Sejak akhir-akhir ini, nama Muhammad Bilal Muhammad Haris sering menjadi sebutan di kalangan peminat ibunya, Noor Neelofa Mohd Noor kerana sejak dilahirkan pada 29 Januari 2022, wajahnya tidak pernah dikongsikan di laman sosial media milik ibu dan bapanya.
Namun begitu, selebriti dan usahawan berpengaruh itu akur tidak selamanya dia akan ‘menyembunyikan’ wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal Muhammad Haris daripada tatapan umum.
Walau bagaimanapun, Neelofa lebih selesa untuk berkongsi wajah anak lelakinya yang telah menginjak usia lapan bulan itu apabila tiba masanya dan bukan dalam keadaan dipaksa-paksa.
Terdahulu, Neelofa turut berkongsi perkembangan anak kesayangannya itu. Menurut Neelofa, putera kesayangannya itu sudah boleh merangkak dan tidak lama lagi akan berjalan.
“Bilal sudah boleh merangkak dan tidak lama lagi akan berjalan. Pada waktu itu, saya dan Haris pasti akan membawanya bersiar-siar di taman atau bercuti bersama keluarga.
“Tiada sebab untuk saya sekat orang daripada melihat wajah Bilal apabila terserempak. Cuma, saya harap keadaan itu berlaku secara semulajadi.
Selebriti ini juga berkata dia tidak akan menghalang mereka yang ingin melihat Bilal apabila berada di kawasan umum apatah lagi sebagai selebriti dia dan keluarganya pasti akan bertemu dengan ramai orang .Sebagai ibu bapa, dia dan Haris akan memastikan keadaan terkawal untuk keselesaan Bilal apatah lagi apabila berada di khalayak ramai.
“Apa yang saya harapkan, mereka menghormati privasi kami sekeluarga. Saya tidak akan sembunyikan Bilal bila orang ternampak.
“Alang-alang mereka sudah ambil tahu pasal Bilal, tiada salahnya jika mereka turut mendoakan kesejahteraannya,” katanya.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran produk terbarunya, Nilofa Plus Drintox Pineapple Juice, minuman suplemen kesihatan yang menjadi salah satu rahsia bagaimana Neelofa berjaya mengembalikan berat badan ideal selepas bersalin.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Muhammad Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz pada 27 Mac 2021.
Sumber: Mstar & Media Hiburan
This website uses cookies.