Bagi peminat drama Korea tentu rasa teringin merasa hidangan yang sering dimakan oleh pelakon K-Drama. Kini, MyeongDong Topokki menyajikan hidangan popular Korea, jadi kita tak perlu susah-susah lagi ke Korea untuk menikmati hidangan popular mereka.
Bersandarkan tagline, “Eat Once, Crave More” restoran makanan jalanan Korea, MyeongDong Topokki semakin mendapat tempat di hati penggemar makanan Korea. Kita tak perlu susah-susah ke Korea semata-mata nak makan toppokki.
Bermula pada tahun 2014, dan apabila melihat kejayaan dan sambutan luar biasa menu hidangan jalanan Korea ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Cravito Holding, Vincent Lua bagai tak menang tangan lantas membuka 4 buah outlets lagi bagi menampung permintaan terhadap hidangan istimewa ini.
Seterusnya Vincent Lua selaku pemegang saham terbesar MyeongDong Topokki ini telah membuka peluang untuk menjadi francaise restoran ini. Sehingga kini terdapat 50 outlet MyeongDong Topokki dan 7 buah outlet lagi bakal di buka.
Memulakan perniagaan di usia 29 tahun sememangnya kejayaan yang dimilik lelaki ini benar-benar menyuntik inspirasi. Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam dunia perniagaan, “Saya sendiri tidak pernah merancang untuk menjadi usahawan. Segalanya bermula apabila saya bekerja di sebuah syarikat perbankan dan bergaul dengan usahawan berjaya. Mereka selalu berkongsi ilmu dan pengalaman dalam perniagaan lalu merangsang semangat saya untuk terjun dalam bidang keusahawanan ini.
Dipendekkan cerita saya telah melakukan pelbagai kolaborasi bersama usahawan lain sebagai pelabur dalam bidang hartanah dan pusat kecergasan. Akhirnya, peluang perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) yang ‘serasi’ dengan saya,” tutur pemegang Ijazah Kewangan & Pengurusan dari Universiti Curtin Malaysia ini memulakan bicara.
SASARAN
Sebagai perintis konsep makanan baharu seperti ini di Malaysia, Vincent Lua begitu bersemangat bercerita tentang perniagaan makanan Korea ini. “MyeongDong Topokki mengambil inspirasi nama sebuah jalan yang terkenal di Korea yang popular dengan makanan jalanan. Manakala Topokki pula adalah hidangan paling mendapat sambutan di situ. Maka lahirlah, MyeongDong Topokki.
Saya memilih mengusahakan bisnes ini kerana menyedari agak sukar bagi masyarakat Malaysia mencari hidangan jalanan Korea yang halal. Jadi, tercetusnya idea untuk merealisasikan impian peminat makanan Korea menikmati hidangan tanpa waswas.
Pada Julai lalu MyeongDong Topokki telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (JAKIM). Seperti yang diketahui bukan mudah untyk mendapat Sijil Halal ini kerana semasa penyediaan, pengendalian, pemerosesan, pembungkusan atau pemindahan produk hendaklah dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal. Kualiti, standard dan kebersihan makanan sentiasa menjadi prioriti kami di MyeongDong Topokki.
Kami memilih produk makanan halal kerana industri makanan halal merupakan industri yang berpotensi tinggi untuk diperkasakan dan melakarkan perkembangan positif melalui strategi terancang dan inklusif. Pasaran global mempunyai prospek pasaran yang luas untuk dibangunkan secara global,” ucap lelaki yang membesar di Brunei Darussalam ini.
Bercerita lanjut tentang strategi pemasaran yang diatur oleh lelaki berusia 36 tahun ini, “Teras utama dalam perniagaan ini adalah inovasi. Justeru saya bersama team selalu menginovasikan hidangan dengan mengeluarkan menu yang lazat terutama buat mereka yang tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke bumi Korea lebih-lebih lagi untuk mendapatkan hidangan jalanan Korea yang halal. Hidangan signiture kami sudah tentu Topokki, Ramyun dan Jigae.
Meneraju sebuah organisasi dalam perniagaan tugas saya lebih kepada mengatur dan menguruskan perjalanan syarikat agar lancar dan mengikut rancangan yang telah ditetapkan. Jika diimbau kembali ketika hari pertama saya membuka outlet ini bagaikan tak percaya apa yang dicapai pada hari ini.
Saya bermula dengan bekerja seorang diri, semua saya lakukan sendiri seperti urusan sumber manusia, berjumpa dengan influencer dan macam-macam lagi. Perniagaan terus berkembang dan sehingga kini saya mempunyai jumlah keseluruhan staf 500 orang,” kata bapa kepada Lua Yu Ting, 5 tahun dan Lua Yu Ru, 2 tahun ini.
SOLUSI
Tidak dinafikan untuk berjaya banyak yang perlu ditempuh sepanjang menjalankan sesuatu perniagaan, Vincent Lua juga tidak terkecuali. Salah satu cabaran yang ditempuh oleh usahawan ini ialah apabila negara sedang berdepan dengan COVID-19. “Sebagaimana yang kita tahu, saat mendepani penularan pandemik COVID-19 semua usahawan melalui masa yang sukar.
Namun, bagi saya setiap krisis merupakan suatu peluang. Jika kita mengharap dan menunggu krisis ini berlalu, ia tidak akan memberi makna. Sebagai contoh, ketika pandemik pelanggan tidak boleh makan di premis perniagaan. Jadi, sebagai usahawan apa yang perlu kita lakukan? Apabila pelanggan tidak dapat datang membeli produk, kami datangkan produk kepada mereka.
Cara yang kami laksanakan adalah menyuntik inovasi di setiap menu hidangan agar berada dalam keadaan baik ketika proses penghantaran. Dalam erti kata lain, setiap hidangan dibungkus dengan sempurna agar pelanggan dapat menikmati hidangan tersebut umpama di restoran. Bagi saya setiap krisis yang melanda perlu pendekatan yang berbeza. Bagi menghadapi krisis pandemik COVID-19 ini kita memerlukan solusi permasalahan pelanggan yang tidak boleh keluar rumah atau makan di restoran,” ucap Vincent Lua yang mempunyai prinsip hidup tak pernah putus asa ini.
Ketika diajukan pertanyaan apa yang diimpikan oleh lelaki ini 5 tahun akan datang, jawabnya, “Saya tidak pernah memandang saya dan perniagaan ini sebagai individu. Kami bekerja dalam satu pasukan dan bergerak pantas membina organisasi agar berdaya saing. Dalam masa lima tahun akan datang, saya menjangkakan pasukan kami sudah menawan pasaran Asia Tenggara.
Namun, bagi mencapai impian tersebut saya perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan ketua jabatan dan pengurus syarikat ini boleh berfikir untuk memajukan bisnes atau dengan kata mudah duplikasi diri saya dalam diri mereka.
Paling penting bagi saya adalah pasukan kami gembira dengan tugas masing-masing dan menyerlahkan keupayaan mereka dan secara tak langsung kreativiti makin berkembang,” kata Vincent Lua yang bersyukur kerana mempunyai sebuah team yang tahu tanggungjawab masing-masing.
ANTARABANGSA
Menyentuh tentang perancangan tahun 2022, “Saya sangat teruja dengan kehadiran 2022 kerana kami sudah merancang untuk meluaskan pasaran ke beberapa buah bandar di negara kita dan juga Brunei. Kami juga dalam persiapan untuk menjelajah pasaran Wilayah Metropolitan Jakarta iaitu Jabodetabek atau nama singkatan dari Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.
Nasihat saya buat siapa sahaja yang memulakan perniagaan di musim yang mencabar ini adalah tidak mudah putus asa dan apa yang dilakukan biar berterusan. Dalam apa juga perniagaan pasti ada cabaran dan dugaan sebagai usahawan kita perlu kuat untuk terus bergerak ke depan. Apa sahaja cabaran yang datang kita perlu selesaikan tanpa timbul perasaan putus asa,” ujar Vincent Lua.
Pengurusan stres sangat penting dan lelaki yang suka membaca ini mempunyai formula yang tersendiri. “Bagi saya stres berlaku apabila kita tak bijak menguruskan setiap permasalahan. Jika kita tahu bagaimana untuk menguruskan stres sudah pasti kita mampu untuk menangani setiap permasalahan tersebut.
Saya tidak akan membenarkan stres mempengaruhi kehidupan kerana ia tidak membantu apa-apa. Cara yang paling efisien untuk menangani stres bagi saya adalah dengan membaca. Membaca dapat menambah ilmu dan mencari solusi kepada setiap permasalahan. Saya akan membaca buku-buku berkaitan kewangan, digital, artificial intelligence (AI), mata wang kripto dan seumpama dengannya,” kata Vincent Lua mengakhiri perbualan.
BACA: NONA SUCCESSFUL YOUNG CEO AWARD
This website uses cookies.