Datuk Rosyam Nor sememangnya terkenal sebagai selebriti yang tidak gemar berkongsi kisah peribadi dan wajah keluarganya kepada umum. Tidak hairanlah, anak kedua beliau
iaitu Nur Anis atau lebih mesra dengan panggilan Anis Kiss kurang meraih populariti seperti anak selebriti lain. Mengakui tidak sedikit pun rasa kekurangan dengan keadaan itu, Anis bagaimana pun semakin dikenali dek kerana status wanita cantik ini selaku Instafamous!
Berkesempatan bertemu puteri kedua Datuk Rosyam Nor ini, Anis yang menginjak usia 27 tahun seorang yang sangat ramah dan berpekerti tinggi. Meskipun sudah bergelar isteri
pada September tahun lalu namun ujar Anis kehidupannya saat ini lebih bermakna selepas dikurniakan seorang suami. “Boleh dikatakan kehidupan Anis sekarang agak sibuk, biasanya akan balik awal sebab kena sediakan lunch, dinner termasuk barang-barang rumah. Tak ada apa yang berubah sangat.”
Selain sibuk dengan tugas sebagai Digital Content Creator, Anis juga sedang merancang untuk mengusahakan perniagaan biskut dan hamper. Terangnya, idea untuk menjalankan
bisnes ini datang dari dirinya sendiri. “Saya sedang dalam proses untuk berniaga cookies dan hamper. Ikut perancangan, akan mula beroperasi di rumah dan segala resipi disediakan oleh rakan kongsi dan saya sendiri. Idea ini sebenarnya datang sebab saya selalu beli cookies dan hamper dari partner saya ini yang juga seorang baker,” ungkapnya.
Ditanya bagaimana kehidupannya sebagai anak kepada Datuk Rosyam Nor, ini jawapan jujur Anis. “Sejujurnya saya tak rasa benda tu susah sebab papa tak beritahu kepada orang ramai tentang siapa anak-anak atau famili dia. Jadi, kami adik-beradik tak ada limelight sangat di media. Hanya orang yang tahu saja akan tahu. Macam saya, saya tetap hidup macam anak-anak lain dan kalau keluar rumah pun tak ada sampai kena serbu atau sebagainya.
Paling penting, kami adik-beradik kena tahu jaga nama papa dan tak buat benda yang boleh jatuhkan reputasi dan memalukan. Alhamdulillah dari dulu sampai sekarang, semuanya baik. Bercerita tentang papa ni, dia nampak je garang. Tapi sebenarnya dia sangat penyayang, very romantic and very sensitive dengan anak-anak dia.
Yang saya perasan bila dah kahwin ni kalau tak call dia dalam dua tiga hari, dia akan call dan tanya dekat mana, buat apa, ok tak, tak balik rumah papa ke. Pendek kata, papa memang sangat penyayang dan lembut sebenarnya.”
Tak pernah meletakkan sebarang kriteria tertentu terhadap kerjaya anak-anak, Anis berkata Datuk Rosyam Nor cukup terbuka dengan apa juga pilihan karier yang diminati
anaknya. “Bila kami dah habis belajar universiti, papa tak letakkan apa-apa syarat untuk anak kerja apa. Papa kata dia dah bagi education, tak kisah anak-anak nak jadi (kerjaya) apa. As long as tahu jaga batas, tahu balik rumah dan jaga kelakuan. Itu sudah memadai.”
Tatkala ditanya pernahkah Anis terdetik untuk menjadi selebriti dan pelakon seperti bapanya, sambil tersenyum dia menggelengkan kepala. Kata Anis, impian untuk bergelar
anak seni tidak pernah terlintas di fikiran kerana menyedari tidak memiliki bakat berlakon.
Walau enggan mengikut jejak langkah Datuk Rosyam Nor namun Anis sangat mengagumi
keperibadian bapa tersayang dan menyifatkan kegigihan kedua-dua ibu bapanya merealisasikan impian perkahwinan merupakan salah satu kenangan terindah dalam hidup Anis.
“Kenangan bersama papa memang banyak sangat tapi yang tak dapat saya lupa jasa mama dan papa ialah bila mereka buat perkahwinan saya menjadi momen paling bermakna dalam hidup. Apa sahaja idea yang saya nak, mereka akan cuba buat sampai dapat. Bukanlah bermaksud majlis tersebut kena mahal sebaliknya lebih kepada momen yang menyatukan kami sekeluarga,” akhirinya.
Selain Anis, Datuk Rosyam Nor turut dikurniakan empat lagi cahaya mata perempuan iaitu Arniesha Azureen, Nurlisa, Syadira dan Zarith Maryam.
Kredit foto: Instagram Anis Kiss