Penampilannya kini boleh dikatakan merupakan satu kejutan kepada sesiapa yang mengenalinya. Dahulu dia merupakan seorang yang sangat menonjol apabila berfesyen dan siapa boleh lupakan penampilannya yang pernah berambut blonde pendek. Namun itu mungkin perkara yang sudah lalu. Kini tampil berhijab dan berniqab, Sharifah Kirana lebih menjurus ke arah gaya hidup Islamik yang sederhana dan tidak keterlaluan.
Kongsinya tentang perubahan penampilan diri, “Proses transformasi stail dan juga cara saya berpakaian ini berlaku sedikit demi sedikit dan bukannya secara paksaan, jujur saya katakan ia bukannya mudah. Saya mula bertudung pada tahun 2008 namun masih belum istiqamah, keselesaan itu belum mendalam lagi dan kadang-kadang hati berasa ragu.
Walaupun terdapat rasa ragu untuk berubah, saya tetap meneruskan juga mula-mula dengan menutup kepada dan kemudian berhijab dengan molek. Saya mula benar-benar itiqamah bermula dua dan tiga tahun kebelakangan ini dan semakin selesa dengan penampilan berhijab serta berniqab sepenuhnya. Kalau nak tahu sejak berniqab saya rasa ia memberikan kebebasan kepada saya sebenarnya.”
Ketika Minggu Fesyen Malaysia 2017 berlangsung pada pertengahan September tahun lalu, dia mempersembahkan koleksi rekaan yang sopan menutup aurat wanita yang diberi nama SUCI by Sharifah Kirana. Bercerita tentang perubahan dalam nilai rekaan ini, dari riak suaranya penulis dapat merasakan kejujuran dan niat berada di dalam landasan yang menggembirakan hatinya.
“Sebenarnya ini lebih kepada kesedaran dalam hidup kita, jadi apa yang saya lakukan sekarang dari segi seni dan juga fesyen boleh menjadi bekalan saya di akhirat nanti. Saya mahu menghasilkan busana yang punya tujuan di samping mendapat keredaan Allah SWT. Selari dengan konsep ini, saya bakal menubuhkan ‘House of Aurat’ yang mengkhususkan menjual pakaian yang menepati syariat.
Namun semua kena faham, House of Aurat ini tidak semestinya kita mahu memaksa semua orang untuk tampil berniqab atau memakai tudung, tetapi saya mahu menggalakkan mereka memamakai busana yang lebih sopan. Oleh itu sasaran target pembeli saya adalah universal untuk semua orang tanpa mengira bangsa dan juga agama.”
*UNTUK MEMBACA TEMUBUAL INI DENGAN LEBIH MENDALAM. DAPATKAN MAJALAH NONA EDISI JANUARI 2018 YANG SUDAH BERADA DI PASARAN.
This website uses cookies.