NEELOFA Akhirnya Sah Milik PU RIZ, Pilih 13 Syaaban 1442H Sebagai Tarikh Istimewa

Setelah sekian lama berteka-teki tentang hubungan istimewa yang terjalin, akhirnya hari ini Noor Neelofa Mohd Noor sah menjadi milik pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 26 tahun. Pasangan sensasi ini telah selamat melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara.

Neelofa, 32 tahun sah menjadi milik mutlak kepada bekas peserta Pencetus Ummah (PU) hanya dengan sekali lafaz sekitar jam 11.43 pagi. Pasangan sama cantik sama padan ini dinikahkah oleh adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor.

Foto: Instagram @lofa-page

Pemenang anugerah Nona Business Icon Award di majlis Nona Superwoman Award 2020 ini, kelihatan anggun dan berseri-seri dalam persalinan dres labuh rona putih rekaan pereka fesyen terkenal, Alia Bastamam. Anak kesayangan Datin Noor Kartini Noor Mohamed ini kelihatan cantik dan ayu dirias indah oleh jurusolek terkenal Sharman Yee.

Neelofa memilih majlis pernikahannya ini bertemakan Jabbal Rahmah iaitu satu daripada lokasi popular yang diziarahi jemaah umrah dan haji di Mekah bagi melatari majlis pernikahannya. Dekorasi indah ini telah disempurnakan hasil sentuhan Reka Teemor.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Majlis turut diserikan dengan kehadiran bapa tiri pengantin perempuan, Dato’ Halim Khan dan kedua ibu bapa pengantin lelaki, Dato’ Seri Ismail Nobat dan Datin Seri Normah Johari serta ahli keluarga terdekat dan teman rapat kedua-dua mempelai. Masing-masing segak dan cantik mengenakan busana berona putih mengikut tema majlis.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Pengantin lelaki segak mengenakan baju Melayu berwarna putih lengkap bersamping dan songkok telah menyerahkan mas kahwin berbentuk sebentuk cincin. “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” ujar Neelofa dan Haris.

Ternyata bibit-bibit cinta di antara pasangan mempelai tercetus apabila mula bekerjasama membangunkan sebuah pertubuhan kebajikan iaitu Pertubuhan Kasih Neelofa pada Jun tahun lalu. Jodoh tak pernah salah alamat, walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan namun jika sudah ditakdirkan pastikan bersatu jua. Tahniah! Haris dan Neelofa, semoga kekal bahagia hingga ke jannah.

Foto Kredit: WEDLOCX.Co

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed