Gaya Hidup

“Mommy Please Don’t Cry Cause Allah Is With You,” Anak Sumber Kekuatan FATIN AFEEFA

Allahu, sucinya hati anak lelaki Fatin Afeefa ini. Biarpun masih kecil, namun dia seakan memahami apa yang sedang dilalui ibu tersayang. Pantang saja tengok si ibu bersedih, bermacam-macam ungkapan manis terpacul dari bibir Adam Aisy Arrian hingga membuatkan hati Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah kembali berbunga riang. Sejuk perut ibu mengandung!

Hampir dua tahun bergelar ibu tunggal selepas perkahwinan yang dibina bersama pelakon Adam Shahz putus di tengah jalan… Fatin Afeefa segera bangkit meninggalkan episod duka demi membesarkan dua anak yang masih kecil. Adam Aisy Arrian, anak lelaki sulung kini berusia 7 tahun manakala Ivy Arra Sophia memasuki umur 4 tahun.

Mengakui terlalu sibuk dengan urusan kerja hingga tiada masa untuk bersama anak-anak membuatkan pelakon wanita ini sering di rundung rasa bersalah. “Dah lama kami anak-beranak tak pergi bercuti bersama. Semuanya sebab jadual kerja saya yang padat. Keluar rumah awal pagi sampai lewat malam baru balik hanya sebab nak berikan yang terbaik kepada anak-anak.

Memang penat kadang-kadang. Bukan pasal kerja. Tapi dengan sikap orang luar yang bercerita tentang saya. Setiap hari saya fikir, bila anak-anak dah besar nanti dan terbaca cerita-cerita buruk tentang saya… adakah mereka akan fikir saya seorang mak yang teruk atau akan membenci mak mereka sendiri?

Single mom. That title itself is hard to carry. Apa saja yang saya buat, pasti akan nampak salah di mata orang luar.”

Tambahnya lagi, sejak bercerai… dia bertungkus-lumus menyediakan wang yang cukup untuk anak-anak. “I support my child, 100% by my own. Tak ada orang yang tahu susah senang yang saya lalui setiap hari. Tiap kali diri diduga, saya akan ingat pesanan Arrian.

Mommy please don’t cry cause Allah is with you.” Dialah tunggak kekuatan saya. Kalau dia tak ada, tak tahu apa yang jadi dekat saya. Arra pula masih kecil untuk memahami semua ini. Walau macam mana pun, dia sentiasa ada di sisi saya setiap kali saya sedih. She will come and give me the longest hug ever.”

Fatin Afeefa memulakan kerjaya lakonannya sebagai pelakon kanak-kanak sejak berusia 8 tahun lagi dan pernah membintangi filem arahan Ahmad Idham iaitu Tentang Bulan yang turut dibintangi pelakon Erin Malek, Aedy Asyraf dan Nik Adruce.

Terbaru, selebriti berusia 25 tahun ini kembali menyinari industri menerusi lakonannya dalam drama bersiri, Jodoh-jodoh Annisa. Moga kerjaya seni Fatin Afeefa terus menyinar dan mampu membahagikan masa sebaik-baiknya untuk diri dan anak-anak.

 

Kredit: Instagram Fatin Afeefa

 

Share
Published by
Suzi