“Oh, bulan, enggan melayan diriku lagi, pabila air mata membasahi pipi..”
Pasti anda masih ingat pelantun suara lagu ‘Dan Sebenarnya’, Yunalis Mat Zara’ai atau sering disapa sebagai Yuna yang kini sudahpun berjaya melebarkan sayapnya di peringkat Antarabangsa.
Terdahulu sebuah lagu dan muzik keluaran Yuna merupakan antara topik perbualan ramai yang hangat diperkatakan, apabila lagu ciptaan dan nyanyian penyanyi itu telah didengari seramai 70 juta warga Amerika Syarikat.
Mengulas berkenaan kejayaan nya itu, Yuna menerusi Instagram Storynya menzahirkan perasaan terharu kerana akhirnya dia berjaya mengecapi kejayaan setelah melalui pelbagai onak dan duri di negara orang.
Mengimbau kepayahan sebelum berjaya naik ke puncak populariti di Amerika, Yuna terkenang ketika dia berusia 21 tahun, dia pernah menyampaikan hasratnya kepada salah sebuah syarikat rakaman di Kuala Lumpur.
Ketika itu, dia hanya bersetuju menandatangani kontrak sekiranya syarikat rakaman membenarkan dia untuk melebarkan sayapnya dengan lagu Inggerisnya ke peringkat antarabangsa.
Namun, hasratnya tidak kesampaian, lebih teruk lagi apabila wakil syarikat rakaman itu memandang rendah terhadap kemampuan dirinya dan menghamburkan kata-kata memerli bahawa tiada siapa dari AS yang akan mendengar lagu inggeris dari artis Malaysia.
Penyanyi berusia 36 tahun itu turut menyatakan rasa syukur kerana mempunyai kawan, keluarga dan peminat dari Malaysia yang selalu mempercayai dan menyokongnya untuk terus ‘terbang lebih tinggi’.
Kejayaannya ini adalah kejayaan bersama, Yuna turut berterima kasih kepada peminat yang sudi mendengar dan membeli muziknya di Apple Music sebagai tanda sokongan hingga lagu-lagu nyanyianya menjadi hit.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Yuna
This website uses cookies.