Terdahulu, pasangan selebriti yang dianggap sangat low profile, Mizz Nina dan Noh Salleh pernah memaklumkan mengenai kehadiran anak angkat mereka bernama Musa. Perkhabaran itu telah menarik perhatian ramai dan rata-rata menyatakan kegembiraan mereka terhadap perkhabaran itu.
“MUSA KINI MAHRAM SAYA”
11 tahun berkahwin, akhirnya lengkaplah kebahagiaan Mizz Nina dan Noh dengan kehadiran Musa. Hebat namanya, sehebat perjuangan pasangan ini menempuh ‘perjalanan’ penuh liku untuk bergelar ibu dan ayah.
Biarpun Musa adalah anak angkat namun Mizz Nina dan Noh menganggap permata hati mereka itu sebagai satu anugerah terindah dari Allah SWT sekaligus berpeluang menjadi ibu bapa setelah 11 tahun hidup berdua.
Menerusi Instagram Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman memaklumkan bahawa Musa kini menjadi sebahagian daripada hidup mereka berdua. Mizz Nina berkongsi satu posting di akaun Instagram miliknya tentang perjalanan dan betapa besarnya perjuangan mereka demi memperolehi seorang zuriat walau bukan dari rahimnya sendiri.
Tulis Mizz Nina panjang lebar di dalam bahasa Inggeris:-
“2 + 1 = 3
Noh, Nina & Musa الحمد لله”
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah atas kurniaan dan doa yang indah menjadi kenyataan. Dia adalah mahram saya sekarang الحمد لله”
“Ia sebuah perjalanan yang sangat panjang sebelum sampai ke saat ini, melalui proses IUI, IVF, selama bertahun-tahun. Namun Allah telah menganugerahkan bayi ini melalui cara lain, dan ianya pasti. Jika Allah berkehendak untuk anda, tiada apa dapat menghalangnya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui masa dan tempat yang tepat. Segala ujian dan perjuangan itu adalah bersebab.”
Dalam perkongsian itu juga, Mizz Nina turut menyatakan dia mengambil masa lebih setahun untuk terbuka hati dan bersedia untuk usaha ini. Menurutnya, Noh memulakan idea untuk mengambil anak angkat. Akhirnya mereka sama-sama bersedia menerima Musa sebagai pelengkap hidup mereka berdua.
“Perjalanan kemanusiaan kami juga sangat membantu saya dalam membuat keputusan. Terdapat banyak bayi dan kanak-kanak di luar sana hidup tanpa ibu bapa, tiada tempat berteduh dan keluarga untuk saling menyayangi.”
“Untuk membukakan hati bagi perkara yang akan mengubah keseluruhan hidup kami ini bukanlah mudah dan saya sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan ruang seluas-luasnya untuk saya melepaskan perasaan tidak yakin dan percaya kepadaNya, rancanganNya, ketentuanNya. Alhamdulillah, dengan baby Musa jiwa, fizikal dan minda saya kini bersedia menerimanya.”
“Dia adalah anugerah dan ciptaan Allah yang indah, dan milik istimewa buat kami. Menjadi ibu bapa baru ibarat menaiki roller coaster yang menakjubkan. Namun kami menikmati setiap momen indah itu Alhamdulillah.”
“Semoga menjadi cahaya bagi ummat, semoga Allah melindungi keluarga kecil kami di dunia dan akhirat serta mengizinkan kami tergolong dalam orang-orang yang diredhaiNya Aameen.”
Rata-rata warganet dan rakan-rakan artis turut menyuarakan rasa teruja dan gembira mereka sambil mendoakan pasangan ini kekal bahagia. Mereka juga mendoakan agar Musa menjadi seorang anak yang soleh dan bergelar khalifah, cahaya buat ummat.
Tahniah Mizz Nina dan Noh! Selamat menempuh fasa baharu sebagai ibu ayah, semoga kekal bahagia sampai syurga.
Kredit Foto: Instagram Mizz Nina