NAILA HASSAN, Supritenden Polis New Zealand Beragama ISLAM & Miliki 3 IJAZAH!

Sejak tersebarnya insiden berdarah di Christchurch pada 15 Mac lalu, diakui ramai pihak mula membuka mata, mengenali keindahan Islam dan mengagumi kredibiliti orang Islam menjadi antara pemimpin tertinggi di New Zealand.  Salah satunya, seorang wanita muslim bernama Naila Hassan yang diangkat menyandang jawatan Supritenden Polis di sana. Mungkin inilah ‘kemanisan’ yang Allah hadirkan di sebalik tragedi duka pemergian 50 jemaah Islam yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan tembakan pengganas di Masjid Al Noor, Jumaat lepas.

Memetik laporan Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush… sehingga pagi ini angka kematian meningkat kepada 50 orang, 50 lagi mengalami kecederaan sementara 2 mangsa masih kritikal. Sebagai pegawai kanan polis beragama Islam di New Zealand, kejadian ini mengundang 1001 emosi kepada Naila. Dia yang dilihat membuat ucapan di depan khalayak semalam dengan lantang mengakui agama yang dianuti sambil menahan rasa sebak atas kehilangan saudara seagamanya dua hari lalu. Kata Naila, “I am a proud Muslim and the leader in the New Zealand police.”

Berketurunan Pakistan, Naila merupakan pasangan kembar kepada adiknya, Samina dan mempunyai seorang kakak bernama Rukhsana. Tamat bergraduasi sebagai anggota polis dari Royal New Zealand Police College Porirua, Wellington pada tahun 1988… keluarga Naila juga memiliki hubungan baik dengan lagenda tinju dunia, Muhammad Ali kerana berkongsi kepercayaan yang sama tentang agama Islam.

Hampir tiga dekad memilih anggota polis New Zealand sebagai kerjaya, Naila pernah berkhidmat di bahagian Criminal Investigation Branch (CIB) selama enam tahun selain mengendalikan pasukannya menjaga kemakmuran New Zealand dengan baik, sebelum dilantik sebagai Inspektor dan kini bergelar Supritenden. Biarpun sibuk dengan komitmen menjaga keselamatan orang awam, Naila masih sempat melanjutkan pengajian dan memiliki tiga ijazah!

Di samping kesungguhannya menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan, Naila juga seorang wanita Islam yang aktif. Pada tahun 2006, dia menyertai sukan air Ocean Thunder Pro Surfboat Series di Sydney, menjadi polis wanita pertama bergelar physical training instructor,

penyelamat pantai di Piha, New Zealand untuk beberapa tahun dan menyertai perlumbaan bobsled untuk negaranya.

Yang pasti, Naila Hassan seorang wanita Islam yang memiliki aura luar biasa yang mampu menyatupadukan masyarakat melalui sikap profesionalnya di samping menonjolkan contoh kepimpinan terbaik menerusi kerjaya sebagai polis. Selaku wanita yang juga beragama Islam… penulis sangat berbangga dengan kejayaan wanita hebat ini!

 

Sumber : New Zealand Police

 

Share
Published by
Suzi