Nampaknya ibu bapa yang mempunyai anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sibuk menguruskan penempatan anak-anak ke peringkat pengajian tinggi untuk menyambung pelajaran dalam bidang -bidang yang ditawarkan sama ada di universiti tempatan, kolej matrikulasi dan politeknik di seluruh Malaysia.
Meskipun memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, tugas dan tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah diabaikan apatah lagi terhadap aspek pendidikan anak-anaknya. Baru-baru ini melalui hantaran di laman Instagram miliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkongsi momen menghantar anaknya melalui proses pendaftaran hari pertama di kampus.
Gaya ringkas Fadhlina Sidek mengenakan sepasang baju kurung bercorak dan tudung bawal rona coklat mencuri tumpuan apabila kelibatnya kelihatan mengiringi anak sulunngnya, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, 18 menyambung pelajaran di peringkat Asasi Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Menyerahkan anakanda di bawah jagaan ALLAH dan Rasul di taman ilmu dan budi.
“Semoga anakanda terus diberikan kesabaran dalam jihad meneruskan pengajian,” titip Fadhlina.
Di celah kesibukan tugas, ibu kepada enam cahaya mata itu sempat meluangkan masa hadir memberikan sokongan seperti mana ibu bapa lain yang menghantar anak-anak mereka menjejak ke menara gading.
Tambahnya lagi, puteri sulungnya itu bakal melanjutkan pengajian dalam program asasi berkenaan untuk mencapai cita-cita dalam bidang psikologi. Untuk rekod, Thurayya yang merupakan bekas Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan terdahulu berjaya memperoleh keputusan 9A dalam SPM tahun 2022.
“Memilih bidang sains kemanusiaan, semoga cita-citanya mahu menjadi seorang pakar psikologi menjadi kenyataan.
“Allahumma faqihha fid deen, wa ‘allimha fit takwil,” titip Fadhlina.
Setiap kali anak melangkah masuk ke asrama, pasti kaum ibu paling sibuk memastikan keselesaan dan kelengkapan anak di asrama berada pada tahap terbaik. Begitu juga buat Menteri Pendidikan ini yang turut meluangkan masa mengemas barangan peribadi anak sulungnya itu di dalam blok asrama. Wajah dua beranak ini mempunyai banyak persamaan dan nampak seiras!
Beliau juga yang juga merupakan alumni UIAM dan merupakan Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah.
.
Punya Dua Pasang Anak Kembar, Roger Federer Hargai Pengorbanan Isteri Dalam Dan Luar Gelanggang
Baru- baru ini, Juara Wimbledon lapan kali, Roger Federer membuat pengumuman mengenai persaraan beliau di mana Piala Laver minggu ini bakal menjadi acara ATP terakhir yang beliau sertai.
Federer membantu menubuhkan Piala Laver pada 2017 dan akan menyaksikan Federer beraksi untuk Pasukan Eropah menentang seluruh dunia dengan sembilan perlawanan perseorangan dan tiga beregu akan berlangsung. Untuk rekod, Federer telah bermain lebih daripada 1,500 perlawanan sepanjang 24 tahun kariernya dalam sukan tennis.
Benarlah kata pepatah, di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada wanita yang kuar memberikan sokongan dalam memastikan kejayaan seorang lelaki. Begitu juga halnya buat pemain tennis Roger Federer yang meletakkan isteri kesayangannya, Mirka Federer sebagai pendorong semangatnya. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2009 dan mempunyai dua pasang anak kembar!
Miroslava Mirka Federer adalah bekas pemain Tenis Switzerland. Dia pernah menjadi salah seorang pemain tenis wanita harapan dari Switzerland dan mengejutkan peminat sukan tennis di seluruh dunia dalam tempoh yang sangat singkat.
Beliau mencapai kedudukan teratas dalam kerjayanya pada bulan September 2001, ketika dia diletakkan di no. 76 dalam ranking WTA dunia. Selain ranking singlenya, kedudukan beregunya mencapai kerjaya yang tinggi di tempat ke-21 pada 1998, ketika dia baru memulakan kerjaya tenis profesionalnya.
Mirka bertemu Roger pertama pada Temasya Sukan Olimpik 2000 dan mereka mula berkenalan secara rapat apatah lagi kedua-duanya mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap sukan tennis. Pada Olimpik Musim Panas 2000 itu, dia bertemu dengan Roger Federer yang baru saja memulakan kerjayanya sebagai pemain profesional.
Mirka dan Federer berkahwin di Wenkenhof Villa, Basel pada April 2009. Pada tahun yang sama selepas mereka berkahwin, pasangan itu mengalu-alukan kelahiran anak perempuan kembar, Myla Rose dan Charlene Riva, yang kembar seiras.
Pada tahun 2014 pula, sekali laki pasangan ini dikurniakan pasangan kembar lelaki dan diberi nama Leo dan Lenny Federer.
Walaupun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab terhadap empat cahayamata. Mirka tidak membiarkan suaminya berjalan sendiri dan merupakan sistem sokongan yang berterusan untuknya. Federer adalah salah seorang pemain tenis paling konsisten dan sentiasa memberikan kredit terhadap isteri dan keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongannya ketika berhadapan kejohanan dunia.
Malah, kelibat Mirka sentiasa kelihatan di setiap kejohanan yang disertai oleh suami tersayang dan jelas membuktikan kehadiran Mirka merupakan pendorong utama kejayaan Federer di gelanggang!
Memetik kata-kata Federer mengenai isteri tersayang, beliau menyifatkan Mirka sebagai seorang wanita yang bijak dan mempunyai karektor yang kuat. Malah Mirka memberi impak terbesar sepanjang karier Federer dan kehidupan Federer secara amnya.
“Mirka memberikan saya dorongan dan percaya saya dapat melakukan apa sahaja pada tahap terbaik dan sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya tidak mencampur adukkan karier dan kehidupan peribadi.
Kehidupan kami sebagai sebuah keluarga yang dikelilingi dua pasangan kembar sememangnya pernuh warna. Selepas ini, saya mahu melihat mereka membesar dan memastikan mereka mempunyai masa hadapan yang cerah,” ujar Federer memetik sesi temubual di www.tennisworldusa.org.
Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu tidak beraksi sejak tewas di suku akhir dekat Wimbledon pada 2021, selepas menjalani pembedahan lutut ketiganya dalam tempoh 18 bulan.
“Perjalanan karier saya selama 24 tahun adalah sangat luar biasa.
“Walaupun kadangkala seperti berlaku selama 24 jam, ia sangat menakjubkan dan saya seolah-olah hidup seumur hidup,” katanya.
Pemain berusia 41 tahun itu bergelut dengan masalah lutut sejak tiga tahun lalu yang mengehadkannya beraksi hanya tiga daripada 11 Grand Slam yang berlangsung sejak awal 2020.
Federer berkata, badannya telah memberi isyarat sudah tiba masa untuk menamatkan kariernya.
“Saya sudah bekerja keras untuk kembali kompetitif tetapi saya juga sedar kemampuan badan saya dan isyarat itu sudah diberikan sejak kebelakangan ini,” katanya.
Rezeki THITA ZIKRON 7 Tahun Jadi Jururawat Di Tanah Suci, Kerap Kerjakan Umrah & Gaji Besar!
Jumpa orang baik-baik pun rezeki. Begitulah umpamanya pertemuan Nona dengan Thita Zikron Mohd Amin, seorang jururawat Malaysia yang bertugas di Madinah. Kebetulan Thita sedang pulang bercuti menyambut Ramadan di tanah air, maka kisah kerjayanya di Tanah Suci jadi topik bualan.
Berasal dari Pahang dan kini berusia 43 tahun, Thita melakar pencapaian cemerlang di Tanah Suci sebagai Education Liaison Nurse.
Di sana, beliau bertanggungjawab sebagai jururawat untuk merawat dan menjaga bayi pramatang serta bayi yang dilahirkan dengan penyakit kongenital.
Sebagai ibu lima anak, jujurnya pasti tidak mudah bagi Thita meninggalkan suami dan cahaya mata demi mencari rezeki di luar negara.
Selain perlu menyesuaikan diri untuk bekerja dalam suasana berbilang bangsa, perasaan rindu atau ‘homesick’ pasti menghantui diri.
“Pada awalnya saya sengaja suka-suka menghadiri temu duga oleh Agensi Melorita untuk jawatan jururawat di Hospital Madinah yang baru dibuka.
Walaupun saya dah berkhidmat di Pantai Hospital Kuala Lumpur selama lebih kurang 11 tahun, tapi hati terbuka nak mencuba di tempat baru dan alhamdulillah saya diterima bekerja di sana.” Thita
Memiliki kelulusan Sarjana Kejururawatan, Diploma Kejururawatan, Post Basic Neonatal Nursing serta pengalaman di hospital yang agak lama, laluan Thita untuk berkhidmat di luar negara semakin cerah.
Beliau pernah berkhidmat di unit rawatan rapi neonate (NICU) daripada tahun 2001 hingga 2011 dan pernah menggalas jawatan Ketua Jururawat sebelum meletakkan jawatan untuk bekerja di Saudi Arabia.
Perasaannya bercampur baur. Tak dinafikan pada awalnya beliau sendiri berasa sedih untuk meninggalkan suami, anak-anak dan mak abah tersayang tapi dalam waktu yang sama seronok mahu berkhidmat di negara orang serta menjejakkan kaki ke tanah haram.
“Di sana bila terasa ‘homesick’, biasanya kami akan hilangkan stres dengan melaksanakan ibadah umrah jika ada peluang selain window shopping.
Rasa stres atau kekurangan dalam kerjaya ini pastinya bila saya terpaksa menghadapi kematian walau segala usaha sudah dilakukan untuk menyelamatkan si bayi.
Bagi saya, jadi jururawat bukan sekadar cuci najis, tukar lampin pesakit malah lebih meluas definisinya. Ia mengajar kita untuk lebih menghargai keluarga dan jati diri dalam diri untuk lebih berjaya.
Kena tabah dari semua aspek dan saya bangga menjadi jururawat.” Thita
Tambah Thita lagi, beliau beruntung kerana berada di Tanah Suci dan bekerja di hospital yang menawarkan faedah atau benefit yang bagus untuk kakitangan.
Bayangkan tiket pergi dan balik ke Malaysia semuanya ditaja oleh pihak hospital dua kali setahun! Mereka juga dibenarkan bercuti mengikut jumlah cuti tahunan yang ada dan selalunya Thita akan balik kampung sekitar 30-35 hari.
“Bila balik Malaysia, biasanya saya akan bawa anak-anak pergi bercuti sama ada di dalam atau luar negara.
Family day dengan adik-beradik juga menjadi agenda penting setiap kami saya balik bercuti untuk eratkan silaturahim.” Thita
Jururawat hebat ini merupakan isteri kepada Mohd Fadzlishah Jamaludin serta ibu kepada Yaszmeen Qhaisara (21 tahun), Yaszmeer Zechry (19 tahun), Yaszandra Qhayreena (16 tahun), Yaszndyeea Zhara (14 tahun) dan Mohammad Qays Qarizh (3 tahun).
Mengakhiri perbualan, sempat Nona bertanya harapan Thita dalam kerjaya.
“Sebenarnya tujuan asal ke negara orang untuk mencari pengalaman dan membantu keluarga memandangkan gaji yang ditawarkan sangat besar.
Sehingga kini saya masih meneruskan matlamat untuk meringankan beban keluarga disamping menambah ilmu di dada.
Tahun 2023 adalah tahun ketujuh saya berada di bumi barakah ini. Saya harapkan apa yang saya pelajari di sini dapat dikongsi bersama dengan jururawat di Malaysia untuk menaiktarafkan perkhidmatan jururawat di Malaysia.”
“Ibulah Superhero Saya!” Sehebat-Hebat Lelaki, Tan Sri Dr Noor Hisham Tetap Sanjung Pengorbanan Wanita Yang Melahirkannya!
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman