Gaya Hidup

Nak Sama-Sama Hidup Bahagia & Senang, Isteri Pun Kena Berkorban! Sebab Tu DATIN LEYLA Ambil Keputusan Bekerja Dengan Suami

Wanita kelahiran Kuala Lumpur, Datin Lelawati Raffik berusia 39 tahun ini memiliki pakej lengkap sebagai seorang wanita yang boleh dijadikan inspirasi. Bukan saja cantik malah sukses dari segi kerjaya serta bijak menguruskan masanya sebagai isteri dan ibu.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 14, 12 dan 9 tahun ini mesra disapa sebagai Datin Leyla. Memandangkan anak-anaknya kini sedang menginjak usia remaja Datin Leyla mengambil keputusan untuk bekerja dari rumah.

Menariknya lagi, Datin Leyla lebih selesa bekerja bersama suami yang bertindak selaku mastermind untuk syarikat milik mereka. Datin Leyla bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan jualan dan pemasaran di samping mengendalikan staf serta mesyuarat.

“Sebagai wanita yang sudah berkeluarga saya perlu seimbangkannya dengan kerjaya. Walaupun bekerja dari rumah namun saya sentiasa komited dengan tugas.

Bekerja dengan suami ada kelebihan dan cabarannya kerana ia melibatkan perkongsian bersama pasangan sendiri. Kami perlu bersikap profesional, komited dan sabar. Alhamdulillah setakat ini kami tiada masalah yang terlalu serius.

Kalau ada pun kami segera selesaikannya secara bijak. Kami bebas berbincang tanpa perlu berselindung. Sejujurnya kami seronok bekerja bersama, susah senang pun bersama. Apa yang penting hormat kedudukan masing-masing barulah segalanya dipermudahkan,” kongsi Datin Leyla.

RAHSIA CANTIK

Pesona wajah eksotik yang dimiliki Datin Leyla tidak perlu dipertikaikan lagi kerana darah campuran Melayu-India mengalir dalam dirinya. Maka tak hairanlah di penghujung usia 30-an Datin Leyla masih kelihatan anggun.

“Saya mengamalkan meminum satu liter air kosong setiap pagi di samping mengambil suplemen secukupnya. Selain itu, saya hanya menggunakan produk yang ada penyelidikan serta bebas bahan berbahaya. Walaupun kesannya lambat tetapi ia lebih selamat.

Untuk kekal cergas saya melakukan workout secara rutin di rumah. Selain kekangan masa untuk ke gim, saya sebenarnya selesa melakukannya di rumah kerana lebih bebas,” bicara Datin Leyla.

 

Share
Published by
Amy Mohd