Satu lagi lakaran sejarah dan kejayaan dicatatkan oleh usahawan dan selebriti popular tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor apabila program santai kelolaannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan menerima kehadiran bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed semalam (26 Mac 2020). Meskipun program yang sepatutnya bermula pada pukul 11 pagi itu terpaksa diawalkan setengah jam atas faktor tertentu, namun ia disifatkan berjaya kerana menerima jumlah tontonan seramai 85 ribu orang. Sekaligus mencipta rekod tontonan paling tinggi bagi program #BerseoranganBersama yang dihoskan Neelofa tersebut.
Bersiaran selama hampir 30 minit, kebanyakan soalan yang diajukan Neelofa kepada Tun Dr Mahathir diambil daripada soalan-soalan yang dikemukan oleh peminatnya di laman Instagram. Antara jawapan yang menarik perhatian sepanjang sesi tersebut ialah nasihat terbaik yang Tun Mahathir pernah terima dan sentiasa berbekas di hatinya.
Menurut tokoh negarawan itu, ia adalah nasihat daripada arwah ibunya. “Don’t overstay your welcome” merupakan salah satu sebab Tun Mahathir mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 pada Oktober 2003. Memandangkan dunia kini dilanda wabak Covid-19 termasuk di Malaysia, Tun Dr Mahathir turut menitipkan pesanan khususnya peniaga dan usahawan kecil yang terjejas dalam temubual berkenaan selain memberi cadangan kepada negara untuk mengekang penularan virus tersebut.
Lebih istimewa, Neelofa turut menerima pendedahan eksklusif daripada Tun Dr Mahathir yang mesra dengan panggilan Che Det mengenai sebab mengapa beliau gemar membawa buku nota kecil bersamanya. Jelas Tun M, “Kita mungkin boleh terlupa apa yang ada di fikiran. Tetapi apabila kita menulis, kita akan sentiasa ingat tentang perkara-perkara tertentu.”
Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir turut memberikan nasihat supaya rakyat Malaysia sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah SWT.
“Kita negara yang sangat bertuah, kita kurang kena bencana alam sebab kita dikelilingi oleh Indonesia dan Filipina yang sentiasa menjadi benteng terhadap musibah. Jadi, apabila kita diserang Covid-19, kita kena bersatu hati, jangan panik dan melihat semua dengan positif. Sentiasa mendengar arahan pihak berwajib dan jaga disiplin,” pesan Tun M.
Ditanya mengenai idea penghasilan program bual bicara mini di Instagram Live ini, Neelofa berkata, “Saya rasa terpanggil untuk membantu Malaysia dalam memerangi Covid-19. Selain bantuan kewangan, saya rasa kita juga perlukan suara yang sentiasa mengingatkan dan memberi info berguna kepada rakyat Malaysia mengenai apa yang boleh kita lakukan secara bersama dalam memastikan kita mampu mengatasi masalah ini secara total. InsyaAllah, jika berpeluang saya akan perbanyakkan lagi sesi sebegini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.”
Sebelum ini #BerseoranganBersama turut menampilkan selebriti terkenal dalam dan luar negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dato’ Sri Rossa dan Nora Danish.
This website uses cookies.