Siapa sangka ketika zaman kanak-kanak sering mengikut moyangnya yang bekerja di dapur istana membuat Datin Seri Emylia cekap memasak di dapur. Air tangan moyangnya sering mendapat pujian Almarhum Sultan Abu Bakar dan keluarga.
“Dulu-dulu masa sekolah rendah saya rajin ikut arwah moyang memasak di dapur istana. Bahan-bahan semua sudah disusun pembantu. Saya suka tengok gaya arwah memasak dan perhati bahan-bahan yang digunakan. Dari situ saya dah mula tahu macam mana nak masak dan bila sekolah menengah saya dah boleh memasak.
Di antara amalan masak arwah moyang adalah membuat rempah ratus yang diproses dan dikisar sendiri. Hingga kini saya amalkannya dan saya tak pernah beli rempah yang sudah diproses dalam peket. Aromanya lebih wangi dan rasanya lebih berperisa. Saya juga buat sendiri pes cili kering dan tidak sekali-kali menggunakan cili boh,” kongsi beliau mengenai ilmu masakan yang diwarisi dari moyangnya dan turut berkongsi resipi acar buah.
ACAR BUAH
Bahan-Bahan :Bahan A (bahan tumis):
1 1/3 cawan minyak untuk menumis (Lebihkan sedikit kerana buah akan menyerap minyak)
1 sudu makan biji sawi (ditumbuk atau kisar tanpa air)
4 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2.5cm halia
Bahan B (rempah tumis)
3 sudu makan rempah kari
8-10 tangkai cili kering (dibuang biji ,rebus dan kisar. Disangai dan dikisar halus
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh Jintan Putih biji
1 camca teh Jintan Manis biji
Bahan C
4 sudu makan gula merah
2 sudu makan sos cili
Garam secukup rasa
2 sudu makan perahan lemon
Bahan D
Disangai:
1/4 cawan bijan
1/3 cawan biji sawi
Bahan E (Buah-buahan)
50-150 gram setiap jenis buah buahan | kering atau jeruk (limau jeruk dibelah 12 ikut saiz)
2 labu bawang putih | dibelah dua jika bersaiz besar
12-15 ulas bawang merah | dibelah dua Cili Padi secukupnya
* Kalau buah yang berbiji atau besar seperti prune lebihkan sedikit timbangan, dipotong dua atau empat atau biarkan sebiji-biji.
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam periuk.
2. Tumiskan bahan A sehingga garing.
3. Masukkan bahan B, kacau jangan biar hangit dan terus masukkan bahan C.
4. Biarkan sampai mendidih dan sedikit kering (berbuih-buih air gula).
5. Masukkan bahan E dan akhir sekali bahan D dan digaul sedikit supaya bercampur.
6. Usah dikacau terlalu lama kerana buah akan hancur.
7. Bila mendidih terus padamkan api (Jangan masak terlalu lama kerana buah akan kecut).
Sumber: Majalah RASA
This website uses cookies.