Natural & Tanpa Bahan Kimia, Semak 6 Fakta Menarik Tentang MINYAK ZAITUN Untuk Rambut Anda!

Sejak dahulu hingga kini, kuasa minyak zaitun memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun dan ia di antara buah sunah yang tersebut di dalam Al-Quran.

Selain boleh dijadikan sebagai makanan dan penyedap rasa ketika memasak, buah zaitun juga dapat menghasilkan minyak yang sangat bermanfaat untuk kecantikan.

Minyak zaitun boleh diaplikasi di luar tubuh mahupun di dalam tubuh demi manfaat yang tidak terhingga. Selain itu, minyak zaitun kaya dengan vitamin E, K dan asid lemak yang berfungsi untuk melembapkan setiap helaian rambut. Rambut pasti akan semakin bersinar, lembut dan kuat.

(a) Rambut Menjadi Kuat

Masalah rambut seperti keguguran dan putus adalah kerana kurang nutrisi penting dalam pertumbuhan rambut yang sihat. Selain vitamin E tadi minyak zaitun mengandungi nutrisi penting seperti Biotin, Niacin, Vitamin dan D yang penting untuk penjagaan rambut dan meningkatkan kualiti rambut. Nutrisi ini juga membantu rambut tumbuh secara subur dan terhalang daripada keguguran yang terlalu ketara.

(b) Menghilangkan Kelemumur

Minyak zaitun juga boleh diadun dengan ramuan lain bagi meningkatkan lagi kuasanya untuk kecantikan rambut. Kombinasi di antara minyak zaitun dengan lemon dapat menghilangkan kelemumur daripada terus melekat pada kulit kepala.

Anda tidak perlu risau lagi jika mempunyai masalah pengelupasan kulit kepala kerana ramuan minyak zaitun dan lemon itu adalah jalan penyelesaiannya. Kuasa lemon ini akan menghilangkan kelemumur dan kuasa minyak zaitun pula akan melembapkan kulit kepala daripada terus menggelupas. Campuran ini boleh diletakkan di atas kulit kepala dan picit lembut sebelum dibilas. Boleh dilakukan seminggu sekali sebelum bersyampu.

(c) Mengelak Kebotakan

Sifat antibakteria memberi kesan terbaik untuk kesihatan rambut. Masalah rambut botak mungkin kerana faktor genetik dan juga faktor bahan kimia. Penggunaan bahan kimia yang keterlaluan boleh menyebabkan rambut gugur dan seterusnya botak. Namun, minyak zaitun boleh membantu masalah ini dengan bahan terbaik antibakteria yang menghalang bahan kimia daripada terus berkuasa.

(d) Mengatasi Rambut Bercabang

Rambut bercabang boleh menjadi punca kepada stres dan juga merendahkan keyakinan diri. Masalah kerosakan rambut ini boleh dirawat dengan minyak zaitun. Titiskan minyak zaitun di atas kulit kepala dan sapu lembut sehingga ke hujung rambut. Ia berupaya melembutkan rambut, melembapkan serta memperbaiki daripada akar rambut. Kemudian buang semua rambut yang bercabang dengan memotong hujung rambut sehingga rambut akan hilang semua yang bercabang itu.

(e) Elak Rambut Kembang

Kuasa minyak zaitun pada rambut gugur memang tidak perlu disangkal lagi. Tetapi bagaimana pula rambut yang mengembang terutama mereka yang mempunyai rambut kerinting? Rambut yang mengembang ini biasanya cepat kering dan kemudian menjadi rosak. Solusi untuk membantu menyihatkan keadaan ini adalah dengan minyak zaitun. Kuasa minyak zaitun ini mampu merawat rambut dan kulit kepala dengan begitu mudah dan efektif.

(f) Pengganti Perapi Rambut

Alamak, tiba-tiba perapi rambut habis. Anda tidak perlu buntu kerana minyak zaitun mempunyai fungsi yang sama seperti perapi rambut. Minyak zaitun berupaya memberi kelembapan kepada rambut dan rambut kelihatan sihat dan bersinar. Minyak zaitun juga kaya dengan vitamin A dan antioksidan yang dapat melindungi keratin pada rambut dan mengunci kelembapannya. Malah boleh menghilangkan pengumpulan sebum yang menghalang pertumbuhan folikel rambut baharu.

Share
Published by
Hamizatul Maizan