Apa itu asma? Asma ialah sejenis penyakit di mana saluran pernafasan akan mengecil ketika asma menyerang. Ini akan menyebabkan seseorang pesakit itu sukar bernafas dan nafasnya akan berbunyi. Peringkat kedua asma adalah apabila berlaku radang atau inflamasi di dinding-dinding saluran pernafasan tersebut atas tindak balas badan.
Sebab/penyebab
Asma adalah penyakit yang mempunyai banyak faktor penyebab:
- Satu penyakit yang dikaitkan dengan keturunan di mana seseorang anak itu mempunyai kebarangkalian mendapat asma jika ibu bapanya mempunyai asma.
- Asma juga adalah satu daripada penyakit alahan (allergic) seperti allergic rhinitis dan utricaria.
- Asma biasanya menyerang apabila seseorang itu terdedah kepada faktor-faktor luaran yang dipanggil ‘allergen’ seperti habuk, cuaca sejuk, makanan, kucing atau haiwan berbulu yang lain.
- Jangkitan kuman pada saluran pernafasan atau Upper Respiratory Tract Infection juga boleh menyebabkan seseorang pesakit itu diserang asma.
Rawatan
- Langkah pertama yang mesti diambil oleh pesakit asma ialah mengenali dan menjauhi faktor-faktor penyebab asma.
- Setiap pesakit biasanya mempunyai faktor penyebabnya sendiri dan biasanya pesakit itu sama ada dewasa atau kanak-kanak atau ibu bapanya akan tahu faktor-faktor ini.
- Seboleh mungkin, cuba jauhi faktor penyebab dan anda boleh mengelak asma.
- Jika asma masih menyerang, terus ke hospital atau bagi kanak-kanak, mereka hendaklah dibawa untuk berjumpa dengan doktor atau klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Cara hindari asma
Punca seperti haiwan peliharaan dan ubatan seperti aspirin perlu dipastikan dan dielakkan. Mereka yang mempunyai simptom asma sepanjang hari biasanya berasa lega dengan ubat penghalang berterusan. Ubat penghalang yang paling berkesan adalah steroid yang dihidu.
- Penghidu (inhaler) kortikosteroid (contohnya flutikasone, budesonide, beclomethasone, mometasone)
- Leukotrieneantagonis (contohnya montelukast sodium, zafirlukast)
- Agonist beta2-adrenoseptor tahan lama (contohnya salmeterol, formoterol)
- Penstabil sel Mast (contohnya kromolyn sodium (sodium kromoglykate, nedokromil)
- Ambil ubat seperti yang dicadangkan oleh doktor. Jika serangan asma semakin teruk, jangan tunggu sehingga janji temu seterusnya.
- Bawa ubat ke mana-mana saja anda pergi.
- Elakkan daripada menghisap rokok atau berada berdekatan dengan orang yang menghisap rokok.
- Ambil ubat sebelum anda ke tempat yang mungkin akan menimbulkan serangan asma. Jika anda sering mendapat serangan asma yang teruk, sentiasalah membawa senarai ubat daripada doktor anda.
Penyakit asma kadangkala berkait dengan penyakit alahan seperti di kulit (eczema) atau alahan hidung (allergic rhinitis). Pesakit asma yang sukar dikawal juga mungkin disebabkan penyakit lain seperti jangkitan kulat di paru-paru, asid refluks atau resdung.
Semua pesakit asma sama ada dewasa atau kanak-kanak perlu mengenali dan menjauhi faktor-faktor penyebab asma. Bagi kanak-kanak, ibu bapa mestilah peka akan faktor-faktor tersebut, dan kebiasaannya mereka tahu faktor ini. Cuba jauhi faktor penyebab dan anda boleh mengelak asma berlaku pada anak anda. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH