Mushaf Edisi Ke-2 Inspirasi KISWAH KAABAH Dari DATO’ RIZALMAN IBRAHIM

Menjahit sudah, memasak sudah, berniaga menjadi-jadi! Memang sudah tertulis rezeki pereka fesyen terkenal Malaysia ini begitu mudah mendekati rezeki. Mungkin kerana amal jariahnya yang dilakukan tanpa sedar, perkongsian ilmu dan celotehnya yang ‘menjadi’ membuatkan Dato’ Rizalman berjaya dalam setiap yang dilakukan.

Terbaharu, mushaf keduanya bakal dikeluarkan dengan ‘penampilan’ lebih eksklusif. Sebagaimana beliau menghasilkan busana cantik dan ‘terletak’ suatu Ketika dahulu, kini sentuhan seninya beralih pada sebuah kalam suci.

‘Mencuri’ info daripada Insta Story Dato’ Rizalman, mushaf edisi kedua ini diinspirasi dari Kiswah Kaabah.

“Inilah rupa paras Mushaf edisi kedua yang aku hadiahkan dari sudut ilham yang Allah kurniakan pada aku, diinspirasi dari Kiswah Kaabah yang sepatutnya berada di pasaran pada bulan ini (Ramadan) berkolaborasi bersama Karangkraf bagi mendidik umat Islam membaca al-Quran serta terjemahan menjelang Ramadan ini. Namun Allah lebih mengetahui sebaik-baik perkara yang berlaku…”Akhirnya mushaf istimewa ini bakal berada di pasaran pada 24 Julai 2020.

Hampir lima bulan meninggalkan dunia fesyen, kehidupan Dato Rizalman kini terisi dengan penjualan supplemen T’Neeq yang begitu mendapat tempat di hati peminat. Ramai yang memberikan maklum balas positif mengenai kebaikan T’Neeq.

“Sudah lama saya pendamkan niat mengundur diri tetapi saya takut. Setiap kali membuat pertunjukan fesyen, saya sering terfikir kalaulah aku mati saat ini, apa yang aku akan jawab pada Allah nanti. Doa saya terjawab apabila Allah perkenalkan saya dengan orang yang betul dalam penghasilan supplemen T’Neeq.

T’Neeq lahir untuk membantu orang ramai di luar sana yang hidup dalam kesusahan. Saya hidupkan konsep ejen supaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan. Bayangkan, saya pernah menerima banyak DM dari Instagram luahan perasaan dan kedaifan hidup mereka. Orang-orang media yang diberhentikan kerja ramai yang mengharapkan bantuan saya. Dah macam Menteri Kebajikan pula!

Saya murung membaca kisah-kisah mereka. Saya tidak senang duduk bila mereka mula meletakkan harapan pada saya. Bayangkan, kita duduk rumah dengan selesa, makna minum lebih dari cukup tiba-tiba kita tahu, ada orang yang terpaksa ikat perut untuk makan, meminjam duit untuk membeli susu malah hidup dalam rumah yang gelap dek kerana bil elektrik yang tak mampu dibayar. Inilah semangat saya untuk membantu lebih ramai orang, bercuti dari memikirkan tentang dunia fesyen!”tegas Dato Rizalman.

 

Dari T’Neeq, skop perniagaan Dato Rizalman semakin melebar. RILOYANG, RIBAG, RIFANNY dan banyak lagi jenama RI yang diketengahkan. Seperti direncanakan dalam perjalanan hidup Dato Rizalman, Allah mengurniakannya ilmu agar dapat digunakan dan dikongsi bersama masyarakat.

“Hidup saya diatur dengan strategi dan formula. Asalnya saya tak pandai menggunakan media sosial lebih-lebih lagi Instagram. Lepas ‘terbongkar’ fungsi ‘kapal terbang’ di Instagram, baru saya tahu ramai rupanya yang berkomunikasi dengan saya secara private. Di post biasa, saya akan baca setiap komen, dan berusaha juga membalasnya.

Dari DM di Instagramlah saya mula mengetahui keikhlasan peminat saya. Setiap maklumbalas dikumpul sebagai input, dan inilah formula rahsia saya. Banyak sungguh kisah mereka tak kurang juga yang mendoakan saya. Menitik air mata apabila orang yang tidak kita kenali, mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuk kita. Saya terharu dan happy sangat. Rasa begitu dekat dengan followers, walaupun mulut saya ni boleh tahan pedasnya!

Saya sentiasa percaya pada rezeki Allah. Saya bukan Raja Midas, yang mengubah setiap benda menjadi emas. Saya hanyalah hamba yang cuba memperbaiki diri dari hari ke hari dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah beri. Jangan bongkak dan percaya ia adalah Kun Faya Kun dari Allah,”katanya.

 

Share
Published by
Anis Nor Tajul Arus