NANA MAHAZAN Pernah Menangis Kerana Kulit ‘Breakout’, Kini Optimis Memperkasa Golongan Wanita

Ramai wanita yang pernah hilang keyakinan pada diri kerana masalah kulit wajah. Rupanya Nana Mahazan pernah menangis kerana masalah breakout yang dihadapinya.

“Saya sendiri tahu bagaimana diselubungi perasaan sedih kerana tiada keyakinan diri. Saya boleh faham pergelutan mereka yang diburu keresahan sebab kulit wajah teruk.

Foto: Koleksi Peribadi Nana Mahazan

Ironinya saya melalui fasa itu pada tahun 2017. Saya alami masalah kulit breakout atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat dek pelbagai masalah melanda.

Suami saya sendiri menjadi saksi paling dekat melihat saya ada dalam keadaan paling dasyat itu. Masa itu, saya akan tengok cermin sambil menangis setiap hari.

Suami juga yang selalu beri semangat untuk saya cuba tip atau produk itu ini. Dialah penyokong setia menerima kelebihan dan kekurangan diri,” kata Nana yang setahun lebih bangkit daripada fasa breakout dengan mencuba pelbagai jenis produk kulit.

Foto: Koleksi Peribadi Nana Mahazan

Siapa sangka daripada ujian masalah kulit yang dihadapi oleh wanita yang berusia 39 tahun ini merupakan hikmah yang tak terjangka.

Selepas ramai orang melihat perubahan wajahnya, Nana Mahazan terlintas memasarkan rangkaian jenama produk penjagaan kulit sendiri pada tahun 2020.

“Akhirnya saya bertemu dengan produk yang serasi dengan kulit wajah. Itupun selepas mencuba pelbagai produk. Selepas bertemu yang serasi, saya tidak lagi culas soal menjaga muka. Masalahnya produk itu harganya sangat mahal.

Foto: Koleksi Peribadi Nana Mahazan

Situasi itu (harga produk mahal) menjadi titik tolak untuk saya cuba hasilkan produk seumpama dengan harga berpatutan. Saya memilih buah kiwi yang dianggap sebagai ‘superfood’ dengan banyak khasiat dan nutrisi. Ia mempunyai sumber vitamin C lebih bagus berbanding oren.

Ia juga bagus untuk merawat kulit muka. Tambahan pula ia menjadi buah kegemaran saya dan keluarga. Rangkaian produk ini mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga ‘rakyat’,” kata Nana Mahazan.

Foto: Koleksi Peribadi Nana Mahazan

Momen Nana Mahazan pernah menangis kerana masalah kulit membuatkan dirinya faham dengan masalah wanita yang menghadapi masalah breakout. Walaupun pada awalnya perniagaan diceburi itu berpaksikan minat, mengisi masa lapang dan sudah tentu untuk menjana pendapatan sampingan.

“Namun lama kelamaan saya memahami dunia niaga ini sebenarnya menjadi perantara atau kenderaan untuk membantu ramai orang. Seterusnya, insya-Allah untuk mendapat reda dan keberkatanNya.

Foto: Instagram @nanamahazan

Setiap hari akan jadi ruang belajar dan terus memperbaiki diri. Saya mahu terus menginspirasi dan membantu golongan wanita khususnya seramai mungkin. Ia sama ada membina keyakinan diri dengan menggunakan produk atau menjana pendapatan.

Saya mahu mewujudkan lebih ramai pemimpin dan wanita berdikari. Begitu juga keinginan mengubah mereka yang sentiasa rasa rendah diri. Saya nak tanam dalam diri mereka ini semangat atau jati diri yang kuat,” kata isteri kepada Mohammad Raqeem Brian ini.

Baca juga; Nana Mahazan Tak Banding Diri Dengan Orang Lain

Share
Published by
Hamizatul Maizan