Mempunyai ketinggian 170cm dan berat badan 107kg, guru bernama Roni Tarver, 29, dari Texas ini sering mengadu sakit belakang. Di sekolah pula dia sering sakit kaki kerana perlu mendaki tangga ke kelas-kelas yang diajarnya.
Roni Tarver sudah penat menjadi bahan jenaka. Suatu malam, dia menangis kerana berat badannya meskipun cuba ditenangkan oleh suami tercinta. “Sesuatu mendorong saya untuk berubah,” katanya kepada CNN.
Menyedari bersenam bukanlah sesuatu yang disukainya, Roni mengambil keputusan untuk mendaftarkan diri dalam kelas Zumba. “Saya benar-benar terasa seperti di dalam kelab, menari dengan rakan-rakan dan bila penat, kita pulang dan datang semula esok untuk menari.
Saya enjoy menari, hayun langkah kaki, lambai tangan tinggi-tinggi dan berlenggok ikut irama… ia menyeronokkan, penuh bertenaga dan yang pentingnya, mengeluarkan peluh di tubuh!”
Selain menari, Roni juga berhenti makan di luar, mengelakkan makanan segera dan hanya mengamalkan ikan salmon atau ayam panggang. Pengambilan sayur pula dipertingkatkan. Di sekolah, Roni hanya mengambil protein kocak, buah pisang, epal atau pir sebagai snek. Produk tenusu terus dihentikan.
Kini Roni berjaya menurunkan berat badan sebanyak 45kg, bersaiz 6, tiada sakit belakang dan menjadi lebih positif, ceria dan menawan dari sebelumnya. Guru tersebut kini berusaha mengekalkan gaya hidup sihat dan konsisten dengan amalan menari yang disukainya.
ELAK NYANYUK
Aktiviti menari merupakan suatu bentuk senaman yang unik kerana ia menyihatkan jantung, disamping menawarkan manfaat aerobik serta meluaskan pergaulan sosial. Samada dilakukan dalam kumpulan kecil atau bersama ahli keluarga, minda dirangsang untuk merasa gembira bersama-sama.
Malah menurut kajian New England Journal of Medicine, menari, jika kerap dilakukan, dapat mengurangkan risiko penyakit Alzheimer serta pelbagai jenis demensia (nyanyuk) di usia tua.
FAEDAH
PILIH JENIS TARIAN
Pilih tarian mengikut kegemaran anda samada hip hop, masala, gelek, latin dan sebagainya. Namun jikalau anda tidak mempunyai asas atau bakat dalam tarian-tarian ini, ciptalah gerakan anda sendiri dan berdansalah sebebasnya. Ajak suami dan anak-anak untuk menemani, pasangkan CD lagu kegemaran, atau kuatkan bunyi televisyen (saluran video muzik) dan gerak-gerakkan seluruh tubuh. Begitu mudah, bukan?
Kebaikan menari, seperti juga senaman-senaman yang lain, bergantung kepada cara ia dilakukan, tahap kerancakannya, jangkamasa dan skil anda. Ketika ini, anda mungkin akan menggunakan bahagian otot yang tidak anda sedari kewujudannya.
Malah gerakan-gerakan tangan atau kaki yang tertentu dapat membentuk lengan yang pejal, payudara yang tegang, membakar lebihan lemak di sekeliling perut serta belakang badan dan membuatkan penampilan anda lebih cergas bermaya.
BAKAR KALORI (kiraan untuk 1 jam)
This website uses cookies.