Nak Kaya Tapi Tak Tahu Cara, Mungkin RAHSIA REZEKI MENCURAH Amalan Dato Rizalman Ini Boleh Diamalkan

Laman Instagram Dato Rizalman tak pernah sunyi. Baik dari segi perniagaan mahupun kehidupan yang sentiasa meriah dengan gempita suaranya. Baru-baru ini Dato Rizalman mengeluarkan RIMASK, pelindung muka yang stylo pula. Apa agaknya amalan Dato Rizalman sehingga apa sahaja yang diusahakan laku keras.

 

Baru-baru ini, Dato Rizalman menjadi salah seorang tetamu di konti radio sempena sambutan Hari Bapa. Ramai yang ternanti-nanti empunya suara loghat utara ini muncul. Banyak juga DM dari peminat yang tersentuh dengan perkongsian Dato Rizalman lebih-lebih lagi soal anak-anak.

Menurut beliau, Umar dan Aali dibesarkan sama seperti anak-anak lain. Mereka diberikan pendidikan mengikut apa yang mereka mahu.

“Saya tidak menekan mereka mengikut apa yang saya mahu. Asalkan mereka membesar menjadi anak yang baik dan boleh menjaga saya di hari tua, itu sudah memadai. Mereka adalah rezeki yang Allah beri pada saya dan sesungguhnya memelihara mereka adalah tanggungjawab saya,”katanya.

Semakin lama, semakin banyak rezeki Dato Rizalman sungguhpun tidak aktif lagi dalam dunia fesyen. Kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Apa agaknya amalan yang beliau lakukan sehingga setiap sentuhannya bertukar menjadi ‘emas’?

“Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang banyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.

 

Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.

Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk membawa orang yang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.

 

Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki untuk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa untuk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.

Share
Published by
Anis Nor Tajul Arus