Mula Berniaga Dari Zaman Sekolah, ERRA FAZIRA Dedah Pernah Jual & Buat Keropok Sendiri!

Wah, tak sangka rupa-rupanya Erra Fazira sudah mula meminati bidang perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Tatkala ditanya kerjaya impian Erra sekiranya bukan bergelar artis, ibu kepada Engku Aleesya ini memberitahu dia mungkin menjadi seorang ahli perniagaan.

“Saya rasa saya akan menjadi seorang businesswoman. Sebab saya suka berniaga. Dari saya kecil lagi saya dah berniaga. Kecil-kecil dulu saya pergi sekolah.. saya berniaga keropok. Sayalah yang menggoreng, cabut sendiri ubi kayu dan segala-galanya saya buat sendiri.”

Ternyata, impian tersebut bukan omong kosong sebab aktres jelita ini berjaya membuktikan dia mampu memiliki empayar niaga sendiri melalui penghasilan jenama tudungnya, Rara by Erra Fazira dan Rara Cookies. Khabarnya, perniagaan tudung Erra ini juga telah bermula secara kecil-kecilan sebelum dia mengenakan hijab lagi.

Disifatkan sebagai seorang wanita yang berdikari, Erra yang kini berstatus ibu tunggal enggan melihat perkara itu sesuatu yang menyukarkan. Sebaliknya, melontarkan kata-kata semangat ini buat semua wanita yang melalui nasib sama seperti dirinya.

“Jangan menghempas diri.. kita kena bangun. Kita tak ada orang lain untuk kita nak bersandar. Jadi, semua sandaran tu hanya kepada kita. Maka bangunlah. Kita ketepikan tanggapan orang lain terhadap kita. Tapi kadang-kadang yang paling sakit itu adalah tanggapan daripada keluarga atau saudara-mara sendiri.

Tapi tak apa, itu semua cliche. Kita buktikan bahawa ibu tunggal boleh membesarkan anak, boleh hidup dengan baik.. boleh didik anak dengan baik. Yang penting, kita balance dunia akhirat,” terang Erra ketika menjadi penghias muka depan Nona Edisi Oktober 2018.

 

Share
Published by
Suzi