Mudah & Cepat Menular, KP KESIHATAN Sahkan Covid-19 Varian UK Dikesan Dalam Negara!

Selepas kes jangkitan Covid-19 di Malaysia masih mencatatkan empat digit, kini negara berdepan situasi terbaharu apabila varian UK B.1.1.7 dilaporkan dikesan hari ini. Dalam keadaan para petugas barisan hadapan yang ‘berjuang’ merawat sejumlah pesakit Covid-19 yang kian meningkat, penularan varian bermutasi yang berasal dari United Kingdom ini pastinya menjadi cabaran besar buat mereka.

Perkembangan terbaharu ini disahkan sendiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau. Menurut kenyaatan Tan Sri Dr Noor Hisham, “Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa satu kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike telah dikesan di Malaysia pada hari ini.

Kes tersebut telah dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020. Pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut. Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

Sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan telah melakukan “genome sequencing” bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel. Setakat 11 Januari 2021, tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut.

KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa. Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat.

Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.”

Setakat semalam, negara mencatatkan kes harian sebanyak 2,232 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 138, 224 kes. Manakala kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 28,554 kes.

Khabarnya, menjelang Februari depan negara akan menerima bekalan dos vaksin Covid-19 Pfizer dan Bio N Tech.

Sebagai langkah berjaga-jaga dan situasi yang kian membimbangkan, esok bersamaan 13 Januari 2020 beberapa negara di Malaysia akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Diharapkan dengan pelaksanaan ini, angka kes jangkitan wabak maut berkenaan dapat diatasi segera. Sama-sama kita berjuang menentang Covid-19 dan membantu petugas barisan hadapan mengurangkan kes jangkitan. Kita pasti menang!

Kredit foto: Facebook Tan Sri Noor Hisham

Share
Published by
Suzi