Sejak akhir-akhir ini, nama Muhammad Bilal Muhammad Haris sering menjadi sebutan di kalangan peminat ibunya, Noor Neelofa Mohd Noor kerana sejak dilahirkan pada 29 Januari 2022, wajahnya tidak pernah dikongsikan di laman sosial media milik ibu dan bapanya.
Namun begitu, selebriti dan usahawan berpengaruh itu akur tidak selamanya dia akan ‘menyembunyikan’ wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal Muhammad Haris daripada tatapan umum.
Walau bagaimanapun, Neelofa lebih selesa untuk berkongsi wajah anak lelakinya yang telah menginjak usia lapan bulan itu apabila tiba masanya dan bukan dalam keadaan dipaksa-paksa.
Terdahulu, Neelofa turut berkongsi perkembangan anak kesayangannya itu. Menurut Neelofa, putera kesayangannya itu sudah boleh merangkak dan tidak lama lagi akan berjalan.
“Bilal sudah boleh merangkak dan tidak lama lagi akan berjalan. Pada waktu itu, saya dan Haris pasti akan membawanya bersiar-siar di taman atau bercuti bersama keluarga.
“Tiada sebab untuk saya sekat orang daripada melihat wajah Bilal apabila terserempak. Cuma, saya harap keadaan itu berlaku secara semulajadi.
Selebriti ini juga berkata dia tidak akan menghalang mereka yang ingin melihat Bilal apabila berada di kawasan umum apatah lagi sebagai selebriti dia dan keluarganya pasti akan bertemu dengan ramai orang .Sebagai ibu bapa, dia dan Haris akan memastikan keadaan terkawal untuk keselesaan Bilal apatah lagi apabila berada di khalayak ramai.
“Kami akan memastikan keadaan terkawal dan masa bersesuaian jika ada yang mahu melihat atau bergambar.
“Apa yang saya harapkan, mereka menghormati privasi kami sekeluarga. Saya tidak akan sembunyikan Bilal bila orang ternampak.
“Alang-alang mereka sudah ambil tahu pasal Bilal, tiada salahnya jika mereka turut mendoakan kesejahteraannya,” katanya.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran produk terbarunya, Nilofa Plus Drintox Pineapple Juice, minuman suplemen kesihatan yang menjadi salah satu rahsia bagaimana Neelofa berjaya mengembalikan berat badan ideal selepas bersalin.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Muhammad Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz pada 27 Mac 2021.
Sumber: Mstar & Media Hiburan
Menderita Akibat Sikap Suami Terus Berahsia!
PERAMPAS suami orang, perampas kebahagiaan orang serta pengamal ilmu hitam, itulah antara gelaran yang diterima oleh Misha (bukan nama sebenar). Sejak mengahwini suaminya kira-kira 20 tahun lalu pelbagai tekanan yang terpaksa diterimanya.
Namun Misha terus bersabar. Matlamatnya hanya satu, ingin menjadi isteri dan ibu yang baik. Tidak ada langsung perasaan ingin merampas suami orang atau merampas kebahagiaan orang. Dan perkataan ilmu hitam tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.
“Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku, tetapi yang amat saya kesalkan ialah sikap suami saya. Dia suka ambil mudah, berdiam diri dan tidak pernah berusaha untuk menyelesaikannya,” demikian pengakuan wanita jelita dan ibu kepada tiga orang anak kepada penulis.
SAYA mula mengenali Adli (bukan nama sebenar) ketika bertugas di sebuah agensi pelancongan. Saya memang mempunyai ramai kawan lelaki dan tidak pernah meletakkan Adli sebagai seorang teman istimewa. Cuma dalam soal jodoh, saya berpegang pada prinsip, akan menerima sesiapa sahaja yang ikhlas melamar saya sebagai isteri. Ditakdirkan Allah, Adli yang melamar saya.
Usia saya ketika itu baru 21 tahun dan Adli pula 45 tahun. Walau pun tahu dia telah beristeri dan mempunyai anak, tetapi saya tidak tahu mengapa begitu mudah menerimanya. Mungkin kerana usia yang masih terlalu muda, saya tidak terfikir langsung tentang masalah berpoligami yang bakal dihadapi.
Sejak bernikah, Adli banyak menghabiskan masa bersama saya. Beberapa kali ayah mengingatkan saya tentang keadilan dalam berpoligami. Namun apabila saya membangkitkan perkara itu, Adli kata dia tahu apa yang dia buat dan dia tahu tanggungjawabnya.
Namun satu sikapnya yang menakjubkan, sejak kami mula berkenalan hinggalah kami menjadi suami isteri dan sepanjang hidup bersama, dia tidak pernah bercerita tentang isteri pertamanya. Sebagai seorang wanita, rasa ingin tahu tu, tetap ada. Terutama tentang penerimaannya terhadap saya serta tentang ketidakadilan suami kami.
Hubungan saya dengan keluarga Adli memang rapat .Daripada merekalah saya mendengar cerita ada masalah antara Adli dengan isterinya. Masalah itu telah wujud sejak mula mereka berkahwin dan menjadi semakin serius beberapa tahun sebelum kami bernikah. Dan khabar yang lebih dahsyat yang saya dengar, tiada lagi perhubungan suami isteri antara mereka selepas kelahiran anak bongsu mereka (yang kini telah berusia 15 tahun).
Demi maruah, darjat dan status, walau apa pun terjadi mereka tidak akan bercerai. Kerana bercerai bererti kegagalan. Untuk itu, mereka terus berlakon di hadapan masyarakat bahawa mereka adalah pasangan bahagia.
Bahkan anak-anak juga tidak tahu yang kedua ibu bapa mereka mempunyai masalah. Yang mereka tahu, keduanya merupakan pasangan yang ‘ideal’ dan hidup mereka penuh dengan kasih sayang. Tetapi masalah mula timbul apabila ayah mereka mulai kerap tidak pulang ke rumah.
Dan akhirnya mereka mendapat tahu, ayah mereka telah berkahwin lain.
Ramai yang menuduh saya mengahwini Adli kerana pangkat dan harta. Sesungguhnya tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Kerana keluarga saya juga bukannya orang susah. Tambahan pula saya seorang yang berjaya dalam kerjaya.
Tapi saya sedar, inilah risikonya apabila mengahwini suami orang. Sejujur atau sebaik mana pun, ia tidak dipandang orang.
Itulah realiti kehidupan kami. Kerana itu pada awal perkahwinan, saya menolak apabila suami ingin membelikan banglo, kereta dan pakaian mewah. Bagi saya, saya senang dengan apa yang ada dan seronok menjalani kehidupan yang biasa.
Tapi Adli yang tidak betah dengan cara hidup saya. Dia tidak senang apabila saya mengajaknya makan di gerai tepi jalan. Dan sesuatu yang tidak mungkin saya lupa ialah apabila suatu hari di waktu kecemasan dia enggan menaiki kereta saya kerana kereta murah. Malah dia sanggup menaiki teksi.
Dia menjalani kehidupan yang mewah dan terlalu kebaratan. Tetapi saya lebih gemar cara hidup sederhana dan berlandaskan Islam. Terus terang saya katakan, tiga tahun selepas berkahwin, akhirnya saya melihat dia menunaikan solat. Bukan hendak bangga diri, tetapi sedikit sebanyak saya tetap berbangga kerana telah berjaya mengubah cara hidupnya dan kembali ke pangkal jalan.
Sebenarnya banyak pengalaman yang kurang enak yang terpaksa saya lalui sejak menjadi isteri kedua. Antaranya, saya tidak boleh mengikutnya ke majlis-majlis rasmi atau tampil di khalayak ramai bersamanya. Sehingga pernah di satu ketika, kami menerima undangan secara berasingan untuk satu majlis yang sama. Dia sebagai tetamu VIP sementara saya sebagai tetamu biasa. Walau dari rumah yang sama, tetapi kami pergi secara berasingan. Dia kemudian pergi mengambil isteri tuanya. Dan di sana, kami berlagak seperti orang yang pernah kenal.
Untuk membeli belah juga, kami tidak pernah keluar bersama. paling-paling tidak, dia akan menghantar ke mana saya hendak pergi dan kemudian akan mengambil setelah selesai. Bukan tidak ada perasaan sedih, tetapi semuanya saya pendamkan. Saya faham keadaan suami dan tidak mahu menimbulkan banyak tekanan kepadanya.
11 tahun selepas berkahwin, madu saya meninggal dunia akibat penyakit tiroid. Pada hari kematiannya, Adli berada di rumah saya. Seperti biasa, apabila berada di rumah saya, dia akan mematikan talian telefon. Berita kematian itu diterima daripada keluarganya setelah anak-anak gagal menghubunginya. Tetapi peliknya, dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Hanya setelah saya pujuk, barulah dia bergerak. Saya dengar, dia sampai di rumah sana ketika jenazah telah dikapankan.
Peristiwa itu semakin memarakkan lagi kemarahan anak-anak tiri dan keluarga sebelah arwah isterinya. Pelbagai tuduhan, cemuhan dan cacian yang dilemparkan.
Saya dituduh pisau cukur dan mengamalkan ilmu hitam untuk menundukkan suami. Kononnya sejak mengahwini saya, suami terus lupa pada tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.
Kehidupan saya kini seperti berada di atas bara api. Saya perlu berhati-hati walau di mana berada. Ke mana sahaja, saya mesti pergi bersama Adli. Jika tidak, ada saja gangguan. Bahkan nombor telefon rumah dan telefon bimbit terpaksa berapa kali ditukar. Pergi dan balik sekolah anak-anak, terpaksa Adli yang menguruskan.
Pelbagai ugutan yang saya terima yang membuatkan saya terpaksa membuat laporan polis. Tetapi Adli menarik balik segala laporan itu dengan alasan ini masalah keluarga dan tidak mahu diperbesar-besarkan.
Saya betul-betul kecewa dengan sikap Adli. Sejak mula berkahwin, pelbagai masalah timbul. Semuanya berpunca daripada perkahwinan ini. Selama itu, hanya saya yang berusaha untuk mengatasinya, sedangkan dia lebih suka mendiamkan diri. Mungkin perkara itu tidak menimpa ke atas dirinya kerana itu dia enggan bertindak.
Satu lagi perkara yang membuatkan saya sedikit terasa hati ialah sikap berahsia Adli. Dia tidak bercerita apa-apa pun yang berkaitan dengan rumah sana apabila bersama saya. Saya tidak bermaksud untuk ‘busy body’. Tetapi sebagai isteri kedua saya patut tahu terutama perkara yang berkaitan dengan sakit pening. Apa lagi, Adli banyak menghabiskan masa bersama saya.
Sekurang-kurangnya jika madu atau anak-anak tiri sakit, saya boleh mengingatkan dia agar pulang menjenguk. Anak-anak tiri kahwin pun saya hanya tahu melalui majalah. Dan yang paling saya kesalkan, saya tidak pernah tahu yang madu saya mengidap sebarang penyakit.
Saya tidak bermaksud untuk menghasut dia agar menyebelahi saya. Kerana saya sedar, saya berkahwin dengan suami orang. Saya telah melukakan hati orang. Dan atas kesedaran itu, saya tidak pernah menuntut berlebih-lebihan darinya dan sentiasa mengingatkan dia akan tanggungjawab dan mendesak agar dia berlaku adil.
Bukan saya hendak tunjuk baik untuk ‘cover’ balik yang saya telah merampas suami orang. Tetapi sikap Adli yang berahsia itu yang menimbulkan masalah. Sehingga kini anak-anak tiri dan keluarga sebelah isterinya terus memusuhi saya. Dan desas-desus yang saya dengar, mereka akan kacau dan buat saya merana seperti arwah isterinya.
Hinakah apabila seorang wanita berkahwin dan bercerai lebih daripada lima kali?
Hinakah apabila seorang wanita berkahwin dan bercerai lebih daripada lima kali? Mereka dituduh tidak pandai menjaga suami, wanita yang tidak ada kualiti dan tidak sesuai dijadikan calon isteri. Lalu mereka disisih…
Inilah nasib yang terpaksa saya lalui. Ketika usia mencecah ke angka 50, saya terpaksa menerima hakikat, menjadi janda buat kali ke lapan. Dalam usia begini, saya tidak pernah mengharapkan perceraian. Saya mengaku, bukan saja malu pada masyarakat, bahkan juga pada anak-anak. Namun apakan daya, saya tidak mampu menolak ketentuan Ilahi… Pengakuan Maria!
Kahwin paksa
Saya mula berkahwin sebaik selesai menduduki peperiksaan SPM, kerana dipaksa oleh nenek. Walau pun tidak rela, tetapi saya tidak mampu menolaknya. Sejak kecil, saya dipelihara oleh nenek. Dan nenek merupakan seorang yang garang dan tegas.
Tapi saya sangat bersyukur, kerana mendapat suami yang sangat memahami. Saya memang belum bersedia untuk perkahwinan ini. Setelah berterus terang pada suami, dia bersetuju menceraikan saya. Keesokkan paginya, selepas bersarapan pagi, sahlah saya bergelar ‘janda berhias’.
Namun perceraian itu benar-benar telah menimbulkan kemarahan nenek. Akibatnya saya telah dihalau. Tetapi syukurlah, tanpa pengetahuan sesiapa, bekas suami telah menghantar saya ke rumah Cikgu Asmah (seorang kenalannya).
Cikgu Asmahlah yang banyak membantu, berusaha mendapatkan dokumen diri serta menguruskan kemasukkan saya ke tingkatan enam. Dan tanpa pengetahuan sesiapa, abah juga sering mengunjungi saya serta menghulurkan duit belanja.
Tragedi sedih berulang kembali. Kepulangan saya ke rumah nenek sebaik selesai peperiksaan STP telah disambut dengan meriah. Rupa-rupanya sekali lagi nenek mengatur jodoh saya. Alasan nenek, tidak elok menjanda lama-lama.
Walau pun tidak rela, tetapi saya berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik. Apa lagi, suami saya seorang ustaz, baik dan bertanggung jawab. Banyak mengajar saya tentang tanggung jawab seorang isteri dan juga tentang agama. Dia juga tidak menghalang hasrat saya untuk meneruskan pengajian di universiti. Malah dialah yang banyak membantu menguruskan kemasukkan saya ke universiti.
Tapi malangnya tinggal berjauhan telah dijadikan alasan untuk dia berkahwin lagi. Sudah pasti saya menentang keputusannya itu kerana sedari awal dia begitu menggalakkan saya untuk terus belajar. Kerana penentangan itu, saya telah diceraikan.
Ternyata nenek tidak jemu-jemu mengatur jodoh untuk saya. Jodoh ketiga, keempat dan kelima juga diatur oleh nenek. Nyata, nenek sememangnya memainkan peranan yang besar dalam hidup saya. Saya akur dengan perintah nenek kerana nenek lebih berkuasa dalam memenuhi ruang kehidupan saya.
Suami ke tiga meninggal dunia akibat sakit tua sementara suami keempat meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Tetapi diperkahwinan yang kelima, saya yang menuntut cerai kerana suami bukan hanya menagih dadah, tetapi juga kerana sikapnya yang terlalu panas baran, cemburu serta malas bekerja. Dan diperkahwinan ini saya mempunyai seorang anak.
Berhijrah
Selepas kegagalan perkahwinan yang kelima ini, kehidupan saya mula tersingkir. Keluarga seperti tidak lagi menyenangi kehadiran saya. Saya dianggap sebagai anak yang tidak berguna. Saya terus menjadi buah mulut orang sekeliling. Pelbagai tuduhan yang tidak elok dilemparkan kepada saya. Dan yang cukup menyedihkan, ramai sahabat perempuan yang mula memandang serung kepada saya. Saya tahu mereka takut saya menggoda suami mereka. Di mana saja, saya mula menjadi seperti kera sumbang.
Akhirnya saya mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia Timur. Selama dua bulan kehidupan kami dua beranak memang agak menyedihkan. Kerana tidak mempunyai kenalan. Tetapi nasib baik, rakan-rakan di tempat kerja banyak membantu.
Empat tahun kemudian, saya menerima lamaran daripada lelaki yang telah saya anggap sebagai bapa angkat. Kebetulan isterinya meninggal akibat barah usus. Sudah nasib saya, jodoh pilihan sendiri ini juga tidak panjang. Suami saya meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu dalam perjalanan menjemput saya pulang dari pejabat. Waktu itu saya sedang mengandung tujuh bulan.
Akibat tekanan perasaan, saya melahirkan anak tidak cukup bulan. Inilah yang dikatakan, setiap musibah pasti ada hikmahnya. Anak-anak tiri saya tetap menerima saya seperti ibu mereka. Merekalah yang banyak membantu saya.
Enam bulan selepas itu, mereka mengatur jodoh saya dengan seorang saudara mereka. Terlalu berat hati ini untuk berkahwin lagi setelah enam kali mengalami kegagalan. Tetapi mereka begitu beriya-iya, dan begitu juga dengan pihak lelaki. Akhirnya saya hanya mengikut saja cadangan mereka. Pun jodoh ini tidak mampu bertahan lama. Saya diceraikan lantaran dia telah bertemu dengan wanita lain yang lebih mudah, cantik dan berharta.
Selepas perceraian itu, hidup saya mula kucar-kacir. Anak-anak tiri mula menjauhkan diri. Begitu juga dengan kawan-kawan terutama di pejabat serta jiran tetangga. Dengan penolakan itu, akhirnya saya sedar, di sini bukan tempat saya. Saya hanya menumpang di tempat orang. Saya kemudian meminta tukar kembali ke semenanjung bersama anak-anak.
Tujuh tahun hidup dirantauan, mungkin orang sudah lupa tentang sejarah silam saya. Tambahan pula nenek sudah meninggal sementara ayah yang telah bersara, kini menetap di kampung halamannya di utara. Buat sementara saya tinggal di rumah nenek yang kosong.
Inilah yang dikatakan, jodoh saya terlalu mudah. Dua tahun kembali ke kampung halaman dan dalam usia mencecah ke angka 40, saya dipertemukan jodoh lagi. Kali ini dengan ‘orang besar’ syarikat. Sebenarnya puas saya menolak, kerana saya tidak mahu dituduh sebagai perampas suami orang. Saya tidak mahu melukakan hati orang. Tetapi ternyata jodoh saya dengan dia sangat kuat.
Selepas berkahwin, suami berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri. Sementara saya terus bekerja. Walau pun dia tidak mampu menjadi suami yang adil (dikawal oleh isteri tua) tetapi kehidupan kami sangat bahagia. Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap saya dan anak-anak. Kami kemudian dikurniakan dua orang anak. Dan anak-anak tiri juga sering datang ke rumah saya.
Perkara yang saya takuti, akhirnya berlaku juga. Jodoh kali ini hanya mampu bertahan selama 11 tahun. Selepas suami dapat gelaran Dato’, saya dan isteri tuanya (kami sempat memegang status Datin selama dua tahun) telah diceraikan lantaran ingin bernikah dengan wanita lebih muda. Walau pun berkahwin dan bercerai bukan asing dalam hidup saya, namun saya tetap sedih.
Saya berharap sangat agar tiada lagi berlaku perceraian dalam hidup saya. Tetapi rasa sedih itu cepat surut kerana simpati terhadap bekas madu. Dia menjadi seperti orang ‘hilang akal’ kerana sama sekali tidak pernah menduga perkara ini akan menimpa dirinya. Tambahan, dia juga tidak bekerja. Dalam situasi begini, saya terpaksa memikul tanggungjawab menjaganya serta anak-anak tiri.
Saya sedar, masyarakat terus memandang serung pada saya. Maklumlah, dalam usia meniti senja, orang lain sibuk menjaga keharmonian rumah tangga, sebaliknya saya sibuk membilang suami. Nak buat macamana, beginilah ketentuanNya.
Saya tidak berhasrat untuk berbangga atau meraih simpati. Tujuan saya memaparkan kisah yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai amat mengaibkan ini hanyalah untuk meluahkan segala isi hati yang terpendam sejak sekian lama. Cukuplah segala umpat keji yang dilemparkan kepada saya selama ini.
Sesungguhnya, setiap wanita yang berkahwin pasti ingin agar jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat. Tidak ada yang inginkan perceraian dan memegang gelaran janda. Bahkan walau pun perceraian itu dihalalkan, tetapi ianya dibenci Allah. Lalu, berdosakah saya apabila sentiasa berdoa agar tidak lagi dipertemukan jodoh lagi? Bukan saya ingin menolak takdir Allah, tetapi saya tidak sanggup menghadapi perceraian dan umpat keji lagi. Sesungguhnya saya juga ingin menjadi sebahagiaan daripada mereka (masyarakat di sekeliling).
Aizat Amdan Bergelar Suami, Pilih Mexico Destinasi Bulan Madu
Penyanyi yang popular dengan lagu “Lagu Kita’, Aizat Amdan selamat bergelar suami kepada pengurusnya, Elyssa Alia Illias dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A Park, Puchong Selangor hari ini. Pasangan sama cantik sama padan ini telah dinikahkan sendiri oleh bapa Elyssa, Leftenan Kolonel (B) Illias Moidean dan disakikan jurunikah Idurs Mohd Shahlan.
Foto: @saifulchin
Foto: @saifulchin.
Pada majlis akad nikah, Aizat menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 kepada isteri tersayang, Elyssa, 34 tahun manakala wang hantaran telah dirahsiakan jumlahnya. Pihak pengantin lelaki turut menyerahkan tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang hantaran daripada pihak perempuan. Aizat segak mengenakan sepasangan baju Melayu rona putih manakala Elyssa mengenakan sepasang baju kurung putih sentuhan @altelia_amani. Majlis resepsi pasangan tersebut turut diadakan di lokasi yang sama usai majlis akad nikah yang diadakan di sebelah paginya.
Foto: @saifulchin.
Aizat yang ditemui pihak media sejurus bergelar suami melahirkan rasa syukur segala perancangan untuk hari bahagianya berjalan dengan lancar. Sebagai seorang lelaki yang matang, Aizat menganggap perkahwinannya dengan Elyssa sebagai permulaan baharu dalam hidupnya sebagai seorang lelaki.
“Ini adalah fasa dan permulaan baharu buat kami berdua. Dah lama orang tanya saya soalan mengenai jodoh, jadi inilah jodoh saya,” katanya.
Foto: @saifulchin.
Tidak lengkap perjalanan sebuah perkahwinan tanpa perancangan berbulan madu. Bagi Aizat dan Elyssa, kedua-duanya meyimpan impian untuk berbulan madu ke Tulum, Mexico. Memilih Tulum sebagai destinasi bulan madu memandangkan lokasinya yang cantik dan diharap dapat memberikan ilham yang mencurah-curah untuk menulis lagu dan sebagainya.
Foto: @saifulchin.
“Saya mempunyai angan-angan untuk membuka studio di tepi pantai, manakala Elyssa pula mempunyai impian untuk membuka sekolah menyelam serta vila di tepi pantai.
“Insya-Allah, November ini saya akan ke Los Angeles atas urusan kerja dan dah alang-alang, akan ke Tulum untuk bercuti,” katanya.
Foto: @saifulchin.
Foto: @saifulchin.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah kira-kira 100 tetamu termasuk keluarga, rakan-rakan dan media.
Menyingkap kisah cinta pasangan ini, Aizat dan Elyssa menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun sebelum membuat keputusan untuk berkahwin pada Januari, merisik pada Februari dan seterusnya melangkah ke alam perkahwinan. Hadiah sempena perkahwinannya ini, Aizat baru-baru ini melancarkan lagu berjudul Hanya Kita Dua yang dihasilkan dan didedikasikan istimewa buat isteri tersayang.