Seperti roda yang berpusing, manusia tidak akan pernah tahu tentang nasib yang bakal menimpa mereka. Mungkin hari ini kita berada di atas dan mungkin esok, di bawah. Sebagai khalifah yang hidup di muka bumi ini, ketahuilah setiap apa yang berlaku di bumi akan dipersoalkan pada hari akhirat.
Di sebalik ketaatan manusia terhadap suruhan dan larangan Allah SWT, jangan sesekali terlepas menjaga adab dan kesucian persaudaraan. Buatlah sebanyak mana pun amal ibadah, solat lima waktu, berpuasa penuh pada bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan umrah serta haji tetapi jika bertindak zalim sesama insan, ada akibat yang bakal menanti.
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.”
Lalu Nabi SAW bersabda:”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Mengambil petikan ceramah dari Ustaz Wadi Annuar, setiap huraian yang diterangkan beliau benar-benar menginsafkan. Bagaimana seorang umat yang taat kepada Allah boleh tergolong sebagai ahli neraka?
“Akhirnya segala kebaikan dan pahala orang yang rajin beribadah tadi diberikan kepada orang yang dia pernah buat jahat sampai habis semua pahala. Tapi masih ada ramai lagi orang-orang yang dia pernah zalimi. Lalu Nabi berkata, diambilnya dosa orang dizalimi tadi dan diletakkan pula di atas penimbang dia (orang yang rajin beribadah). Daripada ahli syurga tiba-tiba pula jadi ahli neraka kerana banyak sangat ambil tahu hal orang.
Tiap hari kira sibuk buka aib orang, sembang tentang aib orang, ejek orang itu, fitnah, ambil harta orang dan pukul orang. Ini adalah dosa-dosa kita dengan orang dan semua itu Allah kira. Kalau ada orang buat jahat dekat kita dan kalau kita benar, bersabar. Setiap inci dan zarah kejahatan yang kita buat, Allah akan timbang. Malah, kebaikan sebesar zarah pun akan ditimbang oleh Allah,” pesan Ustaz Wadi penuh yakin.
Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah. Jangan sesekali kita lupa tentang hari pengadilan. Beringatlah, amalan sesama manusia juga boleh menentukan kehidupan kita di alam yang berkekalan itu kelak!SUZIANA ABU DAUD
This website uses cookies.