Nathalie Colin Wanita Di Sebalik Keindahan Rekaan Batu Swarovski

Memegang jawatan sebagai Creative Director for the Consumer Goods Business (CGB) division of the Swarovski Group, mampu merealisasikan keghairahan Nathalie dalam meneroka kemilau barangan kemas dan batuan permata. Siapa tidak kenal dengan kehebatan jenama Swarovski itu sendiri, begitu gah dek gemerlapan dan kerdipan batu permata yang begitu memukau pandangan. Bukan sahaja menjadi pilihan aksesori premium malah turut melatari keindahan rekaan selendang dan busana. Nathalie Colin, seorang wanita yang begitu dinamik dalam mengejar cita-cita dan wajar dijadikan inspirasi buat semua wanita.

Sebagai Pengarah Kreatif, sudah pastinya kredibiliti Nathalie dalam menerajui pasaran barangan kemas antarabangsa lahir melalui deria fesyen yang begitu hebat serta kepakarannya dalam bidang ini. Bukan itu sahaja malah wanita ini turut memainkan peranan penting dalam memodenkan jenama lantas mengukuhkan jenama Swarovski di arena antarabangsa.

Kombinasi kepakaran yang dimiliki serta visi kreatif dalam diri Nathalie telah mengabadikan semangat inovasi yang menyuntik nilai teras, warisan budaya dan modenisasi Swarovski. “Tugas saya secara hakiki adalah untuk mencipta gelombang perubahan secara beransur-ansur terhadap jenama ini. Saya turut bertanggungjawab untuk mengangkat elemen warisan untuk diadaptasikan dalam setiap rekaan.

Malah turut menyeimbangkan di antara elemen fantasi yang digarap dengan kesegaran idea baharu, teknologi, material dan teknik. Cabaran paling besar adalah untuk mengekalkan DNA jenama agar terus diterima setiap musim sepanjang masa,” tutur Nathalie memulakan bicara dalam pertemuan yang berlokasi di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur.

Menelusuri karier wanita yang berkelulusan Fashion Institute of Technology (FIT) in New York ini, mampu menyuntik semangat yang luar biasa. Sebelum menyertai Swarovski, Nathalie memulakan kariernya dengan bekerja untuk Perry Ellis di samping Marc Jacobs sebaik sahaja tamat pengajiannya di Kota New York. Kemudian wanita yang mudah tersenyum ini terus meraih pengalaman bekerja dengan agensi antarabangsa yang berurusan dengan jenama hebat seperti Nike, Ray Ban, Shiseido, the retailer Selfridges, Disney, World Gold Council, and the French Lingerie fair.

“Dalam masa yang saya ketika ini saya sudah berurusan dengan Swarovski berdasarkan projek yang berkaitan dengan trend, warna dan pembangunan awal konsep produk Swarovski. Mungkin pihak pengurusan dapat menghidu kecintaan saya terhadap barangan kemas terutama kristal, mereka telah menawarkan jawatan sebagai Pengarah Kreatif pada tahun 2006 yang lalu.

Selepas 10 tahun saya dedikasikan masa dengan rekaan kristal, namun saya tetap teruja setiap kali melihat rekaan baharu kristal tersebut. Batuan kristal ini merupakan material yang versatil, hidup dan mampu menambah nilai positif dan sentuhan glamor dalam setiap rekaan. Melihat setiap potongan dan permukaan kristal mampu menyuntik inspirasi dalam setiap rekaan kristal,” bicara Nathalie sambil menunjukkan sebahagian rekaan yang telah diciptanya.

Takjub melihat keindahan dalam setiap rekaannya, sudah pasti wanita ini mempunyai tenaga kerja yang hebat untuk menyokong di belakangnya. Nathalie bukan sahaja menjalankan peranan sebagai ketua dalam jabatan kreatifnya malah turut membantu mengembangkan bakat sedia ada dan menyokong memperkasakan hak wanita.

Wanita ini turut terlibat dalam program mentor yang dianjurkan oleh Swarovski. “Sehingga kini tenaga kerja dalam team saya lebih daripada 50 orang ahli yang datang daripada hampir 21 kewarganegaraan yang berbeza. Kepelbagaian nilai ini sangat penting dalam mencipta sebuah rekaan yang begitu hebat. Apa yang lebih membanggakan adalah team saya tahu apa yang saya mahu dan perlukan dan mereka sentiasa melahirkan sesuatu rekaan berlandaskan visi kreatif saya terhadap warna, modenisasi, versatil, personaliti serta DNA dan signature crystal,” terang Nathalie sambil tersenyum.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan