Nama Rasmi Baharu, Jantung Pengangkutan Awam Negara Kini Dikenali KL SENTRAL redONE

Disuntik nafas dan nama baharu, jantung pengangkutan awam negara yang dulunya dikenali Stesen LRT KL Sentral kini ditukar. Menggunakan warna merah sebagai penghidup nadi, stesen itu kini berdegup lebih kencang selepas dijenamakan semula sebagai Stesen LRT KL Sentral redOne.

Perasmian nama baharu itu diumumkan selepas termeterainya perkongsian strategik di antara Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) pertama di Malaysia, redONE Network Sdn Bhd atau ‘redONE’ dengan Prasarana Integrated Development Sdn Bhd.

Perkongsian yang merupakan sebahagian daripada perjanjian Hak Penamaan Stesen selama 5 tahun antara redONE dan Prasarana Integrated Development itu mencerminkan komitmen redONE untuk meningkatkan kehadiran jenamanya dan terus berhubung dengan pengguna di Lembah Klang.

Dibina lebih 20 tahun lalu, KL Sentral yang direka sebagai hab multimodal atau hab pelbagai pengangkutan yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara merupakan jantung kepada sistem rel negara yang mana semua jaringan rel yang ada, dihubungkan di situ.

Hab pengangkutan itu menawarkan perkhidmatan kepada penumpang dengan menghubungkan mereka kepada Light Rapid Transit (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM), termasuk laluan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Setelah Stesen KL Sentral dinamakan semula sebagai stesen LRT KL Sentral redONE, perjanjian ini membolehkan redONE mempamerkan jenamanya kepada audien yang lebih besar di Lembah Klang di samping membantu meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus, melahirkan rasa teruja dengan kerjasama bersama Prasarana.

“Perkongsian ini membolehkan kami memajukan jenama kami dengan lebih jauh kepada berjuta-juta pengguna yang melalui stesen itu setiap hari dan seterusnya mengukuhkan kehadiran kami di Lembah Klang.

Kami sangat menyokong pengangkutan awam dan mengurangkan kos sara hidup pengguna, kerana itulah, di redONE, kami menyediakan pelan pasca bayar mampu milik dari serendah RM8 sebulan.”

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd, Fa’izah Khairuddin berkata, kerjasama dengan redONE menandakan kejayaan penting bagi syarikat itu.

Ia menekankan keupayaan syarikat dalam menyediakan segmen pelanggan yang disasarkan dan platform untuk keterlihatan jenama yang tinggi kepada rakan kongsinya, serta mempamerkan komitmennya terhadap produk atau kempen yang lebih inovatif dan perkongsian jangka panjang.

“Dengan bergabung tenaga bersama redONE, kami yakin akan meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk berjuta-juta penumpang dan pengembara sambil membuka jalan baharu untuk keterlihatan jenama dan penglibatan bagi MVNO terbesar di ASEAN.

Kami mengharapkan perkongsian berjaya yang akan membentuk landskap masa depan pengangkutan awam di Lembah Klang.”

 

Pada tahun 2022, redONE turut memperkenalkan kempen redRIDER, kerjasama dengan Rapid KL untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Menerusi kempen yang berterusan, penumpang berpeluang memenangi telefon pintar percuma dan barangan eksklusif redONE pada setiap bulan.

Penumpang bertuah yang menaiki MRT Rapid KL, LRT atau monorel dengan token kereta api redONE istimewa hanya perlu mengimbas kod QR pada token untuk memenangi hadiah menarik ini.

Nama Stesen LRT KL Sentral redONE yang dijenamakan semula akan kelihatan di seluruh kawasan utama stesen dan di sepanjang laluan Kelana Jaya, termasuk papan tanda dan peta serta di atas kereta api, berkuat kuasa sertamerta

Share
Published by
Norzalina