dengannya.
“Dia masih bujang. Kehadirannya memberi cahaya dalam hidup saya. Dia menerima saya dan anak seadanya.
Saya tertarik dengan kedewasaan, kejujuran dan keikhlasan hati dia. Usianya sendiri juga sudah molek untuk berumah tangga.
Dia sendiri memikul tanggungjawab menjaga lima orang adik perempuannya. Itu juga yang buat saya yakin dia boleh menjaga saya dengan baik.
Segala galanya turut dipermudahkan dan restu keluarga masing masing cukup penting hingga menyaksikan ikatan serta bahtera perkahwinan ini terpateri.
Kami bernikah dan bersanding pada hari sama. Insya-Allah berkemungkinan ada lagi sebuah majlis untuk sanak saudara sebelah suami sedang dirancang,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Menurut penyanyi lagu Sedalamnya Cinta ini anak bongsunya (Siti Nurul Mashitah) kini tinggal bersamanya. Bagaimanapun tiga lagi anaknya tinggal bersama bapa mereka.
Sebelum ini, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.
Kemudian Saida berkahwin untuk kali kedua pada 2016 bersama ahli perniagaan, Hafiizh Che Mat.
YDP AGONG Gesa Rakyat Tak Ambil Sikap Sambil Lewa Perintah Kawalan Pergerakan
Umum mengetahui kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada hari ini 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Perintah tersebut dilakukan selepas jumlah jangkitan di Malaysia terus meningkat dengan 117 kes baharu menjadikan jumlah positif Covid-19 mencecah 790 sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Merujuk kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada jumlah kes tersebut 60 dilaporkan telah sembuh. Dengan dua kematian dicatatkan semalam menjadikan kadar kematian di negara ini ialah sebanyak 0.3 peratus. Pada hari ini juga jumlah kematian di seluruh dunia ialah sebanyak 7,904 kes dengan Itali mencatatkan kadar kematian 7.94 peratus.
Kes kematian akibat wabak Covid-19 di Sepanyol dan Amerika Syarikat pula dilaporkan naik mendadak. Sepanyol mencatatkan 491 kematian berbanding 288 kes pada sebelumnya. Manakala Amerika Syarikat pula sebanyak 108 kematian berbanding 62 kes sebelum itu. Ini menjadikan jumlah kes jangkitan di seluruh dunia mencecah 197,575 kes.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan terhadap rakyat Malaysia.
Pada hari ini juga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua diberi sembah taklimat berkenaan operasi pemantauan, pengumpulan dan perkongsian maklumat berkenaan wabak COVID-19.
Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr. Adham Baba, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Foto: Instagram Istana Negara
Kelahiran Semula Kaum Nabi Luth, Kes Bapa Liwat Anak 626 Kali Bukti Salah Seorang Daripadanya
Satu demi satu jenayah seksual melibatkan hubungan sejenis dan liwat dilaporkan saban hari. Dan di antara yang paling tular mengejutkan rakyat Malaysia adalah kes penderaan seksual seorang bapa terhadap anak daranya sendiri yang kini berumur 15 tahun.
Naluri seorang ibu, Nona sendiri cukup terkesan dengan laporan kes keji ini. Heboh diperkatakan, suspek telah didakwa dengan 626 pertuduhan termasuk 600 kali meliwat, merogol dan melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas anak kandungnya hari ini.
Kegilaan bapa itu memang di luar jangkauan fikiran, apabila dia tergamak melakukan perbuatan keji tersebut hampir setiap hari di bulan Ramadan termasuk pada 1 Syawal. Lelaki durjana tersebut turut dilaporkan meliwat anaknya tiga kali sehari bermula Januari lalu.
Apakah manusia semakin hilang pertimbangan dan perikemanusiaannya? Tidakkah kita belajar dari sejarah kaum Nabi Luth dan azab bencana yang Allah turunkan kepada mereka?
Kaum Nabi Luth Lahir Semula?
Kes hubungan songsang, perkahwinan sejenis dan LGBT kini merupakan fenomena sosial yang amat menakutkan. Barangkali sudah ramai yang lupa kisah kaum Nabi Lut ini? Ayuh ulang kaji malam ini.
Luth bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir. Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sadum (Sodom) di wilayah Jordan.
Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).
Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, sebaliknya beriman kepada Allah dan mengingatkan mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu.
Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, Malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguhnya aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”
Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”
Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam Al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.” Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya.
Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka. Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan?”
Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”
Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sadum. Sampai di Sadum, mereka berjumpa dengan anak perempuan Luth.
“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu.
Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.
Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa.
Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila iaitu homoseksual.
Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar.
Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya. Berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.
Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik.
Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”
Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka.
Perkara ini diceritakan Al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”
Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.
Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam.
Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?” Kaum Luth ditelan bumi
Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan.
Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar. Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.” Norzalina Mohd Alias