Walaupun baharu tiga tahun memulakan perniagaannya namun langkah selebriti dan Ketua Pengarah Eksekutif Absolut Brand, Nadiyah Shahab semakin deras merencana empayar perniagaannya.
Nadiyah Shahab bersama suaminya, pelakon Ben Ali telah memberanikan diri melawan arus dengan membuka cawangan stor fizikal pertamanya di pusat beli belah terkemuka, Mid Valley Megamall.
Ben atau nama penuhnya, Nur Ali Nadzwan selaku Pengarah Urusan syarikat berkenaan berkata tujuan utama memasuki pasaran ‘offline’ dengan menyasarkan ke semua pasar raya terkemuka sekitar Lembah Klang itu sebagai strategi keluar dari zon selesa.
“Ini kerana sektor ‘offline’ terutamanya di dalam pasar raya mega ini didominasi oleh bangsa lain selain Melayu. Lantas ia menjadikan faktor sebagai satu cabaran dan batu loncatan kepada kami untuk terus maju ke hadapan melalui visi dan misi yang diperjuangkan,” katanya.
Nadiyah yang turut memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management pula berkata tentang dugaan berniaga kala pandemik COVID-19, “Pada tahun lalu, syukur perniagaan kami tidak terkesan.
Ini kerana fasa sekatan pergerakan perjalanan pertama menyaksikan kebanyakan masyarakat banyak berbelanja di sektor online. Sekali gus ia menyebabkan kami mencatat hasil jualan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Namun bagi tahun ini pula, aliran perbelanjaan masyarakat dilihat agak sedikit perlahan. Mungkin disebabkan oleh faktor mahu berjimat cermat apabila sudah memasuki fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kami sejujurnya sedikit terkesan,” katanya.
Teringat kisah dan ketabahan Nadiyah Shahab saat bercerita saat mula bertatih dalam dunia perniagaan. “Saya mula membina bisnes ini dengan suami pada 18 Februari 2018. Suka duka, turun naik yang kami berdua lalui jadi kenangan dan pengalaman berharga.
Bayangkan di pondok rehat perumahan awam, segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak beserta sos.
Sukar dibayangkan memori itu, malah kami pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya yang kini tersenyum bangga apabila mampu memiliki sebuah kilang sendiri dan merancang membuka lima cawangan kios lagi juga di Lembah Klang sebelum April tahun depan.
This website uses cookies.