Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memang terkenal dengan sikapnya yang suka menyantuni rakyat jelata dan hebat memasak di dapur. Jika sebelum ini petugas media yang ‘berkampung’ di depan Istana Negara telah disajikan hidangan istimewa dari istana ekoran kemelut politik.
Kini, para petugas hadapan (FRONTLINERS) dapat menikmati sendiri air tangan Raja Permaisuri Agong setelah bertarung nyawa merawat pandemik COVID-19. Raja Permaisuri Agong telah berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan baginda kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.
“Hari ini saya masak untuk doktor-doktor, jururawat dan petugas di Hospital Sg Buloh…semoga ALLAH SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negara ku Malaysia….,” titah Raja Permaisuri Agong, menerusi hantaran di Instagram baginda.
Semua FRONTLINERS bertuah dapat menikmati hasil masakan Raja Permaisuri Agong yang terdiri daripada nasi putih, kari ayam, sayur goreng dan telur dadar yang dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.
Manakala nasi goreng ‘cheminahsayang’ dan sambal tumis bilis serta kek muffin menjadi menu untuk petugas CPRC.
“Nasi goreng cheminahsayang dan sambal tumis bilis… untuk pegawai , doktor dan jururawat bertugas corona di CPRC,” titah Baginda.
Semua FRONTLINERS telah mengucapkan terima kasih atas sumbangan makanan menerusi laman Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya.
Jika Raja Permaisuri Agong begitu prihatin dengan kebajikan FRONTLINERS mengapa tidak kita sebagai rakyat untuk menyokong kempen #JomDudukRumah #DudukRumah #KitaJagaKita #StayAtHome. Semoga pandemik COVID-19 ini segera hilang dari muka bumi ini.
Sumber: BERNAMA
This website uses cookies.