Nampaknya ibu bapa yang mempunyai anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sibuk menguruskan penempatan anak-anak ke peringkat pengajian tinggi untuk menyambung pelajaran dalam bidang -bidang yang ditawarkan sama ada di universiti tempatan, kolej matrikulasi dan politeknik di seluruh Malaysia.
Meskipun memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, tugas dan tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah diabaikan apatah lagi terhadap aspek pendidikan anak-anaknya. Baru-baru ini melalui hantaran di laman Instagram miliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkongsi momen menghantar anaknya melalui proses pendaftaran hari pertama di kampus.
Gaya ringkas Fadhlina Sidek mengenakan sepasang baju kurung bercorak dan tudung bawal rona coklat mencuri tumpuan apabila kelibatnya kelihatan mengiringi anak sulunngnya, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, 18 menyambung pelajaran di peringkat Asasi Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Menyerahkan anakanda di bawah jagaan ALLAH dan Rasul di taman ilmu dan budi.
“Semoga anakanda terus diberikan kesabaran dalam jihad meneruskan pengajian,” titip Fadhlina.
Di celah kesibukan tugas, ibu kepada enam cahaya mata itu sempat meluangkan masa hadir memberikan sokongan seperti mana ibu bapa lain yang menghantar anak-anak mereka menjejak ke menara gading.
Tambahnya lagi, puteri sulungnya itu bakal melanjutkan pengajian dalam program asasi berkenaan untuk mencapai cita-cita dalam bidang psikologi. Untuk rekod, Thurayya yang merupakan bekas Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan terdahulu berjaya memperoleh keputusan 9A dalam SPM tahun 2022.
“Memilih bidang sains kemanusiaan, semoga cita-citanya mahu menjadi seorang pakar psikologi menjadi kenyataan.
“Allahumma faqihha fid deen, wa ‘allimha fit takwil,” titip Fadhlina.
Setiap kali anak melangkah masuk ke asrama, pasti kaum ibu paling sibuk memastikan keselesaan dan kelengkapan anak di asrama berada pada tahap terbaik. Begitu juga buat Menteri Pendidikan ini yang turut meluangkan masa mengemas barangan peribadi anak sulungnya itu di dalam blok asrama. Wajah dua beranak ini mempunyai banyak persamaan dan nampak seiras!
Beliau juga yang juga merupakan alumni UIAM dan merupakan Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah.
.
This website uses cookies.