Tiada apa mampu diucapkan terhadap amal jariah yang dilakukan oleh selebriti ini melainkan kata-kata syukur dan memanjatkan doa agar dipermudahkan segala urusannya.
Noorkhiriah Ahmad Shapie bersama suami dan teamnya menerusi Pertubuhan Amal Nur By Khiriah telah menyediakan perkhidmatan menguruskan jenazah daripada mandi, kafan, solat hingga ke tanah perkuburan secara percuma.
Memetik hantaran di Instagram pelakon yang membawa watak sebagai Aishah dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2 ini, sering mendoakan agar niat murninya dipermudahkan Allah SWT.
“Lama akak tak UP pasai Van Jenazah akak. Takut ada yang terlupa. PERCUMA. Untuk semua dari mandi, kafan, solat sehinggalah ke TANAH PERKUBURAN. Takyah bayar pape tapi DOAKAN Pertubuhan Amal Nur By Khiriah dipermudahkan Allah..Aamiin,” tulis wanita kecil molek ini di laman media sosialnya.
Sebelum ini, Noorkhiriah telah melaksanakan hasratnya untuk memberi perkhidmatan van jenazah secara percuma. Tindakan pelakon ini menukar kereta mewahnya (MPV Hyundai Grand Starex) menjadi van jenazah adalah perbuatan yang mulia.
“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah. Saya sayang, maka saya jadikan kereta ini sebagai van jenazah,” coret Noorkhiriah di laman Instagramnya.
Noorkhiriah mengharapkan orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam melakukan perkara baik. “Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya lagi.
Mulia sungguh hati Noorkhiriah sanggup memberi apa yang dia sayang untuk kegunaan perkara yang baik. Semoga lebih ramai lagi insan berhati mulia seperti Noorkhiriah ini.
Noorkhiriah bahagia bersama suaminya dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff. Pada dua tahun lalu, Noorkhiriah telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkatnya.
Dalam pada itu Noorkhiriah tidak lupa berkongsi nombor untuk dihubungi andai perkhidmatannya diperlukan. “Simpan nombor ini (012-2058005) andai memerlukan pertolongan kami. Doakan kami ya,” jelas isteri kepada Azfaizul Ahtan ini.