“Kami harap masyarakat sedar akan realiti hidup kami di sini. Hidup kami dibelenggu kesusahan dan kesejukan yang mencengkam,” kata Manee, seorang penduduk Yaman dalam nada perlahan.
“Kami di sini kekurangan bekalan makanan, air dan juga petrol. Harga air sangat mahal untuk dibeli. Sesetengah penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat konflik yang melanda dan ramai penduduk Yaman sebenarnya tiada tempat tinggal.
Akhirnya ramai yang terpaksa menjadi gelandangan, tidur di jalanan atau lorong-lorong yang kotor.
Dalam keluarga ini, hanya saya seorang sahaja yang bekerja. Gaji yang ada pastinya tidak cukup untuk menampung keperluan isi rumah seramai 20 orang termasuk isteri, anak-anak saya, ibu serta adik-beradik saya yang lain bersama anak-anak mereka.
Bayangkan rumah kecil yang ada empat bilik ini untuk menampung bilangan keluarga kami yang ramai.
Juadah untuk dimakan setiap hari selalu tidak mencukupi, apatah lagi hendak menyimpan bekalan makanan untuk hari mendatang. Pasti sahaja tiada. Bekalan elektrik juga sering terputus. Tinggallah kami dalam gelap dan kelaparan,” luah Manee penuh sayu.
REALITI
Jutaan penduduk Yaman tidak mempunyai sebarang keperluan asas untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kementerian Kesihatan Yaman baru-baru ini menyatakan ratusan ribu nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa malahan jutaan kanak-kanak yang masih hidup tika ini juga bakal berdepan nasib yang sama.
Tambahnya, hampir 2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun sedang mengalami masalah kekurangan zat makanan, 400,000 daripadanya dalam keadaan kritikal manakala 12,000 lagi dilaporkan telah meninggal dunia.
Kini, dengan ancaman pandemik COVID-19 dan cabaran musim sejuk menambahkan lagi tekanan mereka.
Dengan harga barangan dan petrol yang mahal, bagaimana mereka mampu untuk menghangatkan diri dan keluarga dalam kesejukan yang mencengkam?
IBU TUNGGAL
Um Mohammed, seorang ibu tunggal di Yaman turut meluahkan rasa sedih dan pilu atas nasib yang menimpa mereka tiga beranak.
Pemergian suami membuatkan hidupnya bertambah sukar. Dia terpaksa hidup berhimpit di sebuah bilik yang terletak di bandar Taiz, Yaman.
Disebabkan keadaan tempat tinggal mereka terlalu kecil, Um Mohammed sentiasa membiarkan tingkap bilik terbuka bagi membolehkan proses pengaliran udara berlaku meskipun ketika cuaca sejuk.
“Saya terpaksa membuka tingkap untuk mendapatkan udara yang segar namun anak saya yang lumpuh tangan dan kakinya tidak dapat menampung kesejukan yang mencengkam lebih-lebih lagi apabila musim sejuk tiba. Anak saya yang cacat penglihatan juga lemah imunisasi badannya.
Wang yang ada banyak dihabiskan untuk membiayai kos rawatan kedua-dua anak saya yang OKU ini. Jadi, saya tidak mampu untuk membelikan mereka selimut dan tilam.
Anak-anak saya juga sering tidur dalam kelaparan. Sebagai ibu saya rasa sangat sedih dan kecewa dengan diri sendiri kerana gagal memberikan yang terbaik buat anak-anak, namun apa pilihan yang saya ada,” kata Um Mohammed.
Islamic Relief Malaysia menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk sekali lagi tampil untuk membantu dengan menyalurkan barangan keperluan seperti arang sebanyak 50 kilogram setiap sebulan, jaket, kasut, stokin, selimut, tilam dan plastik penebat haba.
Kempen ini menyasarkan dana sebanyak RM400,000 untuk manfaat penduduk Sana’a, Taiz, Amran, Dhamar dan Sa’ada, Yaman serta penduduk Aleppo dan Idlib di Syria. Layari laman web Islamic Relief Malaysia di www.islamic-relief.org.my untuk lebih banyak maklumat terkini tentang mereka.
This website uses cookies.