Mulia Sungguh Hati Datin Fouziah Gous Menyantuni Ibu Koma Lahirkan Anak Pramatang

Kisah ibu yang melahirkan anak dalam keadaan koma akibat ketumbuhan di bahagian kepala sejak tujuh bulan lalu telah menyentuh hati Datin Hajah Fouziah Gous yang juga bergelar seorang ibu.

Mahu melihat sendiri penderitaan wanita ini Datin Hajah Fouziah Gous yang juga merupakan seorang pelakon bersama suaminya usahawan Datuk Haji Zhafran Yusof telah menyantuni keluarga Kamareeah Arwae, 36 tahun.

Hati wanita mana yang tidak tersentuh apabila melihat ada ibu koma dan terpaksa melahirkan anak secara pembedahan. Kamareeah masih belum sedarkan diri dari koma lagi dan melahirkan bayi pramatang 53 hari yang lalu.

Menurut suami kepada Kamareeah, Fairol Haziri Rahim, 44 tahun, mengharapkan keajaiban bahawa isterinya sedar lantaran doktor memberi jaminan bahawa isterinya akan sembuh. Namun, doktor tidak dapat memberi kepastian tempoh isterinya yang terlantar itu akan kembali pulih.

Sementara itu, tambah Datuk Zhafran, sudah lima tahun melakukan kerja amal dengan menziarahi keluarga yang memerlukan bersama isterinya. Tragedi Bah Kuning di Kelantan sekitar tahun 2014 adalah pencetus semangat pasangan sama cantik sama padan ini meneruskan aktiviti kemanusiaan ini.

“Bagaimanapun dalam banyak kes yang pernah kami lawati, keajaiban yang berlaku ke atas Kamareeah yang melahirkan anak bongsunya dalam keadaan koma selepas tular membuatkan saya dan isteri benar-benar ingin bertemu dengan keluarga ini.

Alhamdulillah, perbincangan bersama sahabat yang tinggal di Kelantan memudahkan kami mencari keluarga ini dan berpeluang melihat sendiri keadaan Kamareeah serta anaknya,” kata Datuk Zhafran.

Menurut suami Kamareeah, Fairol Haziri, apa yang menyediahkan sebagai seorang bapa apabila terpaksa melihat anak bongsunya yang baharu berusia 53 hari hanya bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas untuk bayi pramatang.

“Hati saya sebak melihat anak bongsu yang baru dilahirkan membesar tanpa belaian seorang ibu dan perasaan gembira kami menyambut orang baru bertukar pilu,” katanya yang tinggal di rumah sewa di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.

Sumber: Berita Harian

Share
Published by
Hamizatul Maizan