Siapa sangka pemegang Ijazah Sarjana Muda Berganda (double degree) dalam bidang senibina mampu mencipta kerjaya dalam industri fesyen tanah air. Pemilik nama Fuzana Mokhtaza bukanlah nama asing dikalangan pencinta fesyen. Minat yang mendalam mengenai dunia fesyen membawa satu lembaran baharu buat anak muda yang berasal dari Alor Star, Kedah ini. Mula mengikuti kelas jahitan seawal usia 15 tahun nyata mematangkan Fuzana Mokhtaza dalam menghasilkan setiap rekaan busana. Hari ini, jenama Fuzana Mokhtaza kian meniti kejayaan dengan kualiti dan rekaaan yang cukup eksentrik.
BAGAIMANA ANDA MENCEBURI BIDANG FESYEN?
Saya menceburi dalam bidang fesyen secara tidak langsung. Saya seorang yang mementingkan pakaian yang betul fit to my body. Semasa saya masih kecil, tukang jahit sering membuat pakaian yang besar untuk saya. Disebabkan hal itu, saya meminta ibu saya untuk menghantar saya ke kelas menjahit. Kebetulan pula, nenek sebelah ibu saya seorang tukang jahit. Walaupun saya tidak pernah bertemu nenek , saya sering melihat gambar beliau di akademi menjahit. Saya juga melihat hasil kerja beliau untuk pakaian ibu dan makcik-makcik saya. Dari situ, saya mula mencintai bidang fesyen.
PERMULAAN ANDA DALAM BIDANG FESYEN?
Ketika saya masih belajar di universiti, saya menjahit di bilik dan apabila cuti semester saya akan mengambil kesempatan tersebut untuk menjahit sepenuh masa. Pada mulanya saya hanya menjahit jubah, dres dan abaya sahaja untuk rakan-rakan dan keluarga. Selepas itu, saya mula membuat rekaan baju kurung lace RTW. Nama saya kian dikenali dan mendapat tempahan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Ada juga yang meminta saya untuk membuat baju perkahwinan.
APAKAH KEKUATAN JENAMA ANDA?
Saya mementingkan rekaan yang tidak terlalu sarat, moden dalam pada masa yang sama ia cukup feminin dan lembut. Paling penting sekali, saya akan pastikan setiap rekaan yang saya hasilkan bersesuaian dengan personaliti dan keadaan fizikal seseorang individu itu.
BAGAIMANAKAH UNTUK MEMASTIKAN JENAMA ANDA MASIH BERTAHAN HINGGA KE HARI INI?
Untuk kekal bertahan hingga ke hari ini, saya selalu mengikuti trend terkini, fabrik dan teknik terkini. Pada saya, untuk menempa nama mudah tetapi untuk kekal relevan bukanlah sesuatu yang mudah. Walaubagaimanapun, pengalaman saya selama 7 tahun masih dianggap hijau bagi saya. Saya masih perlu pelajari dan memperbaiki mana yang perlu. Apa yang boleh saya katakan disini, paling penting harus sentiasa up to date with current trend dan pastikan hasil produk yang dihasilkan bagus dan sempurna.
APAKAH CABARAN YANG ANDA HADAPI SEBAGAI PEREKA FESYEN YANG MEMAKAI HIJAB?
Saya rasakan masyarakat boleh menerima pereka feysen berhijab dan sebagai salah seorang wanita berhijab, saya sentiasa menerima maklum balas yang sangat positif. Sejujurnya, tiada cabaran yang terlalu besar dan saya masih mempunyai pelanggan yang percaya dengan jenama Fuzana Mokhtaza. Dari segi rekaan, saya tidak begitu menghadkan untuk mereka sesuatu pakaian. Namun dalam pada masa yang sama, saya akan cuba sebaik mungkin untuk tidak menghasilkan pakaian yang terlalu terdedah.
SEBAGAI WANITA YANG MEMAKAI HIJAB, ADAKAH ANDA AKAN MEMASTIKAN PAKAIAN YANG DIREKA LEBIH SOPAN?
Of course! Saya akan sentiasa meneliti dan pastikan setiap rekaan yang saya hasilkan itu todak keterlaluan. Namun, saya juga mempunyai pelanggan yang terdiri daripada non-muslim. “so basically I design something that is modern, but not too conservative but at the same time not too revealing”.
PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN?
Dipilih menjadi wakil dari Malaysia untuk mengadakan pertunjukan fesyen dengan negara-negara lain termasuk Mexico, Turkey Lebanon dan lain-lain lagi di Qatar, Doha. Pertunjukan fesyen ini adalah bridal fashion show yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Qatar. Berkongsi backstage dengan pereka fesyen terkenal antaranya Fouad Sarkis dari Lebanon adalah momen yang sukar untuk dilupakan.
This website uses cookies.