“You dengan peti ais tu macam kembar! Dari jauh tak nampak beza. Besar. Menyemak.” Laser suami Senah setiap kali mereka berselisih faham. Jawab Senah pula, “You pun apa kurangnya? Seiras orang utan!”
Sifat suka sindir-menyindir seperti ini merupakan signal awal masalah komunikasi di antara suami isteri. Kebiasaan menyindir mendorong mesej yang ingin diluahkan tidak kesampaian, sebaliknya dinyatakan pula secara agresif menggunakan bahasa yang menyakitkan hati.
Dalam masyarakat kita, pasangan suami isteri yang matang atau sudah lama berkahwin gemar berkias secara halus. Namun budaya menyindir tidak seharusnya diamalkan, lebih-lebih lagi jika pasangan anda seorang yang sensitif, cepat terasa atau mudah tersinggung.
5 SEBAB MENYINDIR
(1) Tidak Percaya
Pasangan yang suka menyindir menggunakan alasan ini untuk menegur atau mengkritik pasangan. Mungkin kerana tidak berani menggunakan ayat yang bersifat straight forward.
Namun pakar psikologi menegaskan bahawa sindiran dalam perkahwinan adalah tanda kekesalan atau rasa tidak percaya terhadap seseorang.
Justeru, elakkan perasaan curiga sewaktu berbicara dengan pasangan anda. Sebagai contoh, jika pasangan pulang lewat, jangan terburu-buru menyindir sebagai simbolik rasa cemas atau khuatir terhadapnya. Gunakan bahasa yang lebih lemah-lembut seperti bertanya mengapa anda tidak ditelefon dahulu.
(2) Terasa Kerdil
Suami isteri yang harmoni adalah pasangan yang selalu memberi kepastian. Mereka tahu naluri pasangan yang selalu ingin tahu dan mengambil peduli.
Bayangkan situasi si isteri yang menyindir suami kerana lambat pulang. Itu mungkin menyebabkan si suami tersalah erti dan mengeluarkan respons negatif kerana terasa dirinya sedang disoal siasat. Tanpa disedari, kata-kata kurang senang pun dihamburkan sebagai balasan sindiran si isteri.
(3) Komunikasi Terputus
Suami isteri yang terbiasa dengan budaya sindir-menyindir mungkin mengalami masalah komunikasi yang terputus. Isteri yang suka menyindir suaminya juga kerap membuatkan maruah lelaki tercabar.
(4) Menjadi Contoh Buruk Pada Anak-Anak
Kebiasaan menyindir di depan anak boleh membuatkan si kecil bingung dengan komunikasi ibu bapanya. Anak anda juga tidak mustahil mencontohi sikap ini kerana tidak mengenal yang mana sindiran, yang mana gurauan. Justeru, jauhkan sifat ini di depan anak-anak.
(5) Serangan Peribadi
Niat anda untuk menyindir pasangan secara bergurau boleh disalah anggap sebagai serangan atau ancaman serius. Kata-kata sinis anda menyinggung hatinya akibat rasa emosi yang tidak stabil.
Si dia pula menunjukkan reaksi emosional secara berlebihan sehingga mengundang tanda tanya besar kepada anda. Kerana itu, berusahalah agar sentiasa berterus-terang serta amalkan sikap memaklumkan segala aktiviti anda dengan jelas kepada pasangan. Norzalina Mohd Alias
ADAB-ADAB MENEGUR PASANGAN
- Jangan membesarkan masalah kecil.
- Tegur secara berlapik dengan nada lembut.
- Usah mengungkit kesalahannya di depan orang lain.
- Pilih masa yang sesuai.
- Elakkan rasa sombong dan meninggi diri.
- Penuh kasih sayang.