Mula Dari Bawah, MASTURA IDRIS Cipta Nama Dalam Bidang Estetik

Tak salah memasang angan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa tetapi ia perlu disertakan dengan usaha tanpa mengenal erti lelah. Itulah yang dibuktikan oleh wanita genit dan manis ini, Mastura Idris atau lebih mesra disapa Tecer Mass yang membuktikan kerja keras pastinya bakal membuahkan hasil.

Mastura Idris

Menurut Tecer Mas, perjalanan kariernya bermula ‘dari bawah’ iaitu sebagai pekerja di sebuah salun yang hanya bermula sebagai pembantu am. Namun,  pemilik dan pengasas The Beauty Expert Academy Spa ini kemudiannya berjaya keluar daripada kepompong kerjayanya seterusnya melangkah lebih maju ke hadapan apabila melihat peluang dan ruang ada di depan mata.  

“Saya masih ingat, waktu itu majikan di spa berkenaan bertanya sama ada saya berminat untuk belajar kemahiran mencuci muka dan sebagainya. Terus saya ambil peluang tersebut.

Bermula dari situ saya belajar semua jenis kemahiran sehinggalah majikan saya percaya dan lepaskan saya sedikit demi sedikit untuk menguruskan spa berkenaan,” kongsinya ketika ditemui di premis kecantikannya baru-baru ini.

Bijak melihat ruang dan peluang yang muncul di depan mata, Tecer Mas nekad berhenti kerja kerana  ingin menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kecantikan.

“Selepas berhenti kerja, saya ambil kursus kemahiran dan pada masa sama turut bekerja dengan orang lain. Sehinggalah saya berjaya memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sebaik memperolehi ilmu dalam bidang kecantikan, Tecer Mas melangkah setapak lagi dengan membuka perniagaanya sendiri. Tahun 2012 menyaksikan dirinya memiliki syarikat sendiri, iaitu Beauty Expert Academy. Lebih membanggakan, ibu kepada seorang cahaya mata ini mempunyai kelulusan Vocational Trainning Official (VTO), Sijil Kemahiran 1, 2 dan 3 dan juga menjalankan sesi perundingan dan rawatan kecantikan. Selain itu, beliau juga merupakan seorang tenaga pengajar dalam bidang estetik.

Mendapat pengiktirafan sebagai Pakar Kecantikan Malaysia (JPK), tidak hairanlah apabila wanita bertubuh kecil molek itu turut dilantik sebagai Penasihat Industri Kolej Komuniti Malaysia.

Tidak lengkap perjalanan perniagaan tanpa melalui rintangan dan cabaran. Begitu juga  Tecer Mas yang pernah melalui pelbagai rintangan sebelum Beauty Expert Academy dikenali sehingga kini. Berkatsokongan insan tersayang hampir membuatkan beliau berputus asa.

“Saya pernah merasa pahit dan kesusahan sepanjang perjalanan membina bisnes. Mana tidaknya,  dengan tiada sebarang pinjaman dengan mana-mana pihak untuk memulakan perniagaan, segalanya saya usahakan sendiri. Pernah satu tahap  suami sendiri kurang yakin dengan pilihan yang saya buat. Dia meminta saya fokus menjaga anak-anak sahaja. Kata suami, mana mungkin mencantikkan orang boleh buat saya jadi kaya.

“Bila jadi macam itu, bohonglah andai kata saya tidak pernah down. Sudah pelbagai cara dan ikhtiar saya lakukan namun belum menampakkan hasil. Malah, pernah juga ditipu pelanggan membuatkan saya hampir putus asa. Namun, saya bangkit semula,” kongsinya lagi.

Berkat kesabaran dan tanpa mengenal erti lelah, Tecer Mas kini boleh berbangga dengan pelbagai kejayaan yang dikecapinya antaranya termasuklah menerima pengiktirafan Malaysian Trustworthy Aestheticians & Beauticians 2023 (MTAB) dan Successful People In Malaysia – Britishpedia 2023 dan berkat kesabaran, lebih 18 tahun berkecimpung dalam insdutri kecantikan, Tecer Mass turut miliki ribuan pelajar.

Pusat estetik yang beroperasi di Cheras, Selangor bukan sahaja menawarkan rawatan kecantikan, bahkan setiap pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan perundingan daripada pakar estetik terlatih yang ada di situ.

“Paling saya utamakan adalah spa kena bersih kerana dari situ datangnya rezeki. Pelanggan datang lihat tempat bersih dan mendapat layanan baik staf membuatkan mereka akan datang lagi mendapatkan rawatan di sini. Itulah yang saya tekankan kepada staf,” ujar beliau yang juga Pemudah cara dan Penceramah di Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Wanita ini tidak meletakkan mana-mana individu sebagai idola memandangkan dirinya yang berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan sehingga ke tahap hari ini.

“Untuk menjadi wanita yang hebat dan berjaya, kena yakin dengan keupayaan diri sendiri. Tanpa hiraukan kata-kata negatif orang sekeliling,” ujar Tecer Mas seraya mengakhiri perbualan.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu