
Untungnya personaliti Taiwan ini kerana dikurniakan wajah awet muda! Kalau tengok rupa paras pemilik nama Lure Hsu ini pasti ramai yang menyangka dia baru berusia 20an. Hakikatnya, pereka hiasan dalaman dan blogger fesyen ini sudah pun mencecah umur 46 tahun!
Pernah menjadi bualan di laman maya kerana memiliki raut wajah muda 20 tahun daripada usia sebenar, Lure Hsu dilahirkan pada 15 Ogos 1975 di Taipei. Dia juga mempunyai dua adik-beradik perempuan iaitu Fayfay, sosialit Taiwan berusia 47 tahun dan Sharon yang juga model berumur 39 tahun.
Kalau bergambar bersama, memang ketiga-tiganya kelihatan seperti gadis remaja.
Menerusi temu ramah bersama sebuah majalah Taiwan, Lure mendedahkan salah satu petua yang diamalkan untuk kelihatan sihat dan cantik ialah dengan minum air secukupnya.
Dia percaya amalan minum air kosong yang cukup dan diperlukan oleh badan setiap hari mampu memberi kesegaran kepada tubuh. Sekaligus membantutkan proses penuaan.
Amalan ini dipraktikkan Lure dan adik-beradik perempuannya sejak sekian lama dan ia ternyata berkesan. Apatah lagi, ibu mereka dikenali sebagai May Wang yang merupakan bekas penari berusia 67 tahun turut kelihatan awet muda.
Selain minum air kosong, Lure sangat menitikberatkan pemakaian krim pelembap dan pelindung matahari setiap kali sebelum keluar rumah dan tidak membiarkan kulitnya terdedah kepada cahaya matahari dalam tempoh yang lama.
Bagi Lure, di samping menjaga kulit dari luaran dia juga mengamalkan pengambilan supplement seperti Vitamin C dan kolagen. Lure juga memberitahu dia memulakan harinya dengan minum black coffee tanpa gula setiap hari.
Bersandarkan kecantikan asli dan awet muda yang dimilikinya, kebanyakan media menggelarkan wanita ini sebagai ‘goddess with a frozen age’. Difahamkan sebelum Lure menjadi pereka hiasan dalaman, dia turut pernah menceburi bidang peragaan.
Kredit foto: Instagram Lure Hsu
Puasa Cara Detoks Paling Berkesan!

Fasa tumbesaran daripada alam bayi ke alam dewasa banyak mempengaruhi tekstur dan rona hitam putih ke atas kanvas kulit. Masihkah anda ingat wajah yang rata dan licin sebelum mencapai akil baligh, kemudiannya ditimpa masalah berminyak dan berjerawat? Cuba perhatikan rutin corak pemakanan harian, amalan detoks barangkali berhasil untuk mengeluarkan sisa toksin yang terkumpul.
Kebanyakan makanan di sekeliling kita telah dicemari dengan toksik. Bahan-bahan tercemar ini mudah larut dalam darah dan seterusnya diangkut ke seluruh tubuh. Apa kata jika sesekali lakukan detoks untuk ‘mencuci’ sistem penghadaman dengan cara yang sihat? Selepas melakukan ‘cucian’ perut ini, anda dapat merasa perbezaan ketara pada kulit, ia lebih segar dan bercahaya dari dalam. Antara cara terbaik untuk ‘cuci perut’ adalah melalui amalan berpuasa.
DETOKS HUJUNG MINGGU
- Makan banyak buah-buahan segar sewaktu bersahur. Pilihlah yang berwarna cerah seperti kiwi, anggur, mangga, betik, pic, beri, strawberi, pir dan epal.
- Jamah segenggam kekacang sebagai snek bersahur bersama teh hijau, teh herba atau air suam.
- Sediakan semangkuk salad istimewa untuk hidangan berbuka puasa dengan campuran bunga kubis, tomato, timun, brokoli, lada hijau, hirisan lobak, avokado, sedikit rempah dan bawang. Tambah perisa dengan minyak zaitun secukupnya, hirisan herba, bawang putih, jus lemon dan cuka.
- Waktu snek diisi dengan kuaci, gajus dan biji labu atau pek kecil yogurt tulen sambil menghirup teh hijau atau teh herba.
- Buat stim kukus sayur-sayuran segar dan berwarna cerah seperti brokoli, bunga kubis, labu air dan kubis merah dengan herba untuk makanan berbuka puasa.
DETOKS HARIAN SEPANJANG BERPUASA
- Minum banyak air mineral atau bertapis sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Tambahkan sedikit perisa dengan memerah jus limau nipis atau rendaman hirisan lemon untuk kelainan.
- Tukar amalan meminum kopi dengan teh hijau. Ia kaya dengan antioksidan dan boleh ‘mencuci’ usus.
- Jus buah-buahan pekat dan segar seperti jus lobak, epal, tembikai, betik dan sebagainya sangat digalakkan tetapi jauhi gula dan ais.
- Jauhi minuman beralkohol dan berkarbonat kerana ia tinggi acetaldehyde, yang menyebabkan kulit cepat tua dan tinggi kalori.
- Banyakkan makanan berunsur buah-buahan, sayuran hijau, berfiber dan cecair untuk memudahkan proses penyahtoksikan selepas waktu berbuka puasa.
SUPLEMEN TERBAIK UNTUK KULIT
- Vitamin A, C dan E, selenium serta enzim kompleks Q10.
- Asid Omega 3.
- Sulfur (MSM/methyl sulfonyl methane) untuk memulihkan dan membaiki tisu, menghasilkan kolagen dan keratin rerambut, menentang akne, ekzema dan psoriasis. Ia boleh ditemui dalam ikan, telur, daging dan sesetengah buah-buahan dan sayuran.
- Asid Alpha Lipoic iaitu antioksidan yang ditemui dalam daging, bayam dan kentang.
Daripada Hodoh Menjadi Cantik Jelita. Ini Sebabnya Ramai Mahu BERGIGI BESI Untuk Penampilan Masa Depan

Mungkin ada segelintir pembaca yang masih ingat dengan watak Betty dalam siri popular Yo Soy Betty La Fea, yang memaparkan kehidupan seorang gadis bergigi besi yang sering menjadi mangsa buli di tempat kerja kerana penampilannya.
Beatriz Pinzon Solano atau Betty lakonan Ana Maria Orozco ditampilkan dengan wajah seorang gadis yang memakai pendakap gigi dan dilabelkan sebagai si hodoh oleh rakan sepejabatnya.
Tetapi semuanya berubah apabila dia menanggalkan pendakap giginya dan mengubah penampilan menjadi seorang gadis yang jelita. Lihat betapa terkesannya bila seseorang itu memakai pendakap gigi dan terpaksa menerima pelbagai tomahan dari mereka yang prejudis pada kecantikan.
Gigi yang tidak tersusun akan menjejaskan penampilan seseorang. Perasaan malu untuk senyum kerana susunan gigi yang berterabur sering menghantui perasaan segelintir individu.
Impian untuk memiliki senyuman persis seorang pemenang Ratu Cantik sering menjadi impian khususnya bagi wanita. Barisan gigi yang cantik tersusun menambahkan lagi seri dalam senyuman.
Bukan itu sahaja, mereka yang mempunyai masalah gigi ini juga berhadapan dengan masalah untuk mengunyah ketika makan. Kesannya makanan yang dikunyah tidak hadam dengan sempurna dan mengganggu sistem perut.
Individu yang mempunyai bentuk gigi jongang pula akan mendapat kesukaran menyebut beberapa huruf seperti ‘F’ dan ‘S’. Jadi apakah cara untuk mengatasi masalah pada mereka yang mempunyai masalah gigi jongang ataupun susunan gigi yang tidak tersusun? Adakah dengan memakai pendakap gigi atau braces ini mampu mengubah penampilan seseorang menjadi lebih yakin?
Rawatan Ortodontik
Ortodontik merupakan proses rawatan untuk membetulkan kedudukan gigi supaya lebih tersusun dan cantik. Ortodontik atau lebih dikenali sebagai pendakap gigi ini bertujuan untuk membaiki rahang dan menyelaraskan gigi pada kedudukan yang sempurna.
Sejarah menyatakan pendakap gigi ini telah mula dipakai sekitar pertengahan kurun ke-17 di Paris. Pakar perubatan Perancis, Pierre Fauchrd (dikenali Bapa Pergigian Moden) telah melakukan banyak perubahan dalam perubatan gigi terhadap penduduk di Paris pada zaman kegemilangan pra-revolusi.
Pada awal kemunculan pendakap gigi, individu yang memakainya akan berasa rendah diri dan tidak yakin sehinggalah pendakap gigi ini ditanggalkan dalam tempoh tertentu.
Jenis Ortodontik
Terdapat beberapa jenis pendakap gigi yang dipasang mengikut jenis masalah pada gigi pesakit seperti:
(a) Aplians ortodontik tetap
Pendakap yang melekat pada gigi. Ia tidak boleh dikeluarkan dari mulut dan tidak sepatutnya tertanggal. Rawatan aktif biasanya mengambil masa selama dua tahun mengikut tahap kesukaran membetulkan kedudukan gigi tersebut.
(b) Aplians fungsi dan boleh tanggal
Aplians boleh tanggal adalah aplians yang boleh dikeluarkan dari dalam mulut. Aplians fungsi ialah pendakap khas yang bertujuan memperbaiki hubungan antara dua rahang atas dan bawah. Syarat memakai aplians ini ialah pesakit harus memakainya setiap masa termasuk ketika tidur.
Risiko
Memakai pendakap gigi mempunyai beberapa risiko jika pesakit mengabaikan penjagaan mulut dengan betul. Antara gejala yang sering dihadapi oleh pesakit ialah:
- Gusi bengkak dan berdarah.
- Ulser pada mulut.
- Kebarangkalian untuk gigi kembali pada bentuk asal.
- Tompok putih pada gigi (karies).
- Kesan dekalsifikasi pada permukaan enamel gigi yang dapat dilihat seperti tompok-tompok putih (white-spot) merupakan komplikasi yang paling kerap berlaku.
- Dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi adalah disebabkan oleh asid yang dihasilkan dari proses metabolisma plak. Karies juga mudah terjadi pada gigi terutamanya apabila kebersihan mulut tidak dijaga dengan rapi oleh pesakit dan jangkamasa rawatan ortodontik yang terlalu lama.
Seiring dengan perkembangan teknologi ortodontik, pendakap gigi tidak lagi tertumpu pada jenis besi (metal braces) tetapi pendakap gigi kini tampil dengan bahan daripada seramik yang hampir tidak kelihatan jika dipakai kerana warnanya yang sama dengan gigi.
Lebih hebat lagi, pendakap gigi juga boleh didapati dalam bentuk invisalign braces yang langsung tidak kelihatan kerana diperbuat daripada bahan lut sinar. Sehubungan dengan itu, persepsi pendakap gigi sekali gus berubah daripada kehendak asal untuk membaiki kedudukan gigi menjadi lebih sempurna kepada memakai pendakap gigi untuk tampil berbeza.
Maka tidak hairanlah remaja hari ini tetap memakai pendakap gigi walaupun mereka sudah memiliki sebaris gigi yang cantik semata-mata untuk mengikut kehendak peredaran masa.
Bahaya Braces Tiruan
Pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati membeli pendakap gigi tiruan ini kerana risikonya pada kesihatan. Menurut pakar pergigian, kandungan bahan plumbum yang terdapat pada pendakap gigi tiruan ini berupaya untuk mendatangkan risiko kanser usus. Orang ramai seharusnya lebih peka terhadap masalah ini dan mendapatkan nasihat daripada doktor gigi.
Kerajaan boleh menyekat atau mengawal penjualan pendakap gigi ini di Internet, tetapi tidak mampu untuk mengawal pembelian melalui Internet.
Amalan memakai pendakap gigi tiruan ini akan membahayakan diri pengguna kerana risikonya amat tinggi. Pendakap gigi berkualiti tinggi diperbuat daripada keluli tahan karat. Kos untuk memasang pendakap gigi di klinik pula kadangkala boleh mencecah sehingga RM4,000, berbanding pendakap gigi tiruan yang boleh diperoleh sekitar harga RM150 dengan pelbagai warna dan corak. KR
Hanya Makan Salad Waktu Lunch & Elak Kafein, Rahsia Langsing JLO Di Usia 50 Tahun!

Wow, cemburu tengok bentuk tubuh ideal Jennifer Lopez! Bukan saja langsing, siap ada ‘six-pack’. Kalau baru berusia 30an dan memiliki tubuh macam ini memang tiada apa yang menghairankan pun. Maklumlah, masih muda dan bertenaga. Tapi bila umur sudah mencecah 50 tahun dan dikurniakan tubuh seksi seperti ini… masuk kategori luar biasa dah tu!
24 Julai 2019, genap 50 tahun usia Jennifer Lopez atau terkenal dengan nama julukan JLo. Tidak hanya mempersonakan dari segi bentuk tubuh, stamina selebriti ternama Hollywood ini pun tidak kurang hebatnya. Difahamkan sempena ulang tahun kelahiran dan 20 tahun penglibatannya dalam industri muzik tahun ini… JLo berbesar hati mengadakan konsert jelajah ‘It’s My Party Tour’ sebagai penghargaan kepada para peminat.
Konsert mini yang berlangsung sejak 7 Jun lalu berakhir hari ini, 25 Julai di Miami, Florida. Dalam usia separuh abad… stamina JLo di atas pentas mengalahkan penyanyi muda. Cukup lincah mengikut rentak muzik dan rutin tarian rancak!
Memetik kenyataan JLo kepada Harpers Bazaar, stamina dan susuk tubuh yang dimiliki adalah hasil daripada pemakanan sihat dan rejim kecergasan yang sangat ketat. Malah, ibu kepada dua anak ini akui mengelak daripada pengambilan kafein, alkohol dan snek yang boleh merosakkan tubuhnya. Demi mengekalkan bentuk tubuh menawan, JLo memilih snek sayur-sayuran dan buah-buahan segar jika terasa lapar. Fuh, jiwa kena kental tu!
https://www.instagram.com/p/B4gRdvmgagF/
Kunci utama kepada kecantikan JLo ialah kekal hydrated. “Minum air yang banyak terutamanya sebelum work out, sebab ia bekalkan tenaga luar biasa ketika bersenam. Saya juga sudah bertahun-tahun tidak mengambil kafein dan berhenti minum alkohol sepenuhnya.”
Bukan itu saja… JLo juga sangat tegas dengan apa yang dinikmatinya setiap hari dan memastikan ia seimbang, penuh nutrisi serta tidak mengambil makanan siap diproses. Bahkan jika keluar makan ke restoran sekalipun dia memilih hidangan rendah kalori atau hanya hidangan salad.
“By lunchtime, I’m starving,” ujarnya. Apa yang mengejutkan ialah menu tengah hari JLo biasanya mengandungi sumber protein seperti ikan salmon yang sarat dengan pelbagai salad antaranya brokoli, zucchini dan cili benggala. Manakala hidangan makan malam pula ialah protein yang ditambah dengan buah kuini.
“Saya sentiasa bawa bersama buah-buahan atau sayur sebagai snek di antara waktu makan. Jika masih terasa lapar, saya akan nikmati protein kerana ia mengenyangkan dan bagus untuk pembentukan otot.”
Saat ramai wanita menjadikan makanan sebagai suatu yang membahagiakan… berbeza pula bagi JLo. Baginya senaman mampu memberi keseronokan luar biasa termasuk tarian.
“I’m 100 percent convinced that working out is part of what makes me happy. Dance has always been a huge part of my life and taking the time to move my body and do something that’s so good for me is key to my happiness. And I really believe that when you take care of yourself and work to stay healthy, you’re better able to take care of those you love. So working out is definitely a priority for me.”
Jadi, tak hairanlah macam mana JLo boleh kekal aktif, cantik dan langsing di usia 50 tahun. Janji konsisten amalkan pemakanan sihat, diet seimbang dan rajin bersenam… confirm dapat bentuk tubuh sihat macam penyanyi popular ni!