Alhamdulillah, tahniah diucapkan buat pasangan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan Haris Ismail yang selamat timang cahaya mata baru-baru ini. Setelah sekian lama tertanya-tanya dan menantikan detik kelahiran anak usahawan terkenal berkenaan, hari ini persoalan tersebut akhirnya terjawab!
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan, Neelofa sudah pun bersalin pada Sabtu lepas. Lebih manis, Neelofa dan Haris turut mengumumkan nama cahaya mata sulung mereka iaitu Muhammad Bilal bin Muhammad Haris.
“Assalamualaikum wbt. Alhamdulillahirabbil’alamin. Puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya, isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan putera sulung kami pada 29 Januari 2022 jam 3.44 petang.
Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga.
Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua. Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata.
Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu, mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara.”
Buat masa sekarang, tiada gambar terkini yang dikongsikan oleh pihak Neelofa dan Haris. Sama-samalah kita nantikan wajah anak mereka apabila tiba masanya kelak.
Neelofa dan Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz selamat mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021.
Moga kehadiran Muhammad Bilal menyerikan lagi kehidupan pasangan romantis ini dan terus menjadi sumber inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Neelofa
This website uses cookies.