Sewaktu PKP Mac lalu, ramai yang menjaga solat malah ada yang buat amalan ekstra dengan membaca al-Quran dan sebagainya. Tetapi bila sudah mula bekerja, nak solat pun tergesa-gesa sehingga ada yang tidak sempat untuk duduk dan berdoa.
Terlalu banyak perkara yang ingin dipohon daripada Allah tetapi adakah cara kita berdoa sudah cukup sempurna untuk kita meminta-minta kepadaNya? Jom baca tips ini mudah-mudahan ada yang ingin memperbetulkan cara berdoa.
Tip 1
Sebelum mula berdoa, pujilah Allah SWT. Perbanyakkan zikir puji-pujian.
Tip 2
Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Tip 3
Pohonlah hajat yang diingini. Jika boleh, biarlah hajt itu berbentuk umum.
Tip 4
Berdoalah dengan doa-doa yang dibaca oleh Nabi Muhammad. Belek Al-Quran dan pilih doa yang terbaik. Kalau boleh, janganlah baca doa yang sama sahaja.
Tip 5
Bila berdoa, tutup dengan penutup yang baik. Berselawatlah kepada Nabi Muhammad SAW.
Tip 6
Jangan letak tangan di bawah. Angkat tangan setentang muka atau angkat lebih tinggi dari muka (untuk lelaki). Tangan terangkat dan muka mendongak.
Tip 7
Jangan berdoa sambil lewa. Tunjukkan kesungguhan saat menyampaikan doa.
Tip 8
Berdoa selepas solat adalah yang terbaik. Jangan tinggalkan peluang berdoa saat selesai solat.
Boleh tambah lebih banyak ilmu dengan perkongsian daripada Ustaz Ahmad Dusuki ini:
https://www.instagram.com/p/CF1kZyDp1UJ/
Kredit video: Instagram Ustaz Ahmad Dusuki
Dari Kecil Tinggal Dengan Datuk, Ibu Bergaji RM300. Asal Keluarga Susah, Najib Asaddok Bukan ‘Bisnes Air Liur’
Baru-baru ini tular apabila Najib Asaddok, 39, atau nama sebenarnya Mohd Najib Asaddok yang sedang membuat sesi siaran langsung dihujani dengan pertanyaan seorang pengguna laman sosial yang bertanyakan soalan berunsur provokasi mempersoalkan apa perniagaan Najib yang sudah berjaya sehingga layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran. Seterusnya sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial mempertikaikan kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’.
Dia digelar bisnes air liur. Bunyinya mungkin agak sinis, tapi itulah realitinya apabila Najib Asaddok berjaya membina empayar perniagaan dengan memberi perkhidmatan latihan secara dalam talian kepada golongan peniaga.
Namun, Najib yang juga pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 lalu enggan ambil pusing segala komen yang dilontarkan.
“Ketika buat sesi siaran langsung itu, saya sedang membincangkan topik agak serius berkaitan isu peniaga yang mengalami kejatuhan dalam jualan. Tapi, apabila terdapat komen dan soalan sama berulang kali, ia lebih kepada provokasi dan berniat nak menjatuhkan kredibiliti. Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.
Pun begitu, disebalik kejayaan yang dicapai hari ini, siapa sangka Najib yang berasal dari Benut, Pontian, Johor sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah semata-mata ingin mengubah nasib diri dan kehidupan keluarganya.
“Pada usia 11 tahun ayah saya meninggal dunia. Ketika itu mak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah, sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.
“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah dan menjadi Ketua Kelab Usahawan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka ‘booth’, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan. Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga. Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya.
Kesusahan dan keperitan dilalui Najib tidak menghalang dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya (2018) dan kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).
Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009. Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.
“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes ‘coaching’ atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara ‘offline’. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.
“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.
Sesuatu yang membanggakan buat Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan ‘offline’ yang dibuat secara percuma.
“Perjalanan untuk berjaya ini bagi saya kejayaan milik semua orang. Sesiapa saja berhak untuk berjaya. Bila ada niat kuat nak bantu orang sekeliling, insya-Allah dipermudahkan.
“Dari buku, e-book, video semua saya berikan percuma. Sebab saya tahu ramai nak mulakan bisnes tapi tidak ada duit macam mana saya dulu. Jadi, saya mahu mudahkan mereka. Dari situ juga, skala makin besar sampai sekarang. Daripada bises ‘air liur’ ini juga banyak jenama dan perniagaan yang kita bantu hingga berjaya. Itu juga dengan izin Allah,” katanya.
Berkat kesabaran, usaha dan pertolongan, ternyata itu semua memberikan sinar dalam kehidupannya termasuklah baru-baru ini syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.
Najib juga dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelikan sebuah rumah buat mak dan ibu bapa mertua. Pada 2019, saya hantar mak menunaikan haji. Baru-baru ini pula, saya membawa membawa isteri dan kedua mentua menunaikan haji. Rezeki nak tolong keluarga, Allah permudahkan semuanya,” katanya.
RAJA PUAN MUDA KEDAH Tampil Jelita Dalam Persalinan Songket Bunga Tabur Rekaan Seth&Luna
Memang cantik sangat, tak berkelip mata memandang. Kemunculan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff di acara penutup Kedah Fashion Week (KFW) baru-baru ini sebagai tetamu kehormat telah mencuri tumpuan ramai.
Dalam usia 51 tahun, masih terserlah kejelitaan CP Muda Zaheeda dalam persalinan ‘muhibbah dress’ rekaan Seth & Luna, designer yang kini menjadi pilihan golongan elit dan ternama.
Persalinan haute couture rona shocking pink yang bermotifkan songket bunga tabur itu tetap menyerlahkan kecantikan asli CP Muda Zaheeda biarpun dengan solekan yang ringkas.
Berikut temu bual ringkas NONA bersama pereka fesyen duo, Seth & Luna yang terdiri daripada Irie dan Jimiey.
“Ini bukanlah kali pertama Seth & Luna mereka persalinan Tuanku. Kali pertama adalah pada tahun 2018. Muhibah dress ini mengambil masa lebih kurang sebulan lebih untuk kami siapkan dari tarikh perbincangan sehinggalah ke final dress.
“Reaksi pertama Tuanku ketika busana itu siap, Tuanku seorang yang very reserved, tidaklah terlalu teruja dan tidak juga kecewa.
“Tuanku bersahaja kerana sewaktu proses pembuatan juga kami sudah kongsikan detail busana tersebut dengan Tuanku. Boleh dikatakan she looks forward to wearing the dress on the event (Kedah Fashion Week).”
Seth & Luna turut memuat naik satu posting di laman Instagram sebagai tanda terima kasih kepada CP Muda Zaheeda yang sudi menyarungkan busana eksklusif mereka itu.
“Menjuniung kasih Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda (Raja Puan Muda Kedah) dalam persalinan Haute Couture SETH&LUNA.
“Idea asalnya Tuanku sendiri menyatakan yang beliau mahukan rekaan yang bersifat “muhibah” di mana ianya wajib mempunyai elemen dari bangsa Melayu, Cina & India.
“Berinspirasikan dari 3 Bangsa utama itu, kami mempersembahkan dress dari material songket bunga tabur mewakili bangsa Melayu, selendang yang disangkut bersahaja menyerupai busana sari. Bersama kolar mandarin yang sinonim dengan busana Cheongsam.
“Tiga elemen utama Keluarga Malaysia diadun penuh sofistikated dengan manik sulaman berwarna emas yang diletakkan secara rawak pada motif songket bunga tabur.
Haute Couture cara SETH&LUNA.”
Untuk info, CP Muda Zaheeda merupakan isteri kepada DYTM Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin. Pasangan Diraja ini dikurniakan dua cahaya matai aitu YTM Tunku Zara Bahiyah yang diputerikan pada 4 April 2004, dan YTM Tunku Sulaiman Badlishah yang diputerakan pada 18 Disember 2007.
CP Zaheeda merupakan lulusan Ijazah Undag-Undang (Kepujian) daripada University of Wale, College of Cardiff dan seterusnya menerima Ijaza Sarjana (Undang-Undang Komersil) daripada University of Bristol.
Semoga Seth & Luna sentiasa tampil dengan karya-larya yang lebih hebat dan sukses dalalm industri fesyen tanahair. Seterusnya, mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Kredit Foto: Instagram Seth&Luna
“Dari Kecil Ditatang, Cukup Umur 17 Tahun Allah Jemput Pulang!” Shaliza Aziz Reda Pemergian Anak Leukemia
Ketika semua ibu bapa mengharapkan anak-anak untuk menguruskan jenazah mereka, takdir pula berkata sebaliknya. Bayangkan anak kecil yang pernah riang ditimang, kini dewasa menunggu kita untuk dikafankan.
Kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga sesungguhnya menjadi dugaan terbesar buat usahawan hebat bernama Shaliza Aziz ini. Sejak penulis mengenalinya beberapa tahun lepas, ex-banker itu sentiasa ceria dan menyenangkan setiap kali kami bersua.
Namun beberapa hari lepas, perkhabaran buruk tiba ke cuping telinga. Anak lelaki Shaliza, Muhammad Fariz Eskandar, 17 tahun, telah dijemput pulang ke negeri abadi. Selepas 60 hari arwah bertarung dengan penyakit Acute Myeloid Leukemia, akhirnya dia kembali kepada Sang Pencipta.
Di antara kelemahan dan sisa kekuatan yang tinggal, hajat Nona mahu berkongsi kesedihan seorang ibu diperkenankan. Shaliza sudi berkongsi memori yang ada, sebagai tanda abadi buat arwah anak yang meninggal dunia.
Pahit untuk di telan tapi itulah ujian untuk kami sekeluarga. Ramai yang tanya macam mana tahu Fariz ada kanser?
Fariz asalnya demam panas dalam 39 Celcius. Kebetulan waktu tu sedang hangat kes COVID-19, jadi kami risau jugak. Bila ke klinik (8 April 2020) doktor buat blood test. From the test nampak white blood cell tinggi tapi doctor ingatkan infection.
Masa tu dia demam panas, suhu dalam 39, tekak sakit dan sakit tengkuk. Doc cakap lepas 4-5 hari ambil antibiotik akan kurang.
5 hari kemudian, demam dah baik tapi tengkuk Fariz masih sakit lagi. Ingatkan salah bantal. Tapi dalam masa yang sama, ujian darah dibuat semula dan kami diberi referral letter untuk ke hospital.
Ingat lagi masa tu Isnin pagi, 13 April. So lepas ke klinik, husband bawa Fariz ke private hospital. Dekat emergency ward, doc check tak ada apa. Ada infection kat tekak Fariz dan kami pun mati-mati ingat salah bantal. Tu dia susah nak makan masa tu sebab sakit tekak.
Tiba-tiba tengah Ija kemas rumah petang sikit, dapat call from doktor klinik. Dia cakap ingatkan mesin dia salah baca blood test pagi tadi. So rupanya dia hantar sampel darah Fariz ke makmal darah. From result sama, dia terus cakap suspek leukemia.
Masa tu gugur jantung Ija. Terbayang mama, coz mama dulu pun kanser darah, but different type. Terus mengalir air mata. Doc advise untuk kami bawa Fariz ke Hospital Ampang for further check up. Masa ni kami tak bagitau Fariz lagi, risau Fariz terkejut dan lagipun belum sah waktu tu.
Since tengah musim COVID-19 ni, takut la nak ke hospital kerajaan. Ija tanya doctor tak boleh ke kalau pergi private hospital, tapi doctor cakap Hospital Ampang centre for blood cancer, ramai doktor pakar di sana. For some cases, even private akan rujuk ke Hospital Ampang. Dalam hati still in denial mood, keep cakap blood test tu silap.
On the next day, husband bawa Fariz ke hospital for check up. Sedih Ija tak dapat ikut sebab PKP kan, hanya seorang boleh dalam kereta. In this situation, driver dan pesakit sahaja.
Masa tu pun Fariz lemah sangat. Dah seminggu tak makan, of course badan lemah. Lebih kurang 2.00 petang, husband call bagitau result, anak kami positif leukemia. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya Ija waktu itu. Doc pun advise suruh terus admitted sebab HB Fariz masa tu hanya 6 dan dia pun sangat lemah.
Ija bersiap, ambil GRAB dan terus ke hospital. Dalam GRAB tu memang mengalir air mata ni. For the next few days, Ija masih macam tak percaya dengan ketentuan-Nya. Cuma depan Fariz kami kena kuat. Jujur Ija rasa Fariz pun lebih kuat dari Ija sendiri.
The next day buat bone marrow test, dapat tahu jenis leukemia Fariz. AML or Acute Myeloid Leukemia. Esoknya terus mula kemoterapi (16 April 2020). Semua berjalan dengan pantas. Next post Ija share pasal kemoterapi dan sambungan cerita ye. Ija harap jika ada salah dan silap ija dengan sesiapa, mohon maaf serta doakan kesihatan anak Ija ye.
Masuk hari ke-56, doc cakap jantung Fariz terhenti selama 10 minit (pukul 9.40 malam). Lepas pump dan CPR baru jantung tu okey. Tapi update dari doktor setiap hari buat mama abah takut. Bila tengok awak di ICU nampak kuat tapi dalaman makin merosot.
Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk awak. Kami tak pernah give up, tapi mama abah redha. Tak nak seksa jiwa, roh dan jasad awak. Apapun ketentuan dari Allah mama abah terima.
HARI KE-60
Hari ni jumpa Dr. Zakky, salah seorang Pakar Haematologist di Hospital Ampang. Dia update Fariz lebih kurang semalam. Hari ni akan buat dialisis for 4-6 hours. Ubat tido pun hari ni sambung sebab nak buat dialisis.
Hari ni mama abah tak boleh masuk isolation room. Jadi tengok dari jauh je. Jadi la kan, buat lepas rindu pada anak. Apa yang terbaik untuk awak kami reda dan akan terus berdoa.
Hari yang sama, arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Allah lebih sayangkan anak kami. Fariz dah tinggalkan kami 5 minit yang lepas (12 Jun 2020, 10.11 malam). Maafkan jika ada salah silap dia.
CORETAN TERAKHIR BUAT ARWAH FARIZ
Nona: Ceritakan perasaan Ija yang terbuku sejak dapat tahu arwah dah tak mampu bertahan? Hati Ija mcmn masa tengok mata anak, pegang tangan dia, usap rambut dia?
Masa dapat tahu anak sakit kanser pun dah rasa sebak, inikan masa anak koma di ICU. Bila tengok keadaan dia dalam ICU dan bila dengar update dari doktor memang buat Ija rasa sayu. Kemuncak bila doktor minta kami bersedia untuk terima segala kemungkinan selepas jantung dia berhenti buat pertama kali (5 min x 2 kali).
Masa tu Ija bisikkan di telinga anak, jika dia tak mampu bertahan dan apa yang terbaik dari-Nya, Ija sebagai ibu reda untuk lepaskan dia. Ija maafkan segala dosa dia dan Ija ucap terima kasih kerana menjadi anak yang baik buat kami. Masa tu nampak air mata dia bergenang biarpun dia dalam keadaan koma.
Satu ayat dalam hati Ija waktu dia hembuskan nafas terakhir? Dan apa doa Ija ke langit sampai sekarang kalau ingat psl arwah?
Dia menghembuskan nafas ketika dalam ICU dan kami tak ada di sisi arwah. Di ICU penjaga tak dibenarkan berada bersama pesakit. Baru je selesai baca Yasin dengan ahli keluarga di rumah, kami dapat panggilan minta ke hospital. Tapi nurse tak cakap apa-apa.
Bila sampai sahaja di ICU, doktor inform anak kami sudah tak ada 5 minit yang lepas, Ija dan husband terus menangis. Tapi dalam hati terdetik inilah yang terbaik dari-Nya. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk anak kami. Ija hanya doakan dia diampunkan dosa seperti kain putih.
Bila nurse buka kain yang menutup anak kami, Ija kucup dahi dan pegang erat tangan dia. Masa tu dahi arwah masih terasa suam. Itulah kali pertama Ija dapat genggam tangan anak selepas seminggu koma dan berada dalam ICU. Sepanjang di ICU kami tak di galakkan sentuh dia kerana takut infection semakin teruk. Rindu dengan sentuhan itu tapi itulah kali terakhir buat kami
Nona: Macamana Ija dan suami hadapi dugaan ni? Dan cara bagi kekuatan pada suami? Sebab suami pun tentu pendam kesedihan dia.
Sejujurnya Ija tak kuat pun. Cuma bila Ija ingat kesakitan yang anak lalui tu, Ija redha. Dalam situasi Ija, suami yang banyak bantu untuk kuat. Family pun. Kami saling ingatkan di antara kami bahawa ini mungkin yang terbaik untuk Fariz daripada dia menderita terlalu lama. Kami sentiasa panjatkan doa supaya dia berada di kalangan orang beriman dan berharap moga kami satukan di sana suatu hari nanti
Nona: Perkara yg Ija belajar selepas selesai urusan pengebumian arwah?
Kalau kita baik, ramai akan sayang. Dari bilik jenazah sehingga ke masjid dan pengebumian, ramai kawan-kawan anak yang bantu kami uruskan jenazah. Apa yang paling kami belajar dari ujian ini, hidup ni hanya pinjaman. Selagi ada masa dan peluang, hargailah orang yang kita sayang. Sebab kita tak tahu siapa akan pergi dahulu. Macam contoh anak Ija, sebelum ni tak ada sakit pun. Sekurangnya selepas mereka pergi kita ada momen yang indah untuk dikenang.
Nona: …dan barangan dia yg Ija selalu tengok bila rindu?
Gambar dan video arwah. Sebab arwah periang orangnya, jadi keletah dia dalam video dapat kami lepaskan rindu. Video dan gambar ini juga akan kami simpan, supaya adik-adik kenal arwah bila mereka dah besar dan faham. Betapa arwah sayang adik-adik dia, lama dia tunggu nak dapat adik.
Selain itu, arwah ada binatang peliharaan, kura-kura. Dia pesan pada kami untuk jaga bila dia tak ada (waktu itu nak admitted, tak sangka tak ada selamanya).
Salam takziah buat Shaliza Aziz seisi keluarga. Semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka yang soleh dan beriman. Alfatihah buat arwah Muhammad Fariz Eskandar Bin Nor Shaliza (2003-2020)**