Apa lagi yang hendak diperkatakan tentang kejayaan Noor Neelofa Mohd Noor. Saban tahun, ada sahaja pencapaian yang dibawakan anak jati kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini. Selepas mencuri perhatian pereka fesyen ternama, Tommy Hilfiger di New York Fashion Week… kali ini Neelofa sekali lagi menambat pandangan peminat fesyen antarabangsa dengan penampilan berbeza daripada kebiasaan di Milan Fashion Week.
Sebagai usahawan muslimah dan Pengasas Naelofar Hijab, Neelofa bukan hanya sering menjadi tumpuan khalayak bahkan wanita berjiwa besar ini mahu sentiasa menyuntik inspirasi kepada kaum wanita khususnya yang beragama Islam.
Justeru, apabila dia mengenakan hijab penuh ketika menghadiri pertunjukan fesyen MaxMara di Milan, Itali baru-baru ini… gaya tudung yang disarungkan itu mendapat reaksi positif dalam kalangan pengikut di laman media sosial.
“Sekitar setahun lalu, saya tampil dengan imej turban setiap kali berjumpa individu fesyen penting di luar negara kerana mahu memperkenalkan kepada mereka yang wanita berhijab juga mampu melaram dan kelihatan bergaya.
Saya tahu, jika saya mengenakan tudung dengan gaya normal, saya sukar diterima di sana. Disebabkan hal itu, saya selalu tampil dengan stail kreatif ketika berada di luar negara.
Namun ketika menghadiri pertunjukan fesyen MaxMara sebagai satu-satunya tetamu yang mengenakan hijab penuh, dan diminta bergambar oleh beberapa jurugambar, saya rasa hajat saya untuk membawa stail hijab penuh ke luar negara telah terlaksana.
Saya rasa bangga. Bukan kerana dapat menghadiri majlis fesyen, tetapi dapat membawa gaya hijab penuh ke ruang fesyen antarabangsa,” ujarnya.
Pada hari pertunjukan itu berlangsung, Neelofa tampil bergaya dengan persalinan serba putih yang turut dipadankan dengan hijab rona senada.