Tahniah Elly Mazlein yang berjaya merangkul gelaran Pengacara TV Popular baru-baru ini! Siapa sangka, lebih dua dekad dalam industri akhirnya Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi menerima anugerah hasil kerja kerasnya sebagai pengacara televisyen beberapa tahun kebelakangan ini.
Bermula sebagai penyanyi sekitar tahun 1998, Elly atau kini lebih sinonim dengan gelaran Kak Lina Pom Pom atau Kepom pernah menjadi penyanyi syarikat rakaman NAR Records dan menerbitkan empat album.
Dia juga pernah mencipta rekod menjadi antara 10 album Malaysia terlaris pada tahun 2001. Antara lagu popular dendangan Elly termasuklah Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Janji Kekasih dan Bungaku Bakawali.
Selain berbakat dalam bidang nyanyian, ibu dua anak ini juga pernah membintangi siri drama Gerak Khas yang memegang watak Detektif Mazlein.
Kerjaya seninya terus berkembang apabila dia mencuba potensi diri dalam dunia pengacaraan dengan pernah mengendalikan Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, rancangan masakan Kampung Pom Pom Letops!, Meletop, Gegar Vaganza dan terbaharu Big Stage.
Terharu dan tidak menyangka menggondol Anugerah Pengacara TV Popular, Elly menerusi Instagram miliknya meluahkan isi hati. “Semalam adalah hari yang paling indah dan bahagia sepanjang Kepom menjadi anak seni dari tahun 1998 – 2023.
Inilah bahagia selepas bermacam rasa. 25 Tahun dan tak sangka adalah seperti dari mimpi jadi kenyataan. Alhamdulillah. InsyaAllah Kepom tetap teruskan perjalanan tanpa putus asa selagi masih diterima.
Thank you juga buat kesayangan Glam Team Kepom yang sentiasa mencari penampakan yang hebat untuk Kak Lina. Dan thank you terpaling no syatu api punya buat semua peminat-peminat yang Kepom sayang.
Thank you menyayangi Kepom, menyokong Kepom dan tahu tugas Kepom sebagai anak seni. Thank you kerna hargai usaha Kak Lina hingga mengangkat Kepom sebagai Pengacara TV Popular.”
Pelakon Kampung People ini mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan dikurniakan anak lelaki, Haider Mateen yang bakal berusia dua tahun pada Oktober nanti.
Terdahulu, personaliti ini pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun bercerai pada Oktober 2015. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Putri Sara Sefhia berusia enam tahun.
Artikel selanjutnya https://www.nona.my/sambung-master-waktu-anak-baru-4-bulan-dhaniyah-guna-pengaruh-anak-selebriti-cetus-inspirasi/
This website uses cookies.