Sukan memanah berkuda menghidupkan sunnah Rasulullah. Bagi selebriti yang juga aktivis kemanusiaan, Datin Sri Nurheliza Helmi, hobi ini bukan sekadar menyihatkan malah menonjolkan gaya hidup ekuestrian persis jenama antarabangsa Polo Ralph Lauren versi Muslimah!
Teruja melihat ketangkasan isteri perunding kewangan ternama, Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman ini kala menunggang kuda. Berani dan lasak, wanita berusia 37 tahun itu lincah membelah angin sambil menikmati keindahan alam yang terbentang indah.
Dalam perkembangan terbarunya, Heliza memuat naik beberapa keping gambar aktiviti berkuda yang disertai adik, Hazwani Helmi serta rakan-rakan berkuda yang lain di sebuah lokasi berbukit.
Dengan pemandangan matahari terbit, awan membiru dan bukit-bukau yang menghijau, kapsyen gurauan Hazwani Helmi di bawah ni cuit hati peminat…
“Please hire us cc Polo Ralph Lauren”
Lepas ni kalau Ralph Lauren nak cari hijabi yang mahir menunggang kuda, cantik dan kelakar, bolehlah ambil adik-beradik The Helmis!
Aktiviti memanah sambil menunggang kuda sering menjadi hobi Heliza dan Hazwani Helmi sejak kebelakangan ini.
Walaupun menunggang kuda dan memanah boleh dikategorikan antara aktiviti lasak namun ia sudah mula digemari dan menjadi pilihan wanita sebagai aktiviti riadah masa lapang.
Selain menyihatkan badan, sukan ini juga mengasah kemahiran berfikir dengan tangkas dan mengawal kuda dengan cekap. Sangat sesuai untuk wanita yang sukakan cabaran serta aktiviti fizikal mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (klik link)
13 Tahun Bina Legasi, EYQA SULAIMAN Berniaga Sejak Zaman Universiti & Kini Usahawan Berjaya!
Kagum semangat Eyqa Sulaiman dalam mengusahakan perniagaan. Selain berani mengambil risiko, ciri-ciri usahawan berjaya juga ialah tidak malu berniaga dan enggan berputus asa. Itulah yang dilakukan pengasas Sugarscarf yang menyaksikan produk jenamanya sudah bertapak di pasaran selama 13 tahun! Bukan tempoh singkat tu.
Bermula dengan bisnes tudung, Sugarscarf kemudian mengembangkan sayap perniagaan hingga menembusi pasaran luar negara dengan rangkaian produk Muslimah termasuk pakaian dan kosmetik.
Menguruskan perniagaan bersama suami tercinta, Muhammad Zulkarnaen Mohd Ali, empayar Sugarscarf yang dahulunya dijalankan secara dalam talian kini diangkat sebagai salah satu jenama hijab premium.
Mengimbas kejayaan usahawan wanita ini yang pernah ditemu bual Nona kira-kira empat tahun lalu, Eyqa terbuka berkongsi pengalaman. Berasal dari keluarga susah telah mendorong usahawan wanita ini untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Enggan membebankan kedua-dua ibu bapa dan mahu mendapat duit sendiri, Pengarah Pengurusan Sugarscarf International, Nur Atiqah Sulaiman tidak segan berniaga di kalangan rakan-rakan ketika zaman persekolahan.
“Sebenarnya saya sudah mula berniaga semasa di sekolah menengah lagi. Oleh sebab saya sukakan benda yang kreatif dan unik, saya sanggup bersengkang mata menghasilkan beberapa keping kad untuk dijual kepada rakan sekelas.
Duit hasil jualan itu pula saya gunakan untuk beli keperluan diri. Mungkin sudah terbiasa pegang duit sendiri dan tak mahu susahkan mak ayah, saya bawa minat berniaga itu sehingga ke universiti.
Sewaktu jadi pelajar universiti, macam-macam barang yang saya jual. Salah satu daripadanya adalah kasut kerana saya peminat kasut termasuk baju dan aksesori wanita. Saya juga pernah masak nasi lemak ayam dan menjualnya ke setiap bilik hostel. Alhamdulillah, ramai yang membeli.
Memang seronok kalau ingat kembali detik itu dan tak timbul langsung perasaan malu sebab saya perlukan duit untuk tampung bayaran pengajian dan kos sara hidup di universiti.
Kerana tak mahu bergantung pada bisnes yang sama saja, saya cuba menjual tudung pula. Dari satu bilik ke satu bilik hostel saya ketuk selain turut menjual tudung di blog,” telus Eyqa.
Siapa sangka perniagaan sambilan ketika menuntut di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada tahun 2006 membuahkan hasil apabila pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Multimedia ini aktif mengorak langkah meluaskan perniagaan secara dalam talian.
Tanpa memohon pinjaman wang daripada mana-mana institusi perbankan, Eyqa yang ketika itu sudah berumah tangga memutuskan untuk mempunyai label tudung sendiri.
“Seingat saya waktu itu bulan Jun 2008 dan saya dan suami hanya bermodalkan RM800 untuk uruskan perniagaan ini. Kami bermula semuanya dari bawah. Mak dan ayah pada mulanya agak bimbang tetapi selepas melihat kesungguhan dan kejayaan bisnes ini akhirnya mereka akur dan sentiasa menjadi tulang belakang kami hingga ke hari ini.”
Demi memenuhi kehendak pelanggan yang sering dahagakan keluaran terbaharu, Eyqa yang tidak lepas dilanda segala macam ujian mengakui belajar tentang pasaran dan sasaran produknya melalui buku dan pengalaman.
Beliau percaya jika mahu berjaya dalam industri ini, seseorang itu tidak harus terikut-ikut dengan trend sebaliknya berusaha mencipta kelainan.
“Sejujurnya cabaran paling besar dalam bisnes adalah memastikan aliran keluar masuk wang dipantau dan terjaga. Kena tahu ke mana hala duit tersebut dan bajet yang diperlukan untuk projek seterusnya. Tak boleh sedikit pun berlaku kebocoran kerana ia menjadi salah satu punca kejatuhan perniagaan.
Sebab itu saya amat menitikberatkan soal cash flow. Cabaran lain yang kami kena kawal adalah komitmen para pekerja. Walau sesibuk mana pun majikan misalnya saya perlu ambil tahu tentang kebajikan mereka supaya kekal konsisten dengan tugas yang diberi. Ada ketika saya akan hantar staf ke bengkel keusahawanan untuk menaikkan motivasi diri mereka.
Saya tidak anggap semua ini perkara sukar kerana apa yang paling utama sebenarnya mengekalkan matlamat Sugarscarf. Memang tak dinafikan ada di kalangan peniaga yang cuba untuk meniru produk peniaga lain. Benda ini sudah jadi lumrah.
Saya sendiri sudah mendaftarkan rekaan Sugarscarf dan sepatutnya peniaga yang meniru boleh dikenakan saman. Bila difikirkan balik, semua ini duniawi dan tak perlu bergaduh. Lagipun ia melibatkan proses yang panjang. Takkan sebab fesyen kita hendak naik turun mahkamah. Siapa yang bekerja keras dan bijak mengatur strategi, pada akhirnya akan menang.”
Bonda Rozita Simpati Nasib Peniaga, “Jual Makanan Ni Untungnya Tak Seberapa”
Pengalaman itu universiti kehidupan. Bagi usahawan spa resort Rumah Hutan Terapi Alam yang juga Pengasas Jamu Ratu Malaya dan Sendayu Tinggi iaitu Bonda Rozita Ibrahim, cabaran yang menimpa para peniaga bazar waktu pandemik ini cukup memberi kesan kepadanya.
“Wallahi, kesian sangatlah dengan peniaga bazar. Saya pernah lalui saat tu, masa hujan tak laku jualan. Payung tumbang habislah makanan rosak. Tak laku pun pernah, walaupun saya masak sedap!” Bonda Rozita
Kesusahan meniti hidup sebagai ibu tunggal dan tidak berpelajaran tinggi banyak memberi motivasi kepada wanita berusia 50-an ini untuk memajukan diri. Biarpun empayar perniagaannya kini sudah berdiri kukuh, namun beliau tidak segan berkongsi kenangan menjadi penoreh getah, bekerja kilang, menjadi penyambut tetamu serta menjalankan bisnes direct selling dari rumah ke rumah.
Bahkan sebelum membina empayar perniagaan kosmetik, Bonda Rozita juga berniaga kecil-kecilan dengan menjual surat khabar, majalah dan nasi lemak. “Hikmahnya, survival jiwa harus kuat. Jangan mudah koyak…” tulisnya.
“Kenangan masa Yati dan Kri kecik-kecik, saya taknak orang hina mereka. Saya rajin kerja dan latih mereka kerja lasak. Bila miskin sangat anak-anak takde pilihan, ikut jelah walau merungut.
Kami menjual kuih, laksa. Penat jangan cakaplah. Ada masa rugi tak balik modal pun. Kami teringin nak makan pakai dan setahun sekali pegi jalan, jadilah. Tak pernah terlintas nak hidup kaya pun. Memadai hidup sederhana dan tak menyusahkan orang lain.
Rugi banyak kali sebab jualan makanan ni untungnya tak seberapa. Walaupun saya ada kafe di Rumah Hutan tapi jual makanan ni susah dan selalu rugi. Jadi kami makan apa yang tak habis jualan tu je.”
ERTI KESUSAHAN
Bonda Rozita yang merupakan ibu kepada jutawan kosmetik, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Yatie Sendayu Tinggi turut mengimbau kenangannya menggadai emas semata-mata untuk menyewa rumah.
“Banyak pengalaman mencabar dalam membesarkan anak-anak seorang diri. Tapi yang penting, usaha, walaupun hasilnya tak pasti lagi. Niat saya mereka tak merempat macam saya waktu zaman muda,” kongsi Bonda Rozita yang pernah melalui episod kegagalan perkahwinan semasa muda.
Kemiskinan itu ujian, Allah bagi segalanya pada manusia untuk meneruskan kehidupan. Namun siapa yang berusaha lebih, berdoa lebih dan bertawakal, maka Allah tidak akan sia-siakan pengorbanan mereka. Resipi kejayaannya adalah kerajinan.
Meskipun kini hidup senang-lenang, wanita cekal ini masih mengusahakan perniagaan frozen food seperti karipap daging, karipap ayam dan karipap kentang melalui platform @dapurkayubybonda.
“Saya jual makanan frozen ni sebagai latihan minda supaya sifat insaniah tinggi. Ia mengingatkan saya tentang orang lain yang lebih memerlukan” Bonda Rozita
Sumber: Facebook Bonda Rozita Ibrahim
Tanam Cili, Terung & Timun Di Ladang Seluas 4 Ekar, AYU DAMIT Kini Usahawan Pertanian Berjaya!
Pasti ramai wanita berkongsi rasa kagum dan bangga dengan kejayaan yang diraih Ayu Damit hari ini. Iyalah, selain sibuk menjalani rutin harian sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak dan juga penyanyi… Juara program nyanyian One In A Million ini dalam diam rupa-rupanya sudah bergelar usahawan pertanian berjaya. Daripada tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu mengembangkan tanaman di ladang seluas 4 ekar.
Ayu yang dihubungi pihak Nona hari ini dalam nada ceria sudi berkongsi pengalaman khusus buat mereka yang menyimpan hasrat bergelar ahli pertanian berjaya kelak. Tanpa berselindung, dia menyusun bicara.
“Alhamdulillah, Ayu dan suami tengah mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama dua tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir lima tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas. Pun begitu, buat masa sekarang kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Tanaman kelapa masih ada cuma nanas je dah tak ada.”
Tatkala diaju persoalan mengapa memilih tanaman cili padi, ini jawapan Ayu. “Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain.”
Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung.
Produk terbaru yang Ayu keluarkan ialah cili jeruk dan masih berjinak-jinak untuk dipasarkan di dalam Malaysia. Pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami.
Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara.”
Selaku ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami.. kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak.
Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”
Selama 11 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (9 tahun), Sharifah Alya Adriana (7 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 3 tahun.
Kredit: Instagram Ayu Damit