Berhijab adalah tuntutan wanita Islam tapi alangkah sedihnya bila dilanda masalah muka ‘berbelang’ apabila tudung ditanggalkan.
Cerah di bahagian terlindung dan gelap di bahagian yang terdedah matahari. Bukan saja tak menarik malah membuatkan keyakinan diri pun terjejas!
Masalah ‘berbelang’ ini muncul apabila wajah terlalu terdedah kepada cuaca panas dan cahaya matahari yang menyengat wajah.
Akibatnya timbul pigmentasi dan kulit akan menjadi kering, berminyak dan kusam. Ketidakseimbangan hormon juga menjadi pula kulit wajah berbelang.
Rasa kurang percaya diri dan tidak selesa melihat wajah berbelang mempengaruhi penampilan. Jangan bertangguh lagi dan ketahui solusi untuk mengatasi belang pada wajah.
Cara Atasi
Cara yang terbaik untuk merawat kulit yang berbelang adalah dengan memberi lembapan jauh ke dasar lapisan kulit. Berikut adalah tip untuk menyegarkan semula kulit yang berbelang untuk hijabista.
(a) Sapu Krim Tabir Suria
Wanita berhijab menerima paparan sinar matahari yang tidak rata pada wajah yang terlindung dengan hijab sehingga menyebabkan wajah berbelang.
Solusi segera buat wanita berhijab adalah menyapu krim tabir suria sebelum keluar rumah lebih-lebih lagi jika melakukan aktiviti luar. Krim tabir suria membantu mengurangkan paparan sinar matahari daripada terus meratah wajah.
Namun, sebelum menyapu krim tabir suria, anda perlu menganalisa terlebih dahulu krim yang terbaik dengan kulit. Jika sudah menyapu krim tabir suria tetapi wajah masih berbelang bermakna kandungan SPF dalam krim tabir suria yang digunakan belum mencukupi.
Terdapat beberapa jenis krim tabir suria yang berbeza kandungan SPF. Jika kulit belum berbelang cukup hanya menyapu krim yang mempunyai kandungan SPF 30.
(b) Guna krim pelembap
Amalkan tabiat menyapu krim pelembap di keseluruhan tubuh selepas mandi setiap pagi dan selepas mandi di waktu malam.
Guna krim pelembap yang berfungsi untuk mengawal jumlah lembapan di bawah kulit. Jika anda bekerja di dalam bilik berhawa dingin pastikan memakai krim yang berasaskan air untuk mengunci tahap kelembapan kulit.
Namun, sebelum itu krim pelembap yang terbaik adalah yang sesuai dengan jenis kulit. Kadang-kadang jika tersalah memilih krim pelembap boleh menyebabkan berlaku iritasi pada kulit.
Bagi menghilangkan belang pada wajah perlu memilih pelembap yang dapat memberikan perlindungan tambahan pada kulit wajah.
Wajah perlukan perlindungan tambahan untuk menjaga daripada sinar UV dan radikal bebas. Pastikan juga pelembap tersebut bukan sekadar memberi kelembapan pada kulit malah dapat melindungi kulit secara semula jadi.
(c) Banyak minum air mineral
Sebagaimana yang diketahui air merupakan sumber kehidupan baik untuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga dengan kulit kita.
Mengambil air mineral yang cukup dapat membantu mencegah terjadi kulit yang kering dan kusam. Minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari atau lapan gelas air sehari untuk kulit yang lembap dan lembut.
(d) Makan buah yang mengandungi vitamin E
Kecantikan kulit bukan sahaja perlu dijaga dari luar malah bermula dari dalam. Amalkan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang.
Sayur-sayuran dan buah-buahan serta makanan bernutrisi berupaya untuk membantu menghilangkan belang pada wajah. Untuk mendapatkan kulit sihat adalah disarankan untuk mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C dan vitamin E.
Vitamin E merupakan kandungan vitamin yang sangat baik untuk menjaga kelembapan kulit wajah. Vitamin E juga boleh membantu mengekalkan keanjalan kulit dan menegangkan semula kulit wajah. Pengambilan vitamin E yang diperoleh daripada sumber makanan seperti kacang badam dan jenis kekacang yang lain.
(e) Pengambilan lemak yang secukupnya
Tidak semua lemak tidak baik untuk kulit. Mengambil lemak yang cukup sangat penting terutama lemak omega.
Selain membantu menjaga kesihatan jantung dan otak lemak omega juga mempunyai sifat anti radang yang dapat membantu menjaga lembapan kulit. Lemak omega boleh diperoleh daripada kekacang, ikan salmon, buah kelapa dan avokado.
(f) Memakai Lulur Wajah
Kulit wajah berbelang akibat memakai hijab biasanya terjadi kerana tompokan sel-sel kulit mati yang terkumpul pada lapisan kulit wajah. Apa yang perlu dilakukan untuk menghilangkan kulit wajah berbelang adalah menyingkirkan sel-sel kulit mati tersebut daripada terus terkumpul.
Cara yang mudah dan boleh dilakukan sendiri adalah dengan melakukan lulur pada wajah. Sekurang-kurangnya lulur wajah seminggu sekali untuk menanggalkan sel kulit mati dan mengelakkan kulit kusam.
Jika amalan ini berterusan pasti belang di wajah hilang dan kulit terpelihara cantik dan bersih. Tidak perlu menggosok secara kasar cukup hanya dengan urutan lembut secara membulat pada kulit wajah.
(g) Menggunakan madu
Madu yang dikeluarkan daripada mulut lebah memang banyak khasiatnya. Madu memang terkenal sebagai penawar dan boleh membantu melembapkan kulit. campurkan madu dengan gula dan pisang yang sudah dilenyekkan.
Sapu di seluruh bahagian wajah sambil mengurut lembut otot-otot wajah. Cara yang mudah untuk mengembalikan semula lembapan di bawah kulit wajah.
(h) Menggunakan buah avokado
Buah avokado juga boleh membantu memberi lembapan kepada kulit wajah. Hancurkan buah avokado yang telah dilenyek dengan susu segar seperti menjadi krim.
Sapu di seluruh bahagian wajah dan urut dengan lembut terutama di kawasan poin-poin untuk menegangkan otot wajah. Lakukan selalu dengan konsisten untuk mengawal lembapan di bahagian kulit wajah. Hamizatul Maizan Mohamed