Tanpa perlu mengembara hingga ke Negara Gajah Putih, anda kini berpeluang merasai keunikan Thailand Street Food di cawangan Boat Noodle seluruh negara.
Terkenal dengan hidangan mi pelbagai perisa yang disediakan dalam mangkuk kecil, kunjungan anda di salah sebuah rangkaian Boat Noodle pasti tidak menghampakan.
Apatah lagi suasana restoran yang digarap dengan konsep dekorasi santai dan vintaj menjelmakan dimensi seolah-olah sedang berada di negara jiran, Thailand.
Atmosfera yang tercipta juga membuatkan para Instagrammers tak melepaskan peluang merakam foto menarik di sini.
Usah terkejut jika anda terpaksa beratur di luar premis kerana itu memang situasi biasa yang biasa berlaku kepada pelanggan setia Boat Noodle.
Malah, ada yang sanggup datang ke restoran pada awal waktu operasi semata-mata tak mahu menempuh kedatangan pelanggan yang bertali-arus.
Apa yang pasti, Boat Noodle menghidangkan pengalaman gastronomi mengagumkan sehingga anda tersandar kekenyangan dengan seleksi menu enak Thai Street Food. Tambahan pula, harga yang ditawarkan cukup berpatutan.
Sempena cuti hujung minggu ini apa kata anda bawa seisi keluarga menikmati hidangan Boat Noodle. Bagi penggemar sajian mi, ada dua pilihan yang wajib anda cuba iaitu mi beras dan mi telur yang boleh dinikmati dengan pilihan daging lembu atau ayam.
Untuk kuah mi pula, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu sos Pathumtani iaitu sos rebusan soya gelap yang kaya dengan rasa masam dan pedas.
Sementara Ayutthaya pula dihasilkan dengan air rebusan soya berkrim yang menggabungkan tidak kurang 10 ramuan herba dan rempah ratus.
Kombinasi sos lazat dan daging empuk yang menyatukan rencah rasa mi membuatkan pelanggan mahu menikmati juadah ini lebih daripada semangkuk!
Selain mi, antara hidangan lain yang ditawarkan termasuk menu nasi Kra-Pow Chicken Rice dan Hulk Smash Green Curry yang terkenal dengan kepedasan cili padi. Begitu juga Fruit Somtam, Yum Seafood, Yum Mama dan Yum Meatball yang membangkitkan rasa pedas memikat.
Sebagai sajian sampingan, apa kata anda cuba Grilled Chicken Meatball, Grilled Beef Meatball, Chicken Wings, Thai Popeye’s Tempura atau Flame Grilled Ayam Legend untuk melengkapkan selera makan anda di sini.
Tidak cukup dengan itu, nikmati hidangan pencuci mulut berasaskan kuih seperti roti putih lembut yang dikukus, Sangkayaa. Persinggahan anda ke Boat Noodle bagaikan tidak lengkap tanpa minuman sejuk popularnya yang dikenali di bawah jenama Chill Chill.
Terdapat lebih 10 variasi perisa disediakan kepada pelanggan antaranya Cha Yen, Kaffe Yen, Thai Ice Blended Green Tea dan sebagainya.
Tarikan terbaharu di Boat Noodle adalah sajian somtam yang didatangi dengan pilihan somtam biasa dan somtam goreng. Tidak ketinggalan, menu Chicken Wing yang dihidangkan bersama sos istimewa.
Buat anda yang baru pertama kali ingin menikmati sajian mi Boat Noodle, ini tip penyediaan yang disarankan staf pemasaran dan komunikasi Boat Noodle, Muhammad Izzul sambil disaksikan Ketua Pegawai Penjenamaan, Pramesh Kumar.
Tip Nikmati Kelazatan Boat Noodle
Biarpun makanan yang dihidangkan bercita rasa Thailand namun pelanggan tidak perlu ragu dengan kualiti makanan di sini kerana Boat Noodle menggunakan bahan masakan daripada sumber yang halal selain telah menerima kelulusan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Selamat mencuba! Suziana Abu Daud
This website uses cookies.