“Mula-Mula Batuk Je” Hamil 5 Bulan & Positif COVID-19, Saidatul Amin Kongsi Pengalaman Di Hospital

Peningkatan kes jangkitan COVID-19 terus di tahap membimbangkan dengan empat angka kes baru setiap hari. Dalam situasi mencemaskan ini, golongan berisiko tinggi paling diberi keutamaan umpamanya seperti yang menimpa usahawan terkenal Saidatul Amin, yang kini sarat hamil 5 bulan.

Percaya bahawa tidak ramai yang tahu keadaan sebenar di hospital, Sai sudi berkongsi pengalamannya sebagai ibu hamil yang positif COVID-19 kepada Majalah Nona.

“Waktu tu simptom yang ada pada Sai cuma batuk sahaja. Nothing serious than that,” ujar beliau sebelum menjalani ujian swab.

Punca jangkitan COVID-19… “Pada mulanya, Sai dan suami dapat tahu yang kawan kami sendiri disahkan positif COVID-19. Perasaan masa tu memang risau sebab kami dengan pesakit adalah kontak rapat dan pernah berjumpa dalam masa yang lama.

Pengasas AYO Fried Chicken, Zahir dan Sai

Jadi kami terus buat PCR Test untuk confirmation dan sedih sekali bila dapat keputusan bahawa kami berdua pun positif juga.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya waktu tu dengan kandungan 5 bulan. All i think about is my baby’s health,” cerita Sai atau nama penuhnya Khairul Norsaidatul Firdaus Alhusna Khairul Amin.

DIBAWA KE HOSPITAL

Sehari selepas disahkan positif COVID-19, wanita berusia 26 tahun ini telah dihubungi oleh Pusat Kesihatan Daerah untuk diambil dengan ambulans ke pusat kuarantin.

“Saya dan suami saya, Muhammad Zahiruddin Ariffin, sentiasa positifkan diri sepanjang tempoh kuarantin sementara di rumah. Keesokan harinya, ambulans pun datang ambil Zahir dan dia dihantar ke MAEPS Serdang.

Berpisahlah sekejap dengan suami buat sementara sebab saya dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi. Saya dibawa ke Hospital Sungai Buloh supaya pihak Doktor mudah memantau kesihatan saya dan bayi dalam kandungan,” tulisnya.

Sai sewaktu di Hospital Sungai Buloh

Menceritakan pengalaman beliau sebagai ibu hamil yang positif COVID-19, Sai mengambil pendekatan terbuka dengan menceritakan keadaan sebenar di hospital.

“Untuk semua ibu hamil yang disahkan positif COVID-19, saya tahu anda pun mesti risau dengan kesihatan bayi dalam kandungan. Jangan risau, doktor akan selalu scan perut kita serta pantau keadaan ibu-anak setiap masa.

Saya dengar macam-macam tentang keadaan ibu hamil yang terkesan dengan COVID-19. Tak henti-henti saya berdoa untuk kesihatan anak dan dipermudahkan semuanya.

Sepanjang di hospital, alhamdulilah bayi banyak bergerak dan aktif dalam perut. Itu bagi saya betul-betul memberi semangat dan kekuatan untuk kami suami isteri.

Saya juga nak orang luar tahu bahawa frontliners di sini begitu komited dengan kerja-kerja mereka. Memang respek dan kagum dengan usaha serta kerja keras mereka semua menjaga pesakit-pesakit COVID-19.”

SEMBUH

Dalam perkembangan terbaru, kedua-dua pasangan suami isteri ini telah disahkan negatif dan kembali ke rumah. Kata Sai kepada Nona, “Alhamdulillah kesihatan saya kini semakin baik. Sekarang saya dah boleh buat kerja-kerja seperti biasa.”

Mommy-to-be kini semakin sihat

Usahawan AYO Fried Chicken itu juga memanjatkan kesyukuran kerana semuanya sudah selamat. “Banyak pengalaman yang mengajar saya sepanjang menjadi pesakit COVID-19. Untuk semua #covidfighters, selalulah berfikiran positif dan elakkan stres. Insyaallah everything will be fine,” akhirinya.

Kredit foto: Instagram @saidatulamin

Share
Published by
Norzalina