Setiap kali menjelangnya musim perayaan, sudah tentu perantau di kota membuat perkiraan untuk pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri. Tidak kira sama ada berada di dalam mahupun luar negara, tradisi balik kampung masih tetap diamalkan sehingga kini.
Bagi pasangan selebriti Indonesia, Anang Hermansyah dan Ashanty, lebaran kali ini menyaksikan mereka bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman Anang yang terletak di Jember, Jawa Timur.
Keluarga Anang Hermansyah kini sedang mudik ke Jember, Jawa Timur. Anang bersama keluarganya iaitu Ashanty, Arsy, Arsya, dan Azriel menggunakan bas persiaran sebagai kenderaan utama untuk pulang berhari raya atau mudik lebaran.
Memandangkan keadaan lalulintas di seluruh Indonesia sememangnya diketahui akan berlaku kesesakan setiap kali menjelang musim perayaan, tidak hairanlah mengapa pasangan selebriti ini memilih pulang beraya menggunakan bas.
Perjalanan mereka ke Jember, Jawa Timur turut diiringi oleh beberapa orang kru A6 yang bakal meraikan Aidilfitri bersama keluarga selebriti tersebut di Jember.
Pasangan selebriti ini turut berkongso momen perjalanan ‘mudik keluarga Anang Hermansyah’ di laman Youtube The Hermansyah A6. Keterujaan keluarga selebriti ini untuk menyambut lebaran di Jember turut dirasai apabila momen sepanjang perjalanan pulang ke Jawa Timur itu dikongsi melalui Instagram mereka.
Perjalanan dari Jakarta ke Jember mengambil masa selama 12 jam. Perjalanan pulang beraya kali ini merupakan kali pertama buat pasangan selebriti ini selepas 3 1/2 tahun tidak pulang meraikan Aidilfitri di Jember akibat pandemik Covid-19.
Perjalanan pulang ke kampung turut disertai oleh Thoriq Halilintar iaitu adik kepada menantu Anang Hermansyah iaitu Atta Halilintar. Secara tidak langsung, ukhwah keluarga besar ini jelas terlihat di mana Anang dan Ashanty amat gembira bakal meraikan lebaran dengan keluarga yang ramai.
Menurut Ashanty, sebelum berkahwin dia pernah mempunyai impian untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai kampung halaman supaya suasana lebaran dapat dirasai dalam suasana kampung halaman yang berbeza dari sambutan lebaran di Jakarta.
Nampaknya lebaran tahun ini pastinya menjadi momen indah buat Anang dan Ashanty bersama keluarga besar di Jember, Jawa Timur kerana dapat berkumpul beramai-ramai setelah hampir tiga tahun setengah tidak dapat meraikan lebaran dalam suasana yang meriah!